Sabtu, 12 Februari 2022

Seorang Pelayan Restoran Yang Matanya Tertuju Kepada-Ku

 
Aku sedang memikirkan hal ini pada suatu hari. Aku bimbang bahawa kesibukanku akan membuat aku hilang fokus dalam kehidupan. 

Tiba-tiba tanpa disangka aku mendapat suatu penglihatan dari Tuhan.

Dalam penglihatan itu, aku melihat diriku seorang pelayan restoran. Aku sedang memerhatikan keadaan di sekeliling restoran. Adakah pelanggan-pelanggan memerlukan bantuanku? Adakah meja dan kerusi perlu disusun dan dikemaskan?

Memang kerja seorang pelayan restoran sibuk. sentiasa bersedia untuk melayan pelanggan yang datang, membersihkan dan mengemaskan meja, dan membawa makanan dan minuman yang dipesan pelanggan. 

Tiba-tiba di sudut mataku, aku melihat tuan restoran sedang berdiri tidak jauh daripadaku. Dan mataku memandangnya.

Dan dalam penglihatan itu, aku mendengar kata-kata ini, "Umpama seorang pelayan yang matanya sentiasa tertuju kepada tuannya, begitu juga engkau sebagai pelayan yang matanya sentiasa tertuju kepada-Ku."

Apakah pandangan anda mengenai penglihatan ini?

Selepas mendapat penglihatan ini, aku terus mengerti maksudnya bagi diriku.

Memang aku akan sibuk dengan pelbagai tugas dan kerja. Itu tidak bererti aku harus meninggalkan semua tugas dan kerjaku. Yang Tuhan mahu ialah dalam segala tugasanku, mataku sentiasa akan tertuju kepada-Nya.

Memang betul, pelayan restoran sentiasa bertanggungjawab untuk melayan permintaan dan keperluan pelanggan di restorannya, tetapi apabila tuan restoran muncul, mata pelayan itu akan memandang dan memberi perhatian kepada tuannya.

Kalau tuannya memanggilnya, atau meminta pelayan itu melakukan sesuatu, pelayan itu akan bergegas untuk melakukan apa yang disuruh tuannya. Pelayan itu tidak akan mengatakan, "Nanti dulu bos, aku sangat sibuk ini."

Seorang pelayan juga akan merasa tenang apabila melihat tuannya ada berdekatannya. Dia tidak terlalu risau tentang segala keadaan atau sesuatu kecemasan yang boleh berlaku. Sebab dia tahu tuannya ada di situ dan cukup handal dan berpengalaman untuk mengendalikan apapun keadaan. 

Selepas mendapat penglihatan itu, aku tidak lagi gusar akan kesibukanku. Aku tahu bahawa aku tidak akan hilang fokus dalam kehidupan selagi aku seperti seorang pelayan yang matanya tertuju kepada tuannya.

- Si Domba Putih