Kita semua tahu bahawa bumi berputar mengelilingi matahari, manakala bulan pula berputar mengelilingi bumi. Itulah yang telah kita belajar dari mata pelajaran sains sewaktu di bangku sekolah.
Dalam sekolah kehidupan pula, Tuhan telah mengajarku sesuatu mengenai pelayanan daripada mentari, bumi dan bulan.
Beberapa tahun yang lalu, aku betul-betul teramat asyik dan sibuk dengan penulisan blog. Sehingga seperti hidupku berkisar mengelilingi penulisan blog. Aku mulai risau sebab aku umpama hidup siang dan malam untuk penulisan blog.
Pada suatu hari, Tuhan menunjukkan kepadaku perumpamaan ini.
Seperti Bulan berputar mengelilingi Bumi
"Anakku, hidupmu tidak harus berkisar mengelilingi penulisan blog. Sepatutnya penulisan yang harus berkisar mengelilingi engkau. Umpama bulan harus berputar mengelilingi bumi, dan bukannya bumi yang berputar mengelilingi bulan."
Aku menangkap dengan cepat maksud Tuhan itu. Ketika itu hidupku dikuasai oleh pelayanan penulisan, tetapi Tuhan tahu itu bukan kehidupan yang sihat. Kehidupan yang sihat ialah apabila aku menguasai diri dalam pelayanan dan bukannya pelayanan yang menguasai diri.
Jadi kalau begitu, aku mulai faham, pelayanan harus berputar mengelilingiku, dan bukannya aku berputar mengelilingi pelayanan.
Seperti Bumi berputar mengelilingi Matahari
Tuhan belum selesai menunjukkan kepadaku. Katanya lagi, "Seperti bumi berputar mengelilingi matahari, begitulah hidupmu harus berputar mengelilingi-Ku."
Tadinya, Tuhan telah mengatakan pelayanan (diibaratkan sebagai bulan) yang harus berputar mengelilingi aku (diibaratkan bumi). Kini Tuhan pula kata aku (diibaratkan bumi) harus berputar mengelingi Dia (diibaratkan matahari).
Sekali lagi aku menangkap maksud Tuhan. Inilah kehidupan pelayanan yang lengkap, yang Tuhan inginkan dalam hidupku. Kehidupanku tidaklah harus berkisar mengelilingi pelayanan, kehidupanku seharusnya berkisar mengelilingi Tuhan!
Jadi formulanya yang betul ialah, pelayanan (iaitu bulan) yang seharusnya berputar mengelilingi aku (bumi), dan aku (bumi) seharusnya berputar mengelilingi Tuhan (matahari)!
Aku tidak harus risau sekiranya sentiasa ada pelayanan di sekelilingku. Yang penting ialah pelayanan berputar mengelilingiku, dan bukannya hidupku berputar mengelilingi pelayanan. Dan yang paling penting sekali ialah kehidupanku sentiasa berpusat dan berputar mengelilingi Tuhan. Umpama bulan berputar mengelilingi bumi, dan bumi berputar mengelilingi mataharinya....
Itulah yang kupelajari daripada mentari, bumi dan bulan.