Rabu, 30 Mac 2022

Ketika Ayah Mertuaku Memberi Persepuluhan


Aku menyayangi mendiang ayah mertuaku. Dia seorang yang suka bercerita. Dia sering bercerita mengenai masa kecilnya ketika negara di bawah penjajahan Jepun. Pada waktu itu mereka semua perlu belajar Bahasa Jepun dan menyanyi lagu-lagu Jepun  di sekolah. Dia masih ingat sekerat dua lagu Jepun yang telah dipelajarinya.

Penjajahan Jepun berakhir dengan tamatnya Perang Dunia Kedua, dan ayah mertuaku meneruskan pelajarannya di bawah pentadbiran British. Tamat pelajarannya, dia telah mendapat jawatan dalam perkhidmatan kerajaan.

Setelah berkahwin dan mendirikan rumahtangga, dia dan isteri dikurniakan empat cahaya mata. Dengan tanggungan keluarga dan gaji sebagai penjawat awam, ayah mertuaku sentiasa berjimat-cermat akan perbelanjaannya. 


Dia seorang yang amat teliti dan akan menandakan tarikh dia membeli barang-barang keperluan dapur. Dia akan mencatitkan tarikh dan berapa kilo beras yang dibelinya pada tong beras di dapur. Begitu juga dia akan catitkan untuk barangan keperluan asas yang lain seperti susu. tepung, gula dan lain-lain. Dengan erti kata lain dia menyimpan rekod dan dia tahu berapa lama barangan keperluan itu dapat bertahan dalam sebulan. 

Pada waktu itu dia telah mula pergi ke gereja. Dan di gereja dia telah diajar mengenai pemberian persepuluhan. Dia ingin memberi persepuluhan tetapi merasa khuatir bahawa dia akan menghadapi kekurangan wang untuk perbelanjaan keluarga. Oleh kerana dia seorang yang teliti, dia tahu benar berapa wang yang diperlukan setiap bulan untuk menampung keluarganya.

Namun begitu, dia memilih untuk mematuhi Firman Tuhan kerana percaya bahawa Tuhan akan mencukupkan keperluan keluarganya. 

Dia mulai memberi persepuluhan dan dia mendapati sesuatu yang menghairankannya. Pada setiap bulan, beras dan barang keperluan akan kehabisan pada tempoh tertentu. Tetapi kini dia mendapati bahawa beras, gula, dan tepung dan lain-lain barangan asas di dapurnya masih bertahan melebihi tempoh biasanya!

"Sepatutnya beras sudah habis pada waktu ini, tapi masih ada lagi. Begitu juga tepung, gula dan lain-lain," fikir ayah mertuaku. Apabila dia melihat hal ini, dia betul-betul percaya bahawa Tuhan telah mencukupkan segala keperluan keluarganya apabila dia memberi persepuluhan. Mulai saat itu, dia tidak lagi ragu-ragu untuk membawa persepuluhannya ke rumah Tuhan.

Dia yakin akan Firman Tuhan dalam Maleakhi 3:10 yang menyatakan, "Bawalah seluruh persembahan persepuluhan itu ke dalam rumah perbendaharaan, supaya ada persediaan makanan di rumah-Ku dan ujilah Aku, firman TUHAN semesta alam, apakah Aku tidak membukakan bagimu tingkap-tingkap langit dan mencurahkan berkat kepadamu sampai berkelimpahan."

Itulah yang terjadi ketika ayah mertuaku memberi persepuluhan.