Hubungan yang sihat dan memuliakan Tuhan ialah hubungan yang
didasarkan pada firman Tuhan. Raja Salomo memberi peringatan kepada
puteri-puteri Yerusalem supaya “jangan bangkitkan dan jangan gerakkan cinta
sebelum dikehendakinya” (Kidung Agung 2:7, 3:5, AVB) atau sebelum ada ikatan
perkahwinan yang sah. Alkitab menonjolkan perbuatan seks di luar perkahwinan
sebagai dosa dan perbuatan cabul. Ini menunjukkan Tuhan sememangnya memandang
serius isu ini dan sebagai anak-anak Tuhan, kita perlu berpegang kepada firman
Tuhan.
Cinta dan seks adalah dua unsur yang berbeza. Cinta tidak
perlu dibuktikan melalui seks dan seks tidak semestinya cinta. Cinta yang
sejati bukan hanya pada rasa dan “getarannya” tetapi memerlukan komitmen,
kesabaran dan penguasaan diri. Ia memerlukan masa untuk bertumbuh dan menjadi
mekar. Jika unsur ini diterapkan dalam hubungan, pasangan akan menjadi matang
dan lebih bersedia masuk ke alam berumah tangga. Sebaliknya, jika pasangan
tersebut terlanjur atau jatuh ke dalam dosa ini, mereka akan terluka dan perlu
menanggung akibatnya.
Saya percaya, anak-anak muda kristian tahu bahawa hubungan
seks di luar perkahwinan adalah dosa. Tetapi perlu diingat bahawa, dosa itu
adalah perangkap. Maksudnya, seseorang mungkin tidak berniat melakukannya dan
tidak merancang, namun terjerat sehingga gagal mengawal diri. Oleh itu,
anak-anak muda perlu memiliki disiplin dan batasan dalam hubungan. Berikut
adalah beberapa perkara yang perlu diberi perhatian untuk menjalin hubungan
yang sihat dan menyenangkan Tuhan.
1. Pasangan yang Seiman
Alkitab berkata “Janganlah berpasangan dengan orang yang
tidak beriman. Pasangan begitu tidak sepadan; kerana adakah persamaan antara
yang benar dengan yang derhaka? Dapatkah terang bersatu dengan gelap?” (2
Korintus 6:14 AVB) Ini sangat penting kerana dua orang yang takut akan Tuhan
dan telah menerima ajaran yang benar akan menghormati satu sama lain dan tidak
akan mempunyai niat yang jahat terhadap satu sama lain. Di samping itu,
pasangan tersebut boleh saling mendorong dalam iman, bertumbuh dan melayani
bersama-sama.
2. Bersikap Terbuka dalam Hubungan
Gereja dan anak-anak muda perlu bersikap terbuka dalam hal
berkaitan percintaan atau “bercouple”. Pasangan bercinta tidak harus
“menyembunyikan” percintaan, sebaliknya perlu berterus-terang dengan ibu-bapa
dan para pemimpin gereja. Dengan ini secara tidak langsung, pasangan tersebut
boleh dipantau dan dibimbing supaya sentiasa menjaga batas dalam pergaulan. Ibu
bapa dan pihak gereja juga tidak harus memandang percintaan remaja sebagai satu
kesalahan dan cepat menjatuhkan hukuman. Maka, apabila kedua-dua pihak saling
terbuka, secara tidak langsung ini akan menutup ruang bagi kuasa kegelapan
menguasai dan memanipulasikan hubungan tersebut.
3. Menetapkan Peraturan dan Sempadan
Setiap pasangan yang bercinta perlu ada peraturan dan
meletakkan sempadan yang harus dipatuhi. Peraturan ini boleh didasarkan pada
firman Tuhan, peraturan di sekolah, pesan daripada ibu bapa dan para pemimpin
gereja. Anggaplah ini sebagai panduan dan disiplin dalam menjaga keharmonian
hubungan dan batas pergaulan. Perlu diingat perjalanan anda masih jauh lagi dan
anda perlu bertanggungjawab terhadap masa hadapan yang akan anda jalani.
4. Mendengar Pandangan dan Nasihat Orang Dewasa
Anak muda perlu mengambil kira pandangan dan nasihat orang
dewasa. Orang yang hangat bercinta sangat sukar untuk melihat kelemahan
pasangannya. Hati yang sedang berbunga-bunga akan nampak semua yang baik pada
teman lelaki atau teman wanitanya. Justeru itu, sesiapa yang cuba muncul di
tengah-tengah akan dilihat sebagai “musuh”; termasuk kawan-kawan, ibu bapa dan
sesiapa sahaja. Dalam bahasa Inggeris, situasi ini disebut sebagai
“infatuation” iaitu perasaan tergila-gila akan seseorang dan ini boleh
menyebabkannya tidak dapat berfikir dengan waras. Ini akan mendorong kepada
tindakan yang salah seperti lari bersama pasangan atau terperangkap dalam hubungan
seks. Seorang yang bijak dan mahu menyenangkan Tuhan akan mencari kehendak
Tuhan dan mendengar pandangan orang lain.
Selain itu, gereja juga memainkan peranan yang penting untuk
membantu para remaja berhadapan dengan cabaran ini. Ramai orang bukan kristian,
mempunyai gambaran bahawa kristian membenarkan seks di luar pernikahan. Ini
adalah pengaruh daripada apa yang ditonjolkan dalam media-media elektronik dan
juga media sosial. Tidak mustahil juga, sekiranya anak muda menjadi keliru. Maka,
gereja perlu membetulkan perspektif ini dengan mengajar, menegur, membetulkan
dan mendidik ke arah kebenaran (2 Timotius 3:16). Gereja perlu memperbanyak
pengajaran dan penulisan, dan menggunakan kesempatan kemajuan teknologi
komunikasi sekarang untuk menyebarkan dan berkongsi kebenaran firman Tuhan.
Perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih terbuka supaya anak-anak muda ada
sumber rujukan dan mendapat maklumat yang lebih tepat. Maka dengan itu mereka
akan lebih bijaksana dalam menangani isu-isu berkaitan percintaan.