Foto: DB Homes |
Aku terus teringat Perumpamaan Rumah Yang Cantik.
Pernahkah anda mendengar perumpamaan ini?
Pada suatu hari, sebuah rumah yang cantik telah dibina di sebuah kampung. Semua orang mengkagumi kecantikan rumah itu. Pasti orang yang membeli rumah itu akan merasa puas dan bahagia tinggal dalam rumah itu.
Bagaimanapun, rumah itu belum lagi dijual kepada sesiapapun selepas beberapa bulan. Bulan bertukar bulan dan akhirnya tahun bertukar tahun. Setelah beberapa tahun, rumah itu masih belum berpenghuni atau dimiliki oleh sesiapa.
Jika rumah itu memiliki perasaan, apakah agaknya yang akan dirasakannya?
Secantik-cantik rumah itu, ianya tidak lengkap selagi tiada pemilik dan penghuninya. Seakan-akan seluruh kewujudannya tiada bererti selagi tiada orang tinggal di dalamnya, sebab untuk itulah rumah itu dibina.
Begitu juga kehidupan manusia. Sehebat-hebatnya manusia, kehidupannya tidak lengkap dan tidak bererti selagi dia tidak dimiliki oleh Tuhan dan dihuni dengan kasih dan kehadiran-Nya.
Kalau rumah dibina untuk Pemiliknya, begitu juga kita telah dicipta untuk Pencipta kita. Seperti rumah tiada bererti tanpa penghuninya, kehidupan kita juga tidak bererti tanpa hadirnya Roh Allah dalam kehidupan kita.
Yesus berkata;
"Lihat, Aku berdiri di muka pintu dan mengetuk; jikalau ada orang yang mendengar suara-Ku dan membukakan pintu, Aku akan masuk mendapatkannya dan Aku makan bersama-sama dengan dia, dan ia bersama-sama dengan Aku" (Wahyu 3:20).
Bukalah pintu hatimu untuk Tuhan dalam kehidupanmu.... Hidup kita paling bererti dengan adanya Tuhan dalam kehidupan kita!