Pelangi muncul ketika orang ramai berkerumun di luar Istana Buckingham selepas pengumuman kemangkatan Ratu Elizabeth II |
Bukan sahaja di UK, bahkan di negara lain, ribuan orang
berkumpul sebagai tanda menzahirkan takziah kepada keluarga diraja itu.
Dalam kesedihan dengan pemergian Ratu Elizabeth II, kehadiran pelangi di beberapa lokasi di UK termasuk di Istana Windsor sedikit-sebanyak 'mewarnai' hati rakyat UK yang sedang suram.
Chris Jackson, jurugambar diraja berkongsikan gambar pelangi
berhampiran Istana Windsor di laman Twitter miliknya, turut menciap:
"Selepas bendera dikibarkan separuh tiang di Istana
Windsor, satu pelangi yang indah muncul berhampiran istana, untuk beberapa
minit dan hilang begitu sahaja…" tulisnya.
Sementara itu, beberapa video dan gambar kemunculan pelangi
di Istana Buckingham juga turut dikongsi rakyat UK di dalam media sosial.
Awal hari ini media melaporkan, Ratu Elizabeth II,
pemerintah paling lama dalam sejarah dunia moden, menghembuskan nafas terakhir
pada tengah hari Khamis (waktu tempatan).
Baginda mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral,
Scotland, kata kenyataan Istana Buckingham.
Serentak pengumuman itu , bendera di United Kingdom (UK) dan
seluruh Komanwel diturunkan separuh tiang, sementara semua jadual siaran
televisyen dan radio dikemas kini, bagi menghormati kemangkatan baginda.
(Diambil daripada artikel Astro Awani bertajuk, "Pelangi Muncul Di Istana Windsor, Istana Buckingham" bertarikh 9 September 2022)