Ahad, 4 Februari 2024

Mengapakah Chick-fil-A Ditutup Pada Hari Ahad?

Chick-fil-A telah ditutup pada hari Ahad sejak pengasasnya S.Truett Cathy membuka restorannya yang pertama di Georgia pada 1946.



Pada suatu masa dahulu, adalah perkara biasa untuk restoran-retoran ditutup pada hari Ahad, tetapi amalan itu telah banyak ditinggalkan sejak berdekad-dekad. Namun begitu di Chick-fil-A, tradisi penutupan pada hari Ahad kelihatan tidak akan diubah pada masa terdekat.

Tidak pasti bagaimana amalan itu berasal? Berikut sedikit pencerahan akan sejarah restoran itu.

Sejak bila Chick-fil-A telah ditutup pada hari Ahad?

Menurut laman web syarikat, Chick-fil-A telah ditutup pada hari Ahad sejak mendiang S, Truett Cathy membuka restorannya yang pertama di Georgia pada 1946.

"Setelah bekerja tujuh hari dalam seminggu di restoran-restoran yang dibuka 24 jam, Truett telah melihat kepentingan menutup kedai pada hari Ahad supaya dia dan pekerja-pekerjanya dapat mengkhususkan satu hari untuk berehat dan beribadah jika mereka memilih demikian - suatu amalan yang kami masih praktikkan hari ini," begitu diterangkan oleh laman itu.

Waktu kerja agak berbeza sedikit, tetapi majoriti restoran Chick-fil-A dibuka di antara 6 pagi hingga 10 malam dari hari Isnin hingga Sabtu.

Tradisi itu mempunyai asal-usul keagamaan.

Ahad secara tradisi adalah hari ibadah untuk beberapa agama, dan Cathy memberi kepada pekerja-pekerjanya kesempatan pada hari rehat ini untuk mengikuti ibadah di gereja. 

Tujuan korporat Chick-fil-A juga ada asal-usul agama: "Untuk memuliakan Tuhan dengan menjadi pengurus yang baik atas segala yang dipercayakan kepada kita dan untuk memberikan pengaruh yang positif kepada semua yang berhubungan dengan Chick-fil-A."


 
Apa yang dikatakan oleh pengasas S. Truett Cathy mengenai tradisi ini?

Dalam bukunya pada tahun 2002, "Eat Mor Chickin: Inspire More People: Doing Business the Chick-fil-A Way," Cathy menjelaskan mengenai keputusannya untuk menutup restoran-restorannya pada hari Ahad. 

"Bagaimanapun kami tidak begitu komited kepada kejayaan kewangan, sehingga kami rela mengabaikan prinsip dan keutamaan kami. Satu contoh paling ketara adalah keputusan kami untuk menutup kedai pada hari Ahad. Saya dan Ben (adik lelaki saya) telah menghadiri Sekolah Minggu dan gereja sepanjang hidup kami dan kami tidak ingin berhenti hanya kerana kami memiliki sebuah restoran," begitu ditulisnya.

Cathy meneruskan dengan menerangkan keputusan untuk menutup kedai pada hari Ahad sebagai satu cara untuk "menghormati Tuhan dan mengarahkan perhatian kami kepada hal-hal yang lebih penting daripada perniagaan kami."

Dalam bukunya, Cathy menyenaraikan matlamatnya untuk mengekalkan amalan ini.

"Adik saya, Ben dan saya telah menutup restoran pertama kami pada hari Ahad yang pertama selepas kami membuka kedai pada 1946, dan anak-anak saya telah membuat komitmen untuk menutup kedai pada hari Ahad lama sesudah saya pergi. Saya percaya Tuhan memberi penghormatan atas keputusan kami dan menyediakan di hadapan kami kesempatan-kesempatan yang tidak disangka untuk melakukan pekerjaan yang lebih besar untuk-Nya kerana kesetiaan kami," tulisnya. 

Tradisi ini juga mempunyai sebab sekular

Pada 2017, pengarah senior Chick-fil-A untuk bahagian mencari pekerja baru, Jodee Morgan memberitahu Thrillist bahawa rangkaian restoran itu juga menutup kedai pada hari Ahad untuk sebab-sebab bukan bersifat agama.

"Ianya sebenarnya mengenai mendapatkan keseimbangan dalam pekerjaan dan kehidupan," katanya. 

Morgan menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu, mengatakan, "Kami memiliki lebih 80,000 ahli-ahli pasukan yang mewakili segala jenis kepelbagaian dan gaya hidup. Hari rehat ini adalah untuk memberikan mereka masa untuk meluangkan masa dengan kawan-kawan, keluarga mereka, melakukan apa yang mereka ingin. Mereka sesungguhnya memiliki pilihan untuk melakukan apa sahaja yang mereka ingini pada hari rehat mereka. Pilihan Truett Cathy juga adalah berdasarkan faktor-faktor praktikal di samping faktor kepercayaannya."

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Today bertajuk, "Why Is Chick-fil-A Closed On Sundays?" yang ditulis oleh Chrissy Callahan bertarikh 18 Ogos 2023)