Selasa, 23 April 2024

C.S. Lewis: Tokoh Sastera Pelbagai Bidang


C.S. Lewis (Clive Staples Lewis, 1898-1963) adalah tokoh sastera British dalam pelbagai bidang. Dia telah mengukir jalan yang unik, cemerlang sebagai seorang sarjana, penulis novel dan ahli apologetik Kristian. Kehidupannya walaupun diwarnai dengan kejayaan dan kesusahan, telah meninggalkan legasi yang berkekalan ke atas para pembaca segala usia. 

Kehidupan Awal dan Bibit Imaginasi

Dilahirkan di Belfast, Ireland, kehidupan awal Lewis dipenuhi sastera dan mitos. Dia amat suka membaca cerita-cerita dan telah mempamerkan imaginasi yang kuat, yang kemudiannya menjadi sumber dunia-dunia fantasinya. Namun begitu, zaman kanak-kanak yang terkesan oleh kematian ibunya telah membayangi dan membentuk sifatnya yang sensitif dan pendiam.

CS Lewis semasa kecil


Penghormatan Akademik dan The Inklings

Lewis telah berkhidmat dengan cemerlang dalam Perang Dunia I, suatu pengalaman yang akan mempengaruhi penulisannya yang kemudian. Selepas peperangan dia telah mengejar karir akademik yang berprestij di Universiti Oxford, dengan pengkhususan dalam kesusasteraan zaman pertengahan dan Renaissance. Di sini dia berinteraksi dengan kalangan intelek, membentuk persahabatan dengan rakan-rakan penulis seperti J.R.R. Tolkein. Persahabatan-persahabatan ini yang sering berkisarkan perbincangan yang rancak dan berkongsi pengalaman menulis sastera, telah membentuk dasar untuk kumpulan penulisan tidak rasmi yang dikenali sebagai The Inklings, yang akan memain peranan untuk membentuk perjalanan kesusasteraan Lewis.

The Inklings: C.S. Lewis, JRR Tolkein, Owen Barfield dan Charles Williams

Detik Perubahan: Fiksyen dan Iman Bertembung

Lewis, pada mulanya seorang ateis, mengalami suatu perubahan besar memeluk Kristian pada usia 30an. Iman baharu ini telah menjadi tema utama dalam penulisan-penulisannya. Dia mula mengkaji apologetik, untuk mempertahankan dan menerangkan kepercayaan Kristian dalam cara yang jelas dan mudah difahami. Karya seperti Mere Christianity telah mengukuhkan reputasinya sebagai suara penting dalam pemikiran Kristian.


The Chronicles Of Narnia: Pintu Gerbang Ke Dunia Fantasi

Manakala karya-karya akademik dan teologi yang ditulis oleh Lewis adalah penting, penerokaannya ke dalam fantasi kanak-kanak yang telah melonjakkannya mencapai kemasyhuran antarabangsa. The Chronicles of Narnia, siri tujuh novel yang telah diterbitkan di antara 1950 dan 1963, telah menawan imaginasi pembaca-pembaca tua dan muda. Kisah-kisah ini yang penuh dengan haiwan yang bercakap, makhluk mitos dan peperangan epik di antara kebaikan dan kejahatan, telah menawarkan mesej-mesej yang terselubung namun berkuasa mengenai iman, keberanian dan kepentingan imaginasi zaman kanak-kanak. Narnia telah menjadi fenomena kebudayaan, mengukuhkan kedudukan Lewis sebagai gergasi kesusasteraan. 


Pergelutan dan Legasi yang Berkekalan

Kehidupan Lewis bukanlah tanpa cabarannya. Kematian isterinya, Joy Davidman, telah membawanya ke dalam kesedihan yang mendalam, suatu pengalaman yang diterokainya dalam karya yang amat mengesankan, A Grief Observed. Walaupun mengalami pergelutan peribadi, Lewis meneruskan penulisannya dengan giat sehingga kematiannya pada 1963. 

C.S. Lewis dengan isterinya, Joy

Legasi C.S. Lewis adalah pelbagai rupa. Dia adalah sarjana yang telah memberikan nafas baru kepada sastera klasik, seorang ahli teologi yang telah memudahkan pemahaman akan iman, dan seorang pencerita yang telah mencipta dunia fantasi yang telah menawan hati para pembaca melintasi generasi. Kebolehannya untuk menggemblengkan tiga bidang ini, menangani tema-tema yang kompleks dengan kedalaman intelek dan kecemerlangan imaginasi, telah mengukuhkan kedudukannya sebagai tokoh amat dihargai dalam dunia kesusasteraan. 

(Diterjemahkan daripada artikel Facebook Classic Literatures bertarikh 16 April 2024)