Bercakap bagi pihak CFM, pengerusinya Cor Episcopa Philip
Thomas menafikan sebarang kaitan antara badan komponennya dengan insiden itu.
“Setakat pengetahuan dan kepercayaan kami, tiada individu
atau kumpulan di dalam atau bersekutu dengan badan komponen kami, iaitu Gereja
Roman Katolik, Majlis Gereja-Gereja di Malaysia dan Persekutuan Kristian
Evangelical Nasional yang terlibat dalam kejadian itu.
“CFM menyokong gesaan agar pihak berkuasa menyiasat perkara
ini dan mengambil tindakan undang-undang untuk mengekalkan keharmonian agama di
negara ini,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan pagi ini.
Semalam polis Melaka mengesahkan menerima empat laporan
mengenai edaran risalah berkaitan kitab Bible dan promosi agama Kristian di
hadapan Surau Warisan berhampiran Bangunan Stadthuys, Bandar Hilir Sabtu lalu.
Ketua Polis Melaka, Zainol Samah berkata kesemua laporan itu
diterima pada Jumaat, dengan aduan dibuat oleh empat individu termasuk
kakitangan Jabatan Agama Islam Melaka.
"Pengadu meminta pihak polis menjalankan siasatan dan
mengambil tindakan tegas terhadap individu terlibat seperti yang tular dalam
video tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Video selama 16 saat yang dirakam seorang penunggang beca di
kawasan itu menimbulkan persoalan mengenai niat dan kewajaran aktiviti kumpulan
itu mempromosikan Bible di hadapan tempat ibadat umat Islam.