KDN dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Laporan Pasukan
Petugas Khas ialah dokumen milik kerajaan yang tertakluk di bawah Akta Rahsia
Rasmi 1972 dan Arahan Keselamatan (Semakan dan Pindaan 2017).
"Laporan yang dikemukakan kepada pihak keluarga dan
barisan peguam Pastor Raymond Koh ialah laporan asal tanpa diubah serta dicetak
atas kertas bertanda (watermark).
"Penggunaan kertas bertanda adalah bagi membolehkan
pihak kerajaan mengenal pasti pemilikan dokumen sekiranya berlaku penyebaran
dokumen terbabit," menurut KDN.
Kementerian itu menjelaskan perkara berkenaan diteliti
bersama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) bagi
memastikan keselamatan Laporan Pasukan Petugas Khas terpelihara.
KDN memaklumkan kementerian mengemukakan salinan laporan
berkenaan tanpa kertas bertanda kepada pihak keluarga dan barisan peguam
keluarga Pastor Raymond Koh berdasarkan nasihat daripada Jabatan Peguam Negara
pada 23 September.
Semalam, satu laporan sebuah portal bertajuk 'Task Force
Report On Pastor Koh Tampered With, Lawyer Claims' menyatakan dakwaan peguam
keluarga Pastor Raymond Koh bahawa Laporan Pasukan Petugas Khas yang
dikemukakan kepada pihak keluarga dan barisan peguam diubah.
Pada 2019 kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas itu untuk menyiasat kes Pastor Raymond Koh yang diculik pada 2017 dan seorang lagi aktivis sosial Amri Che Mat yang hilang pada 2016. - Bernama
(Diambil daripada artikel Berita Harian bertajuk, "KDN Nafi Laporan Pasukan Petugas Khas Kes Pastor Raymond Koh Diubah" bertarikh 24 September 2024)