Rabu, 23 Oktober 2013

Kata 'Allah' Adalah Bahagian Asas Dan Integral Dalam Agama Kristian, Kata Ketua Biskop Katolik

Ketua Biskop Katolik Tan Sri Murphy Pakiam
Kenyataan Akhbar oleh Ketua Biskop Katolik Kuala Lumpur (pada 20 Oktober 2013)

Keputusan yang telah dijatuhkan terhadap akhbar The Herald oleh Mahkamah Rayuan baru-baru ini telah membangkitkan kebimbangan besar kepada ramai rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Kristian. Sebagai Presiden Konferensi Biskop Katolik Malaysia, saya dengan ini menyatakan bahawa tiga Hakim berkenaan telah diberi maklumat yang sangat salah apabila membuat kesimpulan bahawa kata 'Allah' "tidak merupakan bahagian asas atau integral agama Kristian".

Artikel Pertama Keimanan dalam Kepercayaan Katolik dan untuk semua orang Kristian ialah, "I believe in ONE GOD, the Father Almighty, Creator of  heaven and earth" (Aku percaya kepada SATU ALLAH, Bapa yang Mahakuasa, Pencipta syurga dan bumi). Sesiapapun orang Kristian yang menyangkal atau mengubahkan pernyataan iman ini, akan dikucilkan dan dianggap seorang pembidaah yang menyeleweng. Perlu diperhatikan bahawa untuk berkurun-kurun penterjemahan Bahasa Malaysia dan perkataan seerti dalam Bahasa Arab untuk ONE GOD, adalah perkataan suci 'Allah', yang mana telah digunakan oleh orang-orang Kristian secara aman. 

Oleh itu, untuk membuat kesimpulan bahawa kata 'Allah' tidak merupakan bahagian asas dalam kepercayaan Kristian adalah penafian yang serius hak asasi masyarakat Kristian yang berbahasa Malaysia untuk menggunakan perkataan ini dalam doa, upacara ibadah, buku sembahyang, Alkitab dan penerbitan lain. Itu adalah sama seperti menandakan permulaan suatu bentuk penganiayaan. 

Terdapat ribuan orang Sabah dan Sarawak yang berbahasa Malaysia di Semenanjung Malaysia: pelajar-pelajar di institut pengajian tinggi, anggota-anggota angkatan bersenjata, anggota-anggota pasukan polis, kakitangan-kakitangan kerajaan dan lain-lain lagi dalam sektor swasta, ramai di antara mereka yang tinggal di sini bersama keluarga mereka. Sekarangpun sudah lebih separuh daripada Gereja-Gereja kami di Semenanjung Malaysia yang menjalankan sekurang-kurangnya satu ibadah atau satu kelas pengajaran asas agama setiap minggu dalam Bahasa Malaysia.

Sebagai pemimpin agama yang komited, kami perlu memastikan bahawa kami melayani mereka dengan hormat dalam bahasa kebangsaan. Oleh itu untuk sebab ini, kami tidak menerima kenyataan yang dikeluarkan oleh hakim-hakim itu dan kami berdiri bersama dangan ketua-ketua Gereja yang lain yang juga telah menyuarakan bantahan mereka dengan jelas. Kami merasa terdorong bahawa pemimpin-pemimpin dan organisasi-organisasi lain juga telah menyuarakan sentimen yang serupa. 

Kami, bersama semua orang yang berperasaan muhibah, memohon rasa wajar ribuan saudara-saudari Melayu kita, ramai daripada mereka yang telah mendapat banyak kebaikan daripada pendidikan yang ditawarkan dalam sekolah-sekolah Misi kami dan yang memahami kepercayaan kami kepada Tuhan, untuk membenarkan kami untuk terus menggunakan secara aman perkataan suci 'Allah'. Kami menyeru kepada Perdana Menteri untuk mengambil langkah-langkah positif untuk menghentikan indoktrinasi ke atas orang-orang Melayu oleh individu-individu dan organisasi-organisasi yang boleh menjurus kepada pendirian radikal yang membawa perpecahan.  

Kami terus berdoa agar Tuhan akan memberkati dan menerangi hati semua rakyat Malaysia untuk menerima satu sama lain dalam kesatuan dan kepelbagaian. 

Most Reverend Tan Sri Murphy Pakiam
Presiden
Konferensi Biskop Katolik Malaysia

Bertarikh 20 Oktober 2013 di Kuala Lumpur

(Diterjemah daripada artikel laman The Micah Mandate bertajuk "Press Statement by Archbishop of Kuala Lumpur" bertarikh 21 Oktober 2013)