Selasa, 29 Oktober 2013

Perutusan Presiden Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Sabah Mengenai Kes Kalimah Allah

Reverend Datuk Jerry W. A. Dusing,
Presiden Sidang Injil Borneo (Sabah)
Sidang Injil Borneo (SIB), Gereja kedua terbesar di Sabah, telah memberi keyakinan kepada orang-orang Muslim bahawa rayuan Gereja Katolik terhadap keputusan kes kalimah Allah bukanlah menentang mereka ataupun Islam, tetapi terhadap tindakan salah Kerajaan Persekutuan dan pegawai-pegawainya. 

Dalam satu perutusan kepada pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya, SIB mengatakan bahawa gereja itu tidak pernah menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. 

Presiden SIB Sabah, Reverend Datuk Jerry W.A. Dusing dalam kenyataannya, bagaimanapun mengatakan bahawa orang-orang Kristian tidak harus mendapat tanggapan yang salah dari kenyataan pihak-pihak tertentu bahawa mereka boleh menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan di Sabah dan Sarawak.

"Ini lebih daripada mengenai satu perkataan; ianya mengenai hak asasi untuk menyembah Tuhan dalam cara yang telah kami amalkan sejak bergenerasi tanpa halangan.

"Keputusan Mahkamah Rayuan telah meletakkan sekatan-sekatan baru ke atas hak-hak kemanusiaan dan berperlembagaan kami untuk kebebasan beragama.

"Walau bagaimanapun, kami menyeru kepada anda untuk meneruskan persahabatan anda dengan saudara-saudara Muslim dan menunjukkan kasih kepada mereka seperti yang anda biasa lakukan," katanya.

Dusing, bagaimanapun menegaskan bahawa dalam cara yang sama orang-orang Kristian menginginkan hak berperlembagaan mereka untuk memperakui, mengamalkan dan menyebarkan kepercayaan mereka dihormati oleh mahkamah dan kerajaan.

Dia mengatakan bahawa walaupun SIB menerima baik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa orang-orang Kristian di Sabah dan Sarawak boleh meneruskan penggunaan kalimah Allah dan Alkitab berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober, sebarang keputusan mestilah berdasarkan jaminan Berperlembagaan untuk kebebasan beragama rakyat jelata. 

"Kami menolak sebarang dasar 1Malaysia - dua Alkitab yang hanya akan memecahbelahkan negara dan yang tidak akan membantu ahli-ahli kami yang tinggal di Semenanjung Malaysia," katanya.

SIB juga mengingatkan ahli-ahlinya mengenai kes yang telah difailkannya terhadap kerajaan pada 2007 mengenai isu kalimah Allah, yang dijadualkan disebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Rabu ini, dan menerangkan bahawa pendiriannya mengenai perkara tersebut tetap sama. 

SIB telah mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan kerana merampas penerbitan pendidikan agamanya dalam Bahasa Malaysia yang mengandungi kalimah Allah pada 2007.

Dusing mengatakan bahawa dasar SIB adalah untuk menyelesaikan apa-apa percanggahan dengan cara yang baik, tetapi dalam kes ini semua cara telah diusahakan tanpa mendapat sebarang keputusan. 

Oleh kerana keputusan kes kalimah Allah itu membawa kesan kepada hak asasi dan kebebasan mengamalkan dan mengucapkan kepercayaan Kristian, SIB memohon untuk mendapat keadilan daripada mahkamah, katanya.

SIB juga mencadangkan bahawa kes kalimah Allah ini boleh diselesaikan jika Putrajaya mengambil langkah-langkah menarik balik pekeliling 5 Disember 1986 oleh Kementrian Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah Allah, di samping kata-kata lain, dalam semua penerbitan bukan Muslim.

Perkara ini telah dibangkitkan minggu lepas oleh bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman, yang mengatakan bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi boleh saja menarik balik perintah menteri tahun 1986 untuk menamatkan kontroversi yang hangat diperdebatkan ini.

SIB mencadangkan agar surat 1986 itu boleh dipinda dengan satu surat lain untuk menghadkan sekatan hanya kepada kata-kata "Kaabah", "Baitullah" dan "Solat" dalam penerbitan Kristian di Malaysia. 

Kumpulan Kristian itu juga ingin penilaian semula atas semua tindakan pentadbiran dan perundangan yang melanggar maksud dan tujuan Penyelesaian 10 Perkara 2011, supaya dapat dilaksanakan sepenuhnya keizinan yang telah diberikan kepada gereja-gereja di Sabah dan Sarawak untuk terus menggunakan kalimah Allah itu.

"Kami ingin berusaha mendapatkan suatu keputusan yang adil dan saksama dalam kes yang mendatang di Mahkamah Tinggi, yang akan memberikan pernyataan jelas hak-hak berperlembagaan orang-orang Kristian menggunakan kalimah Allah," kata Dusing lagi.

SIB, yang merupakan denominasi yang kedua terbesar di Sabah, terdiri daripada ahli-ahli yang kebanyakannya Bumiputera dari pelbagai suku kaum. 

Mereka menggunakan Alkitab Bahasa Malaysia sebagai kitab sucinya. Alkitab menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan.

(Diterjemah daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Court Action on Allah Issue Not Against Muslims and Islam, Says Sabah Church" penulisan Looi Sue-Chern bertarikh 28 Oktober 2013)