Tidakkah anda harus menanya soalan-soalan ini sebelum berkahwin? |
Oleh J. Lee Grady:
Perkahwinan sepatutnya seperti syurga, tetapi ianya boleh menjadi
seperti neraka di bumi jika anda (1) berkahwin dengan orang yang salah atau (2)
mendapat tahu selepas perkahwinan bahawa pasangan anda telah menyembunyikan
rahsia-rahsia yang gelap daripada anda. Tanya saja kawan saya
"Carlos," yang telah berkahwin selama setahun sebelum mendapat tahu
bahawa isterinya berhutang kad kredit berjumlah beribu-ribu ringgit. Tekanan
yang berpunca dari ketagihannya membeli-belah—dan pembohongannya yang
berterusan—telah membawa kepada penceraian.
Sesiapapun yang pernah mengikuti temuduga tahu bahawa pihak majikan
berusaha mengenalpasti masalah yang mungkin timbul dengan menanya banyak soalan
sebelum mereka mengambil seseorang pekerja. Setengah-setengah syarikat
mengambil berbulan-bulan untuk mencari pekerja peringkat tinggi sebab mereka
tahu bahawa satu kesilapan boleh membabitkan kerugian berjuta ringgit. Jadi
kenapakah anda tidak harus lebih lagi berhati-hati sebelum anda mengambil langkah ke
alam perkahwinan dengan orang yang anda ingin menghabiskan seumur hidup anda?
Saya hairan betapa ramai pasangan Kristian yang tidak menggunakan
hikmat apabila memilih pasangan atau tidak mendapatkan kaunseling pra-nikah
sebelum mereka melangkah ke alam perkahwinan. Mana-mana kaunselor pun akan
memberitahu anda bahawa pasangan-pasangan akan menghadapi masalah besar jika
mereka tidak berkomunikasi dengan jujur pada permulaan hubungan mereka dan
mendedahkan siapa diri mereka yang sebenar. Anda perlu menanya soalan!
Jika anda seorang pengikut Kristus dan anda inginkan pernikahan yang memuliakan
Tuhan, anda harus pastikan anda menanya soalan-soalan ini sebelum Hari Penting
itu.
1. Bagaimanakah pasangan anda mengenali Kristus secara peribadi? Adalah
satu fakta yang menyedihkan bahawa setengah-setengah orang berpura-pura menjadi
Kristian. Mereka boleh menyanyi lagu-lagunya dan meniru kata-kata dan gaya
seorang pastor, tetapi hidup peribadi mereka memberikan gambaran yang
sebaliknya. Mereka adalah penyamar—dan sebahagian mereka sebenarnya mengikuti
gereja untuk mencari gadis comel atau jejaka kacak. Jangan terpedaya dengan
yang palsu. Anda perlukan pasangan yang benar-benar memiliki hubungan dengan
Tuhan.
2. Adakah pasangan anda bertumbuh secara rohani? Adalah satu fakta
yang sedih bahawa ramai orang Kristian masih kekal seperti bayi rohani walaupun
sudah ke gereja bertahun-tahun. Jika anda inginkan perkahwinan yang teguh,
janganlah cari seorang yang tidak ada semarak rohani. Isteri saya cantik.
tetapi apa yang telah menarik hati saya kepadanya ialah cintanya kepada Tuhan.
Jika pasangan anda tidak berminat dengan pemuridan, penyembahan, doa atau
pembelajaran Alkitab, jangan mengandaikan bahawa dia akan membina kematangan
rohani kemudiannya.
3. Apakah cara kehidupan keluarga yang pasangan anda miliki? Kita
semua datang daripada latar belakang keluarga yang berbeza. Ada yang datang
dari keluarga dengan bapa atau ibu tunggal, ada yang dibesarkan dalam keluarga
yang ketagih alkohol, ada yang pernah mengalami penderaan. Tuhan boleh menolong
kita mengatasi kecacatan yang diakibatkan oleh keluarga yang tidak berfungsi
baik. Tetapi anda perlu tahu apa yang anda perlu hadapi sebelum anda berikrar,
"dalam sakit dan sihat." Anda tidak dapat menanggung beban pasangan
anda, atau membina keintiman yang sejati kecuali anda berkongsi satu dengan
lain pengalaman yang telah menyakitkan anda.
4. Apakah sejarah pasangan anda dalam berpacaran dan perkahwinan? Memang
benar bahawa apabila kita datang mengenali Kristus, "yang lama sudah
berlalu" (2 Kor 5:17). Tetapi itu tidak bermakna anda boleh berbohong
mengenai masa lepas anda. Bakal pasangan anda perlu tahu jika anda pernah
berkahwin sebelum ini, mempunyai anak-anak di kota lain, atau samada anda perlu
membayar tuntutan nafkah.
5. Adakah pasangan anda memiliki rekod jenayah? Majikan akan
menanya soalan ini—dan kadang-kala mereka menolak bakal pekerja yang pernah
dijatuhkan hukuman untuk jenayah. Anda tidak mahu menunggu sampai malam
perkahwinan untuk mengetahui bahawa suami anda ada tatu di belakangnya yang
telah dibuat di penjara. Dan anda harus berfikir kembali rencana perkahwinan
anda jika anda mendapat tahu bahawa teman lelaki anda pernah dijatuh hukuman
penjara kerana kesalahan mencederakan.
6. Adakah pasangan anda bergumul dengan ketagihan? Banyak perkahwinan
berakhir dengan penceraian kerana salah satu dalam pasangan memiliki tabiat
yang merosakkan diri. Dia mungkin ketagih dengan alkohol, dadah, pornografi
atau perjudian—dan seorang yang biasa ke gereja yang memiliki tabiat-tabiat ini
mungkin telah belajar untuk menyembunyikan perlakuan mereka. Jika anda
memerhatikan tanda-tanda amaran mengenai ketagihan, jangalah menipu diri anda
dengan memikirkan bahawa ini bukan masalah besar. Anda mungkin perlu
menangguhkan perkahwinan.
7. Adakah pasangan anda berhutang atau memiliki rekod kad kredit yang
menimbulkan persoalan? Bahagian kewangan dalam perkahwinan sudah cukup
mencabar tanpa stres tambahan berhutang. Pasangan-pasangan yang bijak akan
bertemu dengan seorang pastor atau pembimbing untuk membincangkan suatu
belanjawan yang berpatutan. Jika anda mendapat tahu bahawa pasangan anda
berhutang jumlah sebanyak gaji setahun kerana perbelanjaan yang tidak terkawal,
anda harus menilai semula perhubungan ini.
8. Sudahkah pasangan anda menerima pelayanan doa atau kaunseling untuk
kegagalan, kelukaan dan traumanya? Kasih karunia Tuhan melebihi sebarang dosa.
Roh Kudus dapat membebaskan seseorang dari rasa malu akibat perzinahan,
kepedihan penceraian atau belenggu kebencian. Tetapi perkara-perkara ini tidak
terlepas secara sendiri; seseorang itu memerlukan pelayanan doa dan kaunseling
untuk membebaskan diri daripada masa lampaunya. Anda harus bertegas bahawa
pasangan anda mendapatkan pertolongan yang dia perlukan.
9. Adakah anda dan pasangan anda bersetuju mengenai perancangan
keluarga? Saya mengenali sepasang suami-isteri yang telah berkahwin tanpa
mebincang mengenai perkara ini. Lelaki itu mahu banyak anak; isterinya tidak
mahu seorangpun. Ini tidak boleh terjadi! Amos 3:3 mengatakan, "Berjalankah
dua orang bersama-sama, jika mereka belum berjanji (bersetuju)?" Carilah
pasangan yang berkongsi impian dan matlamat yang sama dengan anda.
Jika anda ingin perkahwinan yang dapat bertahan melalui ribut taufan
dalam kehidupan, anda memerlukan seorang pasangan yang komited sepenuhnya
kepada Yesus dan dalam perjalanan untuk kesembuhan. Pasangan anda tidak akan
sempurna, tetapi tolonglah jangan menerima yang kurang daripada yang terbaik
untuk anda daripada Tuhan.
(Diterjemah daripada artikel "9 Serious Questions You Should Ask Before Getting Married"
penulisan J. Lee Grady bertarikh 10 September 2014)