Terdapat sebilangan perkataan seperti "Allah" yang dilarang penggunaannya oleh orang-orang bukan Islam |
Langkah kerajaan negeri melarang orang bukan Islam
menggunakan beberapa perkataan berkaitan Islam mesti dikaji semula kerana ia
tindakan yang tidak produktif dan hanya mempersendakan bahasa kebangsaan dan
Bahasa Arab, kata sebuah badan bukan kerajaan (NGO) hari ini.
Centre For A Better Tomorrow (Cenbet) berkata, larangan itu
seharusnya hanya dikenakan terhadap cubaan menyebarkan agama lain selain Islam
kepada orang Islam atau sebarang tindakan berniat jahat.
"Ini termasuk contohnya, seorang bukan Islam menggelar
dirinya haji atau merujuk tempat ibadatnya sebagai masjid," kata Presiden
Bersama Cenbet Gan Ping Sieu.
Gan dalam satu
kenyataan berkata, NGO itu menghormati Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan
dan undang-undang negeri yang melarang penyebaran ajaran selain Islam kepada
orang Islam.
"Tetapi jika hampir semua berkaitan diharamkan, ia
hanya mempersendakan bahasa kebangsaan dan Bahasa Arab, ia juga hanya
menjarakkan lebih sempadan antara kumpulan etnik berbeza di negara kita pada
ketika kita perlu memperkukuhkan perpaduan negara.
"Pengharaman yang menyeluruh akan lebih mewujudkan
halangan kepada orang bukan Islam dalam mempelajari dan lebih memahami
Islam," katanya.
Gan berkata beliau membuat kenyataan itu ketika kerajaan
negeri Kedah baru-baru ini meminda enakmen negerinya bagi menambah bilangan
perkataan yang tidak boleh digunakan orang bukan Islam dari 24 ke 55.
Katanya, tiada kumpulan yang harus memiliki monopoli atas
perkataan tertentu dalam mana-mana bahasa, terutamanya Bahasa Melayu yang sudah
lama diterima sebagai bahasa kebangsaan.
"Bagaimana orang bukan Islam boleh bertutur dalam
bahasa Melayu tanpa menggunakan perkataan biasa seperti syariah, masjid, surau,
ulama, Quran, haji dan solat?
"Bagaimana dengan orang bukan Islam yang menyanyikan
lagu negeri yang mengandungi perkataan Allah? Bagaimanapun, kita meragui sama
ada undang-undang begitu boleh dikuatkuasakan ke atas orang bukan Islam,"
katanya.
Berdasarkan hujah itu, Gan menyeru pihak berkuasa negeri dengan
segera mengkaji semula pengharaman menyeluruh ke atas penggunaan
perkatan-perkataan tersebut.
Malah, katanya, sesetengah ulama Islam juga tidak menganggap
satu masalah apabila orang bukan Islam menggunakan perkataan Assalamualaikum,
iaitu satu lagi perkataan yang dilarang.
"Membenarkan orang bukan Islam menggunakan ucapan itu
dan perkataan lain yang dilarang, bagi tujuan komunikasi dan rujukan,
sebaliknya akan menguatkan lagi rasa muhibbah antara berlainan bangsa di negara
ini." – 21 November, 2014.
(Diambil dari artikel The Malaysian Insider bertajuk "Tidak Produktif Mengharamkan Semua Perkataan Berkaitan Islam, Kata NGO" bertarikh 21 November 2014)
(Diambil dari artikel The Malaysian Insider bertajuk "Tidak Produktif Mengharamkan Semua Perkataan Berkaitan Islam, Kata NGO" bertarikh 21 November 2014)