Biskop Paul Tan (dua dari kiri) dan paderi Cyril Mannayagam (paling kiri) |
Gereja Katolik mahu buku agama mengandungi kalimah 'Allah'
yang dirampas polis Johor pada Jumaat lepas dipulangkan dan membantah perbuatan
menjadi-jadi pencabulan berterusan terhadap penganut Kristian di Malaysia.
Biskop Katolik Gereja Diocese Johor-Melaka Paul Tan berkata
polis perlu memulangkan 31 naskhah buku yang disita daripada Paderi Cyril
Mannayagam yang bertujuan untuk digunakan Orang Asli Kristian.
"Saya membantah campur tangan polis, soal siasat tanpa
alasan mereka terhadap paderi kononnya kerana menjadi ancaman kepada
keselamatan negara, dan tidak memulangkan buku kami," kata Tan dalam satu
kenyataan kepada The Malaysian Insider.
"Ini adalah suatu gangguan besar-besaran terhadap orang
Kristian walaupun dengan pelbagai jaminan daripada perdana menteri dan
Kabinetnya,” kata salah seorang pegawai gereja utama Malaysia itu.
Rakan sejawatannya di Archdiocese of Kuala Lumpur dan Penang
menunggu keputusan permohonan mereka untuk merayu keputusan mahkamah di
Putrajaya yang melarang gereja menggunakan kalimah Allah dalam mana-mana
penerbitan.
Pada 5 Disember, kenyataan Cyril direkodkan polis di Ledang,
Tangkak dan 31 naskhah buku agamanya dirampas.
Buku berkenaan bertajuk "Kepujian Kepada Tuhan
Allah", adalah untuk Orang Asli di bawah seliaannya di Gereja St Andrew,
Muar.
Polis Johor berkata keputusan sama ada semua buku berkenaan
akan dikembalikan atau tidak terpulang kepada Pejabat Peguam Negara.
Tan mempersoalkan bagaimana perbuatan fotostat buku untuk
digunakan masyarakat Katolik Orang Asli di Bekok, Tangkak boleh dianggap sebagai
"ancaman" yang memerlukan campur tangan polis.
"Polis tidak hanya menyoal Cyril di kedai fotostat, dia
turut dibawa balik ke balai polis dan disoal siasat," katanya.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Penolong
Pesuruhjaya Dennis Lim semalam memberitahu The Malaysian Insider ia adalah
prosedur biasa bagi kenyataan direkodkan dalam siasatan dan menafikan polis
“menahan” paderi itu.
Lim berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun
Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau perasaan
permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama.
"Sehingga kini, pihak berkuasa agama yang menjalankan
tindakan sia-sia, sombong dan sangat mengganggu terhadap Kristian," kata
Tan.
Beliau menekankan Artikel 11, 3A Perlembagaan Persekutuan
menjamin setiap agama di Malaysia berhak menguruskan perihal mereka sendiri.
"Dan itu adalah apa yang berlaku dengan buku berkenaan.
Ia adalah bagi kegunaan dalaman untuk perkhidmatan Katolik," kata Tan.
Beliau berkata ia merupakan satu fakta yang diketahui
terdapat berpuluh ribu penganut Kristian Bumiputera yang bekerja di Semenanjung Malaysia.
"Johor mempunyai salah satu peratusan tertinggi
penduduk Sabah dan Sarawak. Kami juga mempunyai masyarakat Katolik Orang Asli
sejak lebih 100 tahun lalu,” katanya.
Tan berkata upacara perkhidmatan dan doa tertentu bagi
Katolik adalah di dalam Bahasa Malaysia kerana ia bahasa yang digunakan mereka.
"Satu bahagian penting dalam ibadah dan doa kami adalah
untuk menyanyikan puji-pujian, yang secara logik, adalah dalam Bahasa Malaysia
dan termasuk kalimah Allah.
"Ia tidak munasabah untuk terus membenarkan mereka yang
perlu, untuk mempunyai Bible dalam Bahasa Malaysia tetapi mereka tidak boleh
meneruskan aspek lain ibadat mereka dalam bahasa kebangsaan.
"Ia adalah sama seperti memberitahu kita menyanyi lagu
pujian kami dalam bahasa Inggeris, Tamil atau Cina, walaupun jemaah dan paderi
akan menggunakan Bahasa Malaysia," katanya.
Cyril memberitahu The Malaysian Insider dalam satu laporan
semalam bagaimana dia berulang kali memberitahu polis buku itu untuk digunakan
bagi sambutan Krismas akan datang untuk kira-kira 100 ahli Orang Asli.
Polis mendapat maklumat terhadap buku itu selepas Cyril
menghantar satu salinan buku untuk difotostat di sebuah kedai buku di seberang
jalan ibu pejabat polis Ledang di Tangkak.
Beliau berkata, apabila kembali empat jam kemudian, dua anggota
polis menunggunya.
Peristiwa ini berlaku selepas penemuan cap amaran pada lebih
300 salinan Bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas daripada Pertubuhan
Bible Malaysia awal tahun ini di Selangor dan diserahkan kepada penganut
Kristian Sarawak, baru-baru ini.
Amaran itu mengatakan Alkitab tidak boleh diguna atau
diterbitkan di mana-mana saja di Selangor mengikut enakmen Islam negeri yang
melarang penggunaan perkataan Arab tertentu daripada digunakan oleh bukan
Islam.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "Biskop tuntut polis Johor pulang buku, bantah gangguan berterusan terhadap Kristian" bertarikh 15 Disember 2014)