Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming berkata polis tidak harus menyerbu Gereja Bethany yang terletak dalam kawasannya dan bertindak di luar bidang kuasa mereka |
Aduan mengenai "kebisingan" dan penggunaan bangunan kedai oleh sebuah gereja di Bangi mengakibatkan pegawai polis menghentikan kebaktian Bahasa Malaysia Ahad lalu, tindakan yang dikritik oleh Ahli Parlimen kawasan itu, Ong Kian Ming, yang mengatakan bahawa hal-hal seperti itu sepatutnya dikendalikan oleh majlis tempatan.
Ong, Ahli Parlimen Serdang, mengesahkan kejadian di Gereja Bethany itu dengan National Evangelical Christian Fellowship (NECF), badan penaung untuk gereja-gereja evangelikal di Malaysia, yang dianggotai oleh gereja itu.
"Dari apa yang saya tahu, gereja itu terletak di bangunan kedai dan terdapat aduan bahawa ianya tidak harus digunakan sebagai gereja.
"Tetapi polis tidak seharusnya melibatkan diri kerana ini adalah urusan untuk majlis tempatan. Dan polis tentunya tidak harus menghentikan mana-mana acara ibadah mana-mana kumpulan agama," Ong memberitahu The Malaysian Insider.
Seorang jurucakap NECF berkata bahawa gereja itu mengadakan kebaktian dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sebab kebanyakan daripada anggotanya adalah orang Indonesia.
NECF telah dimaklumkan mengenai gangguan itu pada 11.20 pagi pada hari Ahad dan telah menasihatkan pemimpin-pemimpin gereja agar membuat laporan polis.
Jurucakap itu enggan mengulas lanjut sehingga pertubuhan itu menerima laporan penuh daripada gereja itu.
Pihak polis dikatakan telah memberitahu pastor gereja bahawa mereka bertindak atas aduan daripada "jiran-jiran".
Gereja itu, bagaimanapun, terletak di kawasan komersial dekat perhentian bas Kajang.
Pastor Indonesianya, Nelson Sembiling, memberitahu The Malaysian Insider bahawa dua anggota polis tiba pada hari Ahad sewaktu dia baru menyampaikan khutbahnya selama 10 minit.
Mereka tidak memasuki gereja tetapi memanggil beberapa ahli gereja untuk keluar dan menyuruh mereka untuk memanggil keluar pemimpin gereja.
"Saya keluar dan memperkenalkan diri sebagai pastor, dan bertanya samada kami boleh menyudahkan dahulu kebaktian kami sebelum membincangkan tujuan lawatan mereka.
"Pegawai-pegawai itu berkata tidak, dan berkata kami tidak ada lesen untuk beroperasi sebagai gereja.
"Saya seterusnya memberitahu mereka untuk membangkitkan perkara itu dengan NECF sebab pertubuhan itu yang menguruskan perkara-perkara itu, seperti pendaftaran gereja, untuk kami. 'Kami di sini hanya untuk menjalankan kebaktian ibadah kami, kami tidak mengganggu sesiapa,' saya memberitahu pegawai-pegawai polis itu."
Nelson berkata pegawai-pegawai polis itu bertegas untuk menghentikan kebaktian itu, sekiranya tidak, mereka akan menghubungi "inspektor mereka".
Mereka melakukan demikian, dan kemudian memberitahu pastor itu bahawa mereka boleh meneruskan kebaktian itu untuk hari itu tetapi menambah bahawa mereka akan kembali lagi.
"Mereka berkata kami boleh meneruskan kebaktian untuk hari ini (Ahad) dan mereka akan kembali dengan surat-surat aduan yang telah mereka terima. Saya tidak pasti apa yang mereka maksudkan dengan itu," kata Nelson.
Mereka yang menghadiri gereja adalah terutamanya pekerja asing wanita Indonesia yang bekerja di kilang-kilang dan tinggal di kawasan itu, kata pastor itu.
Gereja itu telah mula mengadakan kebaktian di lokasi itu sejak September tahun ini, dan adalah cawangan sebuah gereja di Melaka, katanya.
Kedua-dua gereja itu adalah sebahagian rangkaian Gereja Bethel Indonesia dan telah dimulakan untuk melayani orang-orang Kristian Indonesia yang bekerja dan tinggal di sini.
Gereja itu menggunakan tingkat dua di bangunan kedai dan menyewanya daripada tuan rumahnya, seorang rakyat Malaysia berbangsa Cina, yang dikatakan Nelson mengetahui jelas bahawa premis itu digunakan sebagai gereja.
Satu-satu pengadu yang diketahui olehnya, kata pastor itu, ialah seorang wanita yang tinggal di tingkat tiga di atas gereja itu yang pernah sekali-sekala menyatakan ketidaksenangannya kepada beberapa ahli gereja.
Pemilik sebuah kedai alatulis yang sebaris dengan gereja itu, Syed Mohamad, memberitahu The Malaysian Insider dia pernah mendengar aduan-aduan mengenai bunyi bising daripada penyewa kedai-kedai lain di kawasan itu kerana kebaktian itu yang bermula pada 10 pagi pada hari Ahad kadang-kadang berpanjangan sehingga 2 petang.
(Diterjemah daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Cops Went Overboard Stopping Church's Bahasa Malaysia Service, Says MP" penulisan Deborah Loh bertarikh 2 Disember 2014)