Ibu bapa dikehendaki memaklumkan pihak sekolah dan mengisi
beberapa
borang bagi membenarkan anak mereka memakai simbol keagamaan,
termasuk
lambang salib, ke sekolah. - Gambar fail Malaysian Insider
|
Jabatan Pelajaran Sabah mempertahankan tuduhan yang sebuah
sekolah menengah di Sabah melarang pelajar beragama Kristian memakai lambang
salib ke sekolah, mengatakan larangan itu tidak wujud.
The Star hari ini melaporkan pengarahnya Datuk Jame Alip
berkata, jabatan itu tidak pernah melarang sesiapa pun memakai simbol keagamaan
di sekolah.
"Pelajar boleh memakai lambang salib atau simbol
mana-mana agama lain, asalkan ia tidak terlalu besar atau dijadikan barang
perhiasan," beliau dipetik sebagai berkata, sambil menambah yang sekolah
itu tidak pernah menghalang sesiapa memakai simbol keagamaan.
Bagaimanapun, akhbar itu melaporkan, ibu bapa dikehendaki
memaklumkan pihak sekolah dan mengisi beberapa borang bagi membenarkan anak
mereka memakai simbol keagamaan, termasuk lambang salib, ke sekolah.
Menurut pengetua sekolah itu, ia bertujuan mengekang
kejadian di mana pelajar semakin ramai yang memakai rantai dan barangan
perhiasan lain di sekolah bagi tujuan selain kegunaan agama.
Akhbar Sabah, Daily Express melaporkan semalam, pelajar SM
Ken Wah di Keningau dilarang memakai lambang salib ke sekolah kecuali setelah
mereka memperolehi kebenaran dari lembaga disiplin sekolah.
Katanya, peraturan itu termasuk di bawah kategori kebersihan
diri yang harus dipatuhi pelajar, di mana turut disenaraikan ialah pelajar
tidak dibenarkan memakai barang kemas dan simbol keagamaan ke sekolah.
Seorang bapa memberitahu media, beliau mendapat tahu
mengenai peraturan itu selepas menghadiri taklimat yang diadakan bagi ibubapa
yang mendaftar pelajar baru ke sekolah itu pada 7 November.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Tiada larangan atas salib, tetapi kebenaran diperlukan, kataJabatan Pelajaran" bertarikh 2 Disember 2014)