Khamis, 29 Januari 2015

Bhgn 2 - Kisah Pastor Korea Selatan Yang Menyelamat Dan Menjaga Kanak-Kanak Terbuang (Los Angeles Times)


(mukasurat 2 dari 2)

Di negara yang lebih mementingkan kesempurnaan fizikal, Pastor Lee Jong-rak, yang matanya tercelik selepas menjaga anaknya sendiri yang kurang upaya, telah menjaga anak-anak yang tidak dikehendaki, yang jika bukan kerana kotak bayinya, akan ditinggalkan di jalanan.

Lee memberinya minum melalui tiub, dan kagum dengan kedahagaan anak itu untuk hidup. Hannah hidup selama enam tahun lagi: "Apabila dia meninggal dunia, saya menangis banyak sekali, lebih lagi dari bila ibubapa saya meninggal."

Itulah waktunya Lee bersumpah bahawa dia tidak akan menolak mana-mana kanak-kanak yang kurang upaya. Dia telah secara rasmi mengambil beberapa kanak-kanak sebagai anaknya sendiri dan mendapatkan penjagaan sah sementara untuk kanak-kanak yang lain. 

Pada 2009, dia telah mendirikan kotak bayinya. Dengan segera, bayi-bayi mula muncul, ada di antaranya masih dengan tali pusat.

------------------------

Pegawai-pegawai kebajikan kanak-kanak telah datang mengunjungi Lee semasa musim bunga. Mereka telah melihat laporan TV mengenai rumah anak yatimnya. Kotak bayi itu harus ditutup. 

Pembuangan kanak-kanak merupakan jenayah di Korea Selatan dan mereka berkata bahawa Lee menyediakan cara keluar yang mudah untuk ibubapa. Mereka berkata bahawa anak-anak yatim itu juga berhak untuk mengetahui siapa ibubapa mereka yang sebenar, suatu perkhidmatan yang tidak dapat diberikan oleh Lee dengan penghantaran melalui kotak bayi itu.

Walaupun mereka mengakui bahawa Lee bermaksud baik, pegawai-pegawai itu berpendapat bahawa apa yang dia lakukan membawa lebih banyak padah daripada kebaikan. "Adalah salah untuk menerima saja seorang bayi tanpa mengikuti semua langkah-langkah pengesahan," kata Lee Woon-gyu, seorang pegawai kebajikan kanak-kanak.


Kanak-kanak di rumah anak yatim Jusarang yang dikendalikan oleh Pastor Lee

Pekerja-pekerja sosial yang baru-baru ini mengunjungi rumah anak-anak yatim itu berkata 21 kanak-kanak adalah jumlah yang terlalu besar untuk sebuah rumah dengan empat bilik tidur; ada yang mengatakan bahawa keadaan di situ tidak menjamin kesihatan. Mereka menambah bahawa undang-undang mengkehendaki adanya seorang doktor di situ sepanjang masa untuk mengendalikan keadaan kecemasan.

Pastor Lee menegaskan bahawa rumah anak yatimnya telah diuruskan dengan selamat dan cekap, tetapi mengakui dia ingin mengumpul dana untuk membina kediaman yang lebih besar. Dia berkata kotak bayi itu menawarkan keselamatan untuk bayi-bayi yang kemungkinannya akan dibuang ke dalam tong sampah atau di tandas awam. Dia enggan menutup kotak bayinya, tetapi bersetuju untuk menyerahkan kanak-kanak yang ditinggalkan di situ. Sejak Februari, lapan bayi telah diletakkan di kotak itu.


Pastor Lee, "Tanpa kotak bayi itu, bayi-bayi ini akan mati."

Pada suatu hari baru-baru ini, dia bergegas keliling rumah anak yatimnya, mencium setiap bayi di pipi dan di dahi sementara empat mesin basuh yang telah diderma menderum.

Dinding dipenuhi dengan gambar anak-anak jagaannya, ada di antara mereka dinamakan mengikut masa mereka muncul di kotak bayi, umpamanya Midnight dan Autumn. Daripada 32 kanak-kanak yang telah dijaganya, tiga telah meninggal dunia, tiga kembali tinggal dengan ibubapa mereka, dan lima telah diambil orang sebagai anak angkat.

Lee berkata dia mengasihi mereka secara sama rata, tetapi ada seorang yang dia tidak dapat lupakan. Anak kecil Hannah telah dikebumikan di bawah pokok di luar pintu depan rumah Lee. "Saya tidak dapat melepaskannya," dia berkata. "Saya rasa terhibur bahawa dia masih di sini."


Mukasurat Sebelumnya   |   1   |    2


(Diterjemah daripada artikel Los Angeles Times bertajuk "South Korean Pastor Tends An Unwanted Flock" penulisan John M. Glionna bertarikh 19 Jun 2011)