Isnin, 2 Februari 2015

Filem "Unbroken" - 8 Perkara Yang Anda Mungkin Tidak Tahu Mengenai Louis Zamperini

Pada 25 Disember 2014, filem baru "Unbroken" dari Universal Pictures akan mula ditayangkan di pawagam-pawagam di seluruh Amerika Syarikat (5 Februari 2015 di Malaysia). Berdasarkan buku bestseller Laura Hillenbrand, filem itu menceritakan semula perjalanan yang mengkagumkan Louis Zamperini, seorang pelumba jarak jauh Olimpik dan seorang pengebom Perang Dunia Kedua yang masih hidup selepas nahas kapalterbang yang teruk, terdampar berminggu-minggu di lautan dikelilingi jerung dan 28 bulan penyeksaan dan kekurangan makan di kem tahanan Jepun. Menjelang filem yang akan ditayangkan di pawagam, ketahuilah lapan perkara menarik mengenai salah seorang anggota tentera Perang Dunia Kedua dari Amerika yang paling diraikan.

Bekas pelumba Olimpik dan wira perang Perang Dunia Kedua, Louis Zamperini

1. Dia dulunya seorang anak remaja yang sering melanggar undang-undang.

Dilahirkan pada Januari 1917 kepada ibubapa pendatang dari Itali, Zamperini menghabiskan masa muda sebagai seorang yang paling terkenal membuat hal di Torrance, California. Seorang perokok pada usia lima tahun dan peminum pada 8 tahun, dia telah membina empayar jenayah remaja dengan mencuri apa saja yang tidak dijaga ketat oleh jiran-jiran dan perniagaan-perniagaan tempatan. Zamperini akan memberikan "mata hitam" kepada mana-mana anak muda yang berani mencabarnya, memancitkan tayar kereta milik guru yang mendisiplinkannya, dan pernah juga membaling tomato kepada seorang pegawai polis. Ahli-ahli keluarga pasti bahawa dia akan bakal memasuki penjara atau kehidupan di jalanan, tetapi akhirnya dia meninggalkan kehidupan jenayah remajanya semasa di sekolah menengah, apabila sekumpulan gadis menarik perhatiannya untuk menyertai pasukan olahraga sekolah. Diberi galakan oleh abangnya, Pete, tidak lama kemudian dia telah menjadi salah seorang atlet terbaik California selatan, dan mencapai rekod kebangsaan untuk sekolah menengah setelah larian pantas dalam perlumbaan satu batu dalam hanya 4 minit 21 saat.  

Zamperini bertanding dalam satu perlumbaan pada 1939
2. Dia bertemu dengan Adolf Hitler di Olimpik 1936.

Selepas menamatkan sekolah menengah, Zamperini pun menetapkan sasaran untuk bertanding dalam Sukan Olimpik 1936. Berpindah dari jarak 1,500 meter yang digemarinya ke jarak 5,000 meter, "Tornado Torrance" memberi persembahan baik di ujian kelayakan Amerika Syarikat dan menjadi pelumba jarak jauh paling muda menyertai pasukan Olimpik. Pada usia 19 tahun, dia masih kurang berpengalaman untuk cubaan mendapat emas, tetapi dalam Olimpik yang diadakan di Berlin, dalam bayangan empayar Nazi yang sedang bangkit, dia mendapat tempat kelapan dalam perlumbaannya dan menambat hati para penonton dengan membuat salah satu larian akhir terpantas dalam sejarah acara itu. Antara penonton yang terkagum ialah Adolf Hitler yang telah berjabat tangan dengannya dari tempat duduknya dan berkata, "Ah, kaulah pemuda dengan larian akhir yang pantas." Walaupun mendapat tahniah daripada "Fuhrer" Jerman itu, Zamperini tidak terlepas dari mencari masalah semasa Olimpik itu. Sebelum meninggalkan Berlin, dia hampir ditembak semasa mencuri bendera Nazi (dengan memanjat tiang bendera) di Reich Chancellery sebagai cenderamata.

3. Dia adalah antara calon pilihan untuk memecahkan rekod 4 minit dalam perlumbaan satu batu.

Berikutan persembahan baiknya di Olimpik 1936, Zamperini telah memecahkan rekod-rekod kolej di University of Southern California dan menjadi salah satu atlet pelajar yang paling diraikan di situ. Pada waktu itu, perlumbaan satu batu di bawah 4 minit telah dianggap sebagai hampir mustahil, tetapi dengan prestasi Zampereni yang semakin meningkat, terdapat desas-desus bahawa dialah orang yang dapat melakukannya. Bekas pemegang rekod dunia, Glenn Cunningham membuat jangkaan bahawa dia akan menjadi "jaguh akan datang untuk perlumbaan satu batu" pada 1938, dan Zamperini menjawab dengan memenangi semua perlumbaan dalam musim olahraganya pada 1939. Dia membuat sasaran untuk merangkul emas dan kemungkinan rekod yang dianggap mustahil semasa Olimpik 1940, tetapi pertandingan telah dibatalkan selepas Perang Dunia Kedua bermula. Dengan impian Olimpiknya tergendala, Zamperini mendaftar masuk ke Angkatan Tentera Udara pada1941.

Zamperini memeriksa kerosakan pada pesawat B-24nya
4. Dia nyaris mati beberapa kali semasa bertugas sebagai pengebom B-24.

Semasa Perang Dunia Kedua, Zamperini berkhidmat sebagai pengebom B-24 Liberator dalam Skuad Bom ke-372 Angkatan Tentera Udara. Dari ruang depan pesawatnya yang digelar "Superman," dia telah terbang beberapa penerbangan termasuk serangan udara Disember 1942 yang terkenal di Wake Island, di mana kapal terbangnya hampir kehabisan minyak sebelum kembali dengan lesu ke Midway Atoll. Semasa serangan pengeboman yang seterusnya ke atas pulau kecil Nauru, jet pejuang Zero dari Jepun telah menyerang B-24 yang diterbangkan Zamperini, membunuh seorang dan mencederakan beberapa kru. Kebocoran minyak hidraulik, B-24 yang telah ditembak teruk itu nyaris-nyaris bertemu kecelakaan sewaktu pendaratan cemas di pulau Funafuti. Zamperini dan krunya kemudiannya baru mengetahui bahawa kapal terbang mereka telah ditembusi dengan hampir 600 lubang oleh tembakan dan serpihan tembakan musuh.

5. Dia terdampar di laut selama 47 hari.

Pada 27 Mei 1943, Zamperini dan krunya sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat di Lautan Pasifik apabila kapal terbang mereka tiba-tiba kehilangan kuasa pada dua enjinnya dan jatuh ke dalam laut. Hanya tiga daripada sebelas kru kapal terselamat: Zamperini, juruterbang Russell Allen Phillips dan penembak Francis McNamara. Terapung-apung di atas sepasang bot pelampung dengan hanya bekalan yang sedikit, mereka bertiga bertahan selama beberapa minggu keterikan matahari, kelaparan, kekurangan air, dan ikan-ikan jerung yang mengelilingi mereka. Pada suatu hari, penembak senapang mesin dari pesawat pengebom Jepun telah menembak mereka, menghancurkan sebuah bot mereka dan meninggalkan sebuah bot lagi hampir tidak dapat digunakan. Zamperini dan rakan-rakannya bertahan dengan meminum air hujan dan memakan ikan atau burung yang sekali-sekala dapat ditangkap, tetapi berat badan mereka ketiga semua jatuh ke bawah 100 paun, dan McNamara meninggal dunia selepas 33 hari di laut. Zamperini dan Phillips terus terdampar di laut selama dua minggu lagi sebelum ditangkap oleh Tentera Laut Jepun berdekatan Kepulauan Marshall. Pada waktu itu mereka telah hanyut di laut sejauh 2,000 batu.

Para tahanan menjadi kurus kering kerana tidak diberi
makanan yang cukup di kem tahanan perang
6. Dia telah menerima penyeksaan harian sebagai tahanan perang.

Setelah ditahan selama enam minggu di Pulau Kwajalein, Zamperini telah dihantar ke kepulauan utama Jepun dan akhirnya ditahan di tiga buah pusat soal siasat dan kem tahanan perang. Dalam masa dua tahun yang seterusnya, dia menderita penyakit, kelaparan dan pukulan hampir setiap hari dari para pengawal. Koperal Jepun, Mutsuhiro Watanabe, yang digelar "the Bird" oleh para tahanan, suka sekali menyeksa pelumba itu. Semasa di kem-kem tahanan Omori dan Naoetsu, Mutsuhiro telah membelasah Zamperini dengan kayu, tali pinggang dan penumbuk dan selalu mengancam untuk membunuhnya. Pada satu ketika dia menyuruh Zamperini mengangkat sebatang tiang kayu yang berat ke atas kepalanya dan mengancam untuk menembaknya jika dia melepaskan tiang kayu itu; pada satu ketika lain, dia memaksa Zamperini dan tahanan-tahanan Amerika yang lain untuk menumbuk satu sama lain sampai hampir kesemuanya pengsan, Berkata mengenai Mutsuhiro, Zamperini kemudiannya berkata dia berjaga-jaga akan kedatangannya "seperti berjaga-jaga akan singa yang berkeliaran di hutan."

7. Pihak Jepun cuba menggunakannya sebagai alat propaganda.

Reputasi Zamperini sebagai seorang bekas atlet Olimpik telah menyelamatkannya daripada dibunuh di tangan Jepun, tetapi ianya juga menyebabkannya diberikan penyeksaan yang khas. Pengawal-pengawal di kem soal siasat Ofuna memaksa Zamperini yang lemah dan kekurangan makan untuk berlumba lari dengan pelari-pelari Jepun dan kemudian memukulnya dengan kayu apabila dia cukup berani untuk memenangi perlumbaan. Kemudiannya, pegawai-pegawai Jepun di Radio Tokyo membawanya ke studio mereka dan cuba menyakinkannya untuk membaca mesej propaganda di udara. Zamperini telah disangka mati oleh negaranya, dan pihak Jepun ingin menggunakannya untuk melemahkan semangat Amerika dan menggambarkan kerajaan Amerika Syarikat sebagai tidak berkemampuan. Zamperini bersetuju membaca satu mesej yang memberitahu ibubapanya bahawa dia masih hidup, tetapi meskipun diberi amaran berkali-kali bahawa dia akan dihantar ke kem untuk menerima hukuman, dia enggan bekerjasama lebih dari itu.

8. Dia bertemu semula dengan bekas pengawal-pengawal yang menahannya selepas perang. 

Zamperini dan rakan-rakan tahanan perangnya telah dibebaskan berikutan Jepun menyerah kalah pada September 1945, tetapi pengalaman pahit waktu perangnya terus menghantuinya. Bertahun-tahun tidak cukup makan dan diseksa telah menyebabkan dia tidak dapat meneruskan karirnya sebagai pelumba, dan dia bergantung kepada alkohol untuk menjauhkan mimpi buruk dan ingatan ngeri. Zamperini kemudiannya mengatakan bahawa dia telah diselamatkan daripada stres trauma lanjutan (post traumatic stress) setelah mendengarkan khutbah penginjil Billy Graham pada 1949. Dia menceritakan mengenai pengalamannya masuk Kristian dalam jelajah ceramah seluruh negara dan memulakan kem untuk pemuda-pemuda bermasalah. Pada 1950, Zamperini kembali ke Jepun untuk pertama kalinya untuk berucap kepada penjenayah-penjenayah perang Jepun yang diadakan di Penjara Sugamo di Tokyo. Semasa di situ, dia telah berjabat tangan dan memeluk ramai daripada bekas pengawal kemnya. Mutsuhiro Watanabe telah mengelak daripada ditangkap, tetapi Zamperini kemudiannya menulis surat mengampuni orang yang telah menyeksanya itu dan juga cuba tanpa berhasil untuk bertemu dengannya semasa di Jepun sempena Olimpik Musim Sejuk 1998 di Nagano.

(Diterjemah daripada artikel laman History bertajuk, "8 Things You May Not Know About Louis Zamperini" penulisan Evan Andrews bertarikh 17 Disember 2014)