Selasa, 3 Februari 2015

Kesaksian Peribadi Louis Zemparini, Hero Filem "Unbroken"



Kesaksian Louis Zamperini - Bagaimana dia telah datang kepada Kristus melalui Billy Graham di Los Angeles:

Dia berlumba mewakili negaranya di Olimpik Berlin 1936. Semasa Perang Dunia Kedua, pesawat B-24 yang membawanya terhempas ke Lautan Pasifik dan dia nyaris mati semasa 47 hari terdampar di laut dalam bot pelampung.

Dijumpai oleh pihak Jepun, dia menghabiskan baki tempoh peperangan di kem tahanan perang di mana dia menderita penderaan di tangan pengawal penjara yang digelar "The Bird."

Selepas peperangan, dia bertemu dan berkahwin dengan gadis impiannya, tetapi trauma stres lanjutan (post-traumatic stress disorder) yang alaminya membawa perkahwinannya ke arah kehancuran. Pada sepanjang masa, dia berimpian untuk kembali ke Jepun untuk memburu dan membunuh pengawal penjara yang telah menyeksanya. 

Kehidupan Louis Zamperini telah
dikisahkan dalam buku "Unbroken"
penulisan Laura Hillenbrand yang
telah diterbitkan pada Nov 2010

"Aku dapat mimpi ngeri setiap malam," kata Louis Zamperini, 94 tahun, yang menjadi watak utama buku bestseller "Unbroken" penulisan Laura Hillenbrand. Mimpi-mimpi buruk mengikut Zamperini kembali ke tanah air seperti anjing liar dari neraka. "Tiada seorang yang mengetahuinya. sebab aku kelihatan normal," katanya. "Aku cuba menutupinya dengan mengambil minuman keras."

Isterinya, Cynthia mengesyaki sesuatu yang tidak kena mengenainya, sebab Zamperini sering terjaga sambil berpeluh dingin dan menjerit. Pada suatu malam dia bermimpi bahawa dia sedang mencekik The Bird. Yang sebenarnya, dia sedang berada di atas isterinya yang mengandung dengan tangannya memegang leher isterinya, dan nyaris mencekik nyawa daripadanya. "Aku terjaga dan tidak dapat percaya ianya berlaku," katanya.

Hidupnya makin menjunam ke bawah sambil dia mengejar wanita lain di bar tempatan, di mana dia dan rakan-rakan Olimpik sering mendapat minuman percuma. "Keadaanku tidak terkawal lagi," Zamperini mengingat. "Isteriku membuat keputusan untuk bercerai denganku.'

Pada waktu itu, sebuah pasangan baru di bangunan apartmen mereka memberitahu tentang seorang penginjil muda yang sedang berkhutbah dalam kemah besar di pusat bandar Los Angeles. "Pada masa itu perkataan 'penginjil' adalah perkataan yang tidak disukai sebab terdapat ramai penginjil yang tidak jujur," kata Zamperini.

Terkagum dengan seorang penginjil

Penginjil muda itu adalah Billy Graham, yang menjadi tumpuan dalam pesanan terkenal William Randolph Hearst kepada editor beritanya -- "Hebahkan Graham" - yang menyebabkan 10,000 orang membanjiri khemah setiap malam. Cynthia pergi dengan pasangan itu untuk mendengarkan Graham, tetapi Louis enggan pergi. Apabila Cynthia kembali dari acara itu, Louis serta-merta melihat bahawa terdapat perbezaan padanya.

"Dia mula mengatakan mengenai damai dan sukacita dalam hatinya," dia mengingat. Begitupun, Louis dengan degil menolak jemputannya untuk pergi mendengar khutbah Graham. "Dia tahu demi menyelamatkan perkahwinan kami, aku perlu diselamatkan."

Walaupun dia terus merayu, Louis tidak berganjak dari pendiriannya. "Aku tidak mahu terlibat apa-apa dengan itu."

Tetapi kemudian Cynthia mengatakan sesuatu yang menarik perhatiannya. "Oleh kerana aku sudah diselamatkan Tuhan, aku tidak lagi mahu bercerai," dia mengumumkan.

Pada keesokan harinya, Cynthia terus menerus merayu kepadanya, dan kali ini dia berlembut. "Ok, ok, aku pergi," katanya. "Tetapi bila orang itu kata, 'Semua kepala tunduk dan setiap mata ditutup,' kita keluar dari tempat itu."

Louis Zemperini telah berkahwin dengan gadis
impiannya, Cynthia selepas Peperangan

Pada malam itu, Graham berbicara daripada fasal kelapan Yohanes mengenai seorang wanita yang ditangkap melakukan perzinaan. "Dia mula berkhutbah dan mengucapkan nas Alkitab yang mengingatkanku mengenai hidupku," kata Louis. Begitupun, hatinya masih keras. Pada penghujung khutbah apabila Graham meminta para hadirin menunduk kepala, dia menarik lengan isterinya dan cepat-cepat meninggalkan khemah itu.

Sambil mereka memasuki kereta, dia berkata, "Jangan bawaku ke tempat yang seperti ini lagi."


Louis kerapkali terjaga pada malam itu, dengan banyak mimpi ngeri mengenai The Bird. Pada keesokan paginya, Cynthia juga bertegas dalam pendiriannya bahawa hanya perubahan hati dalam Louis saja satu-satunya cara untuk menyelamatkan perkahwinan mereka. Dia terus merayu Louis lagi dan menyakinkannya untuk kembali kali kedua untuk mendengarkan Graham. Louis memberi amaran kepada isterinya, "'Jika dia kata 'semua kepala tunduk dan setiap mata ditutup,' kita keluar dari tempat itu."

Pada kali ini, Graham berkata mengenai mengapa orang Kristian menderita dan kenapa Tuhan kelihatannya mengizinkan Komunisme berkembang. Pada penghujung khutbah, apabila Graham meminta para hadirin untuk tunduk kepala, Louis bangkit untuk beredar. Sambil dia beredar ke hujung barisannya dan ke lorong utama, dia teragak-agak dan terhenti.

Sesuatu yang Graham katakan mengenai orang yang "di penghujung jalan" yang memanggil kepada Tuhan mencetuskan sejumlah ingatan. Dia mengingati penderitaannya di kem tahanan perang Jepun, di mana dia dan tahanan-tahanan lain berdoa setiap hari. Pada waktu itu, dia telah berjanji kepada Tuhan "Jika Engkau membawaku kembali dengan selamat, aku akan mencari Engkau dan melayani Engkau."

Detik kesedaran

Begitu juga, dia teringat kembali kepada penderitaannya di atas bot. "Di atas bot itu, nasib kami terserah sepenuhnya kepada gerak-geri lautan. Aku kembali dengan selamat, Tuhan telah menunaikan janji-Nya," dia menyedari, tetapi dia sendiri yang tidak menunaikan bahagian janjinya.

"Teruknya aku," dia mengucap pada dirinya sendiri.

Dia tidak menuju ke pintu keluar, sebaliknya dia berjalan ke arah bilik doa. Di situ dia berlutut dan menyerahkan hidupnya kepada Kristus. "Roh Kudus datang ke dalam hatiku dan aku menjadi anggota gereja yang sejati, Tubuh Kristus."

Sesuatu yang luar biasa berlaku sambil dia berlutut merendah diri di hadapan Tuhan. "Ketika aku masih berlutut, aku mengampuni semua pengawalku, dan aku tahu bahawa aku sudah tidak mahu lagi merokok, mengambil minuman keras dan mengejar perempuan."

Pada malam itu, semua mimpi ngerinya berhenti secara tiba-tiba. "Mukjizat telah terjadi," katanya, "itulah kali pertama sejak bertahun-tahun aku tidak mendapat mimpi ngeri. Dan aku tidak pernah lagi dapat mimpi ngeri sejak itu."

Zamperini menyelongkar apartmennya pada keesokan hari. Dia membuang kesemua arak, rokok dan majalah lucah yang telah disembunyikan di pelbagai tempat. Dia mengeluarkan Alkitab Perang Dunia Keduanya, berjalan ke taman berdekatan dan mula membaca. "Aku sampai ke bahagian penyaliban dan aku mula menangis seperti seorang bayi."

Dia meninggalkan taman itu dan bergegas pulang untuk bertemu Cynthia. "Mukjizat telah berlaku dalam hidupku," katanya dengan semangat.

"Mukjizat yang sama telah berlaku padaku," kata Cynthia, "Itulah mukjizat keselamatan - ianya berlaku pada saat kita percaya!"

Louis Zamperini dan Billy Graham

Pada hari berikutnya Louis bertemu dengan Billy Graham dan Cliff Barrows dan memberitahu mereka mengenai perubahan menakjubkan yang telah berlaku. "Aku penuh sukacita," ingatnya. Louis bagaimanapun bertegas bahawa dia tidak akan naik pentas untuk bercerita mengenai imannya.

Tetapi Tuhan mempunyai rancangan-Nya sendiri. "Pada keesokan harinya Cliff Barrows memberiku tiket keretapi untuk ke Modesto." Zamperini menaiki keretapi itu dan menuju ke acara pertama Graham di mana dia melibatkan diri, di mana dia telah berkongsi mengenai iman barunya. "Aku hanya tahu dua atau tiga ayat Alkitab," dia mengakui. "Sejak masa itu, aku telah naik ke pentas di seluruh dunia."

Zamperini berkata seorang pengulas buku "Unbroken" menyalahkan buku itu dalam satu aspek. "Dia tidak dapat mengerti bagaimana seorang yang mengalami stres trauma lanjutan (post-traumatic stress disorder) dapat terlepas daripada itu dalam sejenak waktu."

"Pengulas itu tidak tahu nas Alkitab", 'Jadi siapa yang ada di dalam Kristus, ia adalah ciptaan baru: yang lama sudah berlalu, sesungguhnya yang baru sudah datang.'"

(Diterjemahkan daripada artikel God Report bertajuk, "Louis Zamperini: How He Came To Christ Through Billy Graham In L. A.")