Jilius Yapoo (kanan) dan Michael Frederick (kiri) - Gambar fail The Malay Mail Online |
Ketika ini, pelajar berusia 16 tahun itu dan tiga lagi adik
beradiknya yang lain bersekolah di SMK Kinarut yang berlokasi kira-kira 20 km
dari Kota Kinabalu.
Bapa remaja itu, Jilius Yapoo dan isterinya sudah memutuskan
keempat-empat anak mereka dipindahkan di sebuah sekolah di Papar atau di Kiulu,
selepas Tahun Baru Cina ini.
Bapa saudara remaja itu, Michael Frederick memberitahu
media, ibu bapa pelajar itu akan berbincang dengan anak perempuan mereka dan
tiga adik-adiknya yang lain berusia di antara 13 dan 15 tahun berhubung sekolah
yang akan dipilih.
“Mereka mempertimbangkan untuk memilih SMK Majakir di Papar
atau sebuah sekolah lain di Kiulu,” kata Michael yang juga Pengerusi
Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung di Kaiduan.
Sekolah SMK Kinarut menjadi tumpuan selepas laporan
mendedahkan seorang pelajar perempuan memeluk agama Islam tanpa pengetahuan
kedua-dua ibu bapanya.
Pelajar itu yang asalnya beragama Kristian, mencetuskan
kontroversi selepas dilapor membaca Kalimah Syahada sekali gus mengisytiharkan
dirinya masuk Islam serta memakai tudung, semuanya tanpa pengetahuan ibu
bapanya.
Pelajar itu didakwa dipengaruhi oleh bekas warden asrama
sekolah berkenaan yang kini sudah dipindahkan ke tempat lain.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah, Jalaluddin Abdul
Rahman berkata, gadis itu menyatakan keinginannya untuk memeluk agama Islam
sejak berada di Tahun Enam.
Katanya, polis sudah memulakan siasatan ke atas insiden itu
selepas bapa gadis berkenaan membuat laporan yang anaknya sudah memeluk agama
Islam.
Hasil siasatan polis mendapati remaja itu masih beragama
Kristian.
Jilius yang bekerja sebagai penoreh getah menegaskan bahawa
anaknya akan kekal sebagai seorang Kristian sehinggalah dia mencapai usia 18
tahun, di mana dia boleh membuat keputusan sendiri agama yang dipilihnya
selepas itu.
Beliau juga sebelum ini mendakwa, anaknya diislamkan secara
paksa di sekolah itu selepas dipengaruhi warden sekolah itu.
Menurut Jilius, beliau akan menghabiskan sebanyak masa yang
ada bersama keluarganya dan akan cuba meyakinkan anaknya untuk kekal dalam
agama yang dianutinya sekarang sehinggalah dia mencapai usia yang membenarkan
untuk membuat keputusan sendiri.
Beliau juga mempertimbangkan untuk mengambil tindakan
undang-undang terhadap sekolah kerana membenarkan penukaran agama anaknya yang
masih dibawah umur tanpa persetujuannya.
Pengetua SMK Kinarut, Joharah Abdullah menyatakan sekolah
tidak tahu mengenai kes tukar agama itu sehinggalah laporan polis dibuat oleh
si bapa.
Menurut undang-undang, agama anak yang masih di bawah umur
hanya boleh diputuskan oleh ibu bapanya.
Di bawah undang-undang agama Islam pula, selepas mengucap Syahada,
ia sudah cukup menjadikan seseorang itu sebagai Islam.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Pelajar Kontroversi Agama Pindah Sekolah" bertarikh 21 Februari 2015)