Mesej teks yang tersebar mengenai pengislaman seorang pelajar Kristian di SMK Kinarut, Sabah tanpa kebenaran ibubapa. Polis mengesahkan telah menerima laporan daripada ibubapa itu |
Ketua jabatan siasatan jenayah negeri, Datuk Salehhudin Abdul Rahman berkata polis menerima laporan daripada ibubapa seorang pelajar yang mendakwa anak mereka yang belajar di sekolah itu telah "ditukar agama" ke Islam tanpa kebenaran mereka.
"Kami telah menerima laporan polis dan sedang menyiasat kes itu. Kami telah berhubung dengan pihak sekolah dan akan merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri untuk bantuan," dia berkata semasa dihubungi oleh Malay Mail Online semalam.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Jame Alip juga berkata mereka telah berhubung dengan pengetua sekolah dan akan mengeluarkan laporan tidak lama lagi.
Menurut dakwaan yang sedang tersebar melalui mesej teks di sini, perkara itu pertama kalinya dibangkitkan dalam mesyuarat Persatuan Ibubapa dan Guru di sekolah, dan pengetua telah merujukkan perkara itu kepada guru yang bertanggungjawab tentang hal ehwal pelajar.
Dalam mesej itu, seorang guru Kristian di sekolah itu, berkata seorang guru yang dipindahkan dari Kuala Lumpur bertanggungjawab menukar agama pelajar itu.
Apabila ibubapa meminta warden itu mengubah pertukaran agama itu ataupun tidak mengisytiharkan kemasukannya ke agama Islam, warden itu menolak permintaan mereka, dengan mendakwa bahawa pelajar itu telah mengucap syahadah, deklarasi iman Islam, dan kini sudah menjadi Muslim meskipun "di bawah umur."
Ibubapa itu kemudian membuat laporan polis.
Presiden Gereja Sidang Injil Borneo, Reverend Datuk Jerry Dusing berkata dia telah menerima maklumat mengenai kes itu dan akan menyiasat perkara itu.
"Kita tidak jelas apa yang berlaku pada waktu ini tetapi akan mengadakan perjumpaan dengan orang-orang yang terbabit," katanya.
Umat Kristian di Sabah sudah lama mendakwa mengenai cubaan-cubaan secara berselindung untuk menukar agama pengikut Kristian Bumiputera ke agama Islam.
Seorang guru sekolah berdekatan SMK Kinarut berkata ini bukan kali pertama kes seperti ini berlaku.
"Ianya juga telah berlaku di sekolah saya juga, di mana pelajar-pelajar Kristian di asrama telah dijemput mengikuti sembahyang Islam dan diberitahu bahawa agama mereka tidak setanding.
"Kadang-kadang mereka dibawa mengikut dalam sembahyang mereka dan kemudian mereka mengucapkan sesuatu deklarasi tanpa menyedari dan dengan cara itu ditukar agama tanpa pengetahuan mereka. Pelajar-pelajar itu dalam keadaan terpinga-pinga, tetapi tidak ada apa yang dapat dilakukan," kata guru itu dengan syarat tidak dimaklumkan namanya.
(Dipetik dan diterjemah daripada artikel Malay Mail Online bertajuk, "Sabah Cops Probing Claim Of Student Tricked Into Islam By School Warden" penulisan Julia Chan bertarikh 6 Februari 2015)
(Dipetik dan diterjemah daripada artikel Malay Mail Online bertajuk, "Sabah Cops Probing Claim Of Student Tricked Into Islam By School Warden" penulisan Julia Chan bertarikh 6 Februari 2015)