Jilius Yapoo dan keluarganya amat bersedih bahawa anak perempuan mereka berusia 16 tahun telah masuk Islam tanpa pengetahuan mereka semasa tinggal di asrama SMK Kinarut, Sabah. |
PAPAR, 8 Februari 2015 - Sambil duduk di beranda rumah kayunya, penoreh getah Sabah, Jilius Yapoo berlinangan air mata apabila dia menceritakan kembali rasa terkejutnya beberapa hari sebelum ini apabila dia pertama kali melihat anak perempuannya yang berusia 16 tahun memakai tudung.
Orang Kristian Dusun yang kuat pegangan agamanya ini berkata dia telah pergi ke asrama anak perempuannya untuk membawanya pulang pada hujung minggu apabila anak remajanya itu muncul berpakaian tudung dan kelihatan terganggu.
"Dia sedang memakai tudung dan menunjukkannya kepada saya. Air mata saya mengalir dan dia memandang saya dan menangis.
"Dia memberitahu saya bahawa dia telah masuk Islam dan tidak dapat menarik diri sekarang. Saya langsung terdiam," kata Jilius sambil menahan air mata.
Ayah kepada lapan anak dari Kampung Kaiduan di Kawang telah membuat laporan polis pada hari Rabu selepas diberitahu oleh saudaranya bahawa anak perempuannya telah dilihat berpakaian tudung Muslim di sekolahnya SMK Kinarut.
Dia berkata dia telah membangkitkan hal ini sebelum ini ke mesyuarat Persatuan Ibubapa dan Guru sekolah itu tetapi mendakwa permintaannya ditolak dan diberitahu untuk bertenang.
Jilius juga berkata dia telah berusaha untuk berjumpa dengan anak perempuannya pada hari mesyuarat itu, tetapi tidak dapat bertemu dengannya.
"Dua hari kemudian saya pergi mengambilnya dari sekolah untuk membawanya pulang untuk hujung minggu apabila saya dapat berjumpa dengannya, tetapi dia berkata dia tidak akan pulang untuk minggu ini," kata ayah yang sangat bersedih kepada Malay Mail Online ketika ditemui di rumahnya semalam.
"Dia hanya berumur 16 tahun, di bawah umur, dan tidak seharusnya perlu membuat keputusan seperti ini. Walaupun dia secara rela mengucapkan syahadah (pengucapan kepercayaan Islam kepada Allah dan Muhamad), dan ingin bertukar agama, dia dan pihak sekolah seharusnya memaklumkan saya dahulu,' kata Jilius.
Malay Mail Online telah melaporkan pada hari Khamis bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat dakwaan pengislaman seorang pelajar Kristian di SMK Kinarut dekat sini oleh warden asrama sekolahnya.
Adalah dipercayai bahawa bekas warden asrama sekolah yang telah mencetuskan pertukaran agama pelajar itu dengan pengucapan syahadah, yang memaksanya untuk memeluk Islam walaupun "di bawah umur."
Menurut ibu pelajar itu, Jaina Yassin, anak perempuannya mempunyai ramai kawan-kawan Muslim di sekolah tetapi tidak pernah menyebut apa-apa mengenai menukar iman kepercayaannya.
"Kami sering berdoa sebagai sebuah keluarga dengan pastor kami, yang kadang-kala datang ke rumah. Apabila kami mendengar dia sedang memakai tudung dan telah bertukar agama, hati kami hancur."
"Bagaimanakah ini boleh terjadi?"
"Kami ada tiga anak lagi yang belajar di sekolah yang sama, dan saya takut ini juga akan berlaku kepada mereka," dia berkata, dengan menambah bahawa pastor gereja telah mencadangkan agar mereka memindahkannya keluar dari sekolah itu.
Keluarga itu, dengan Jilius sebagai satu-satunya pencari nafkah, mendapat pendapatan yang kecil sebanyak RM350 sebulan.
Wang itu digunakan untuk menyara kehidupan sepuluh orang yang tinggal di rumah mereka, yang terletak di pedalaman pantai barat Sabah.
Kampung itu terdiri daripada kebanyakannya petani sara diri dan tidak ada talian telefon dan televisyen, tetapi ada bekalan elektrik dan air.
Mesej FB dari Michael Frederick (Klik untuk imej lebih besar) |
"Selagi dia di bawah umur dan di bawah penjagaan saya, dia tidak boleh membuat keputusan ini. Apabila dia cukup umur, pada waktu itu terserahlah kepadanya," kata Jilius.
Pengerusi JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) Michael Frederick berkata ianya di luar kebiasaan untuk sekolah membenarkan suatu pertukaran agama tanpa mendapatkan izin ibubapa pelajar.
"Biasanya hanya untuk membawa pelajar-pelajar keluar dari sekolah, mereka menghubungi ibubapa dan surat mestilah ditunjukkan dan ditandatangani oleh ibubapa dan diperakui oleh jawatankuasa.
"Kami tidak menentang kebebasan memilih agama tetapi saya berharap pihak berkuasa akan menyiasat perkara ini, dan memastikan ianya dilakukan dengan betul di masa hadapan, tanpa niat buruk dari sekolah, dan dengan izin ibubapa.
"Kita tidak boleh ada pelajar pergi ke sekolah dengan satu agama, dan keluar dari sekolah dengan agama lain, kata Michael.
Polis Sabah telah berkata bahawa kes itu telah dirujuk kepada pihak berkuasa agama negeri untuk tindakan lanjut.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Datuk Jame Alip apabila dihubungi berkata perkara itu sekarang telah diserahkan kepada polis. Dia enggan mengulas lanjut.
Kumpulan-kumpulan Kristian di Sabah kebelakangan ini telah membantah cubaan-cubaan yang didakwa dilakukan secara berselindung untuk menukar agama pengikut-pengikut Kristian Bumiputera ke Islam.
Pada bulan Januari 2014, sekumpulan penduduk tempatan Sabah dari daerah Pitas yang terpencil dilaporkan diperdaya untuk memeluk Islam dengan RM100 oleh sebuah badan kebajikan Islam.
Majlis Gereja-Gereja Sabah dan Gereja Roman Katolik Sabah juga telah membuat aduan rasmi kepada Jabatan Pendidikan pada tahun lepas mengenai rancangan berselindung untuk menukar agama pelajar-pelajar Kristian bawah umur ke Islam di asrama Kolej Matrikulasi Labuan.
(Diterjemah daripada artikel Malay Mail Online bertajuk, "Sabah Christian Dad In Tears At First Sight Of Daughter In Tudung" penulisan Julia Chan bertarikh 9 Februari 2015)