Tidak berlaku sebarang proses mengislamkan Sabrina Ngumbang
dan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Lutong itu masih
penganut agama Kristian, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan
Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah.
Mengulas mengenai isu membabitkan pemberian baju kurung dan telekung kepada
pelajar itu sehingga menjadi viral media sosial, Fatimah menjelaskan, Sabrina
masih bawah umur untuk membuat keputusan, lapor Borneo Post Online.
“Dia masih bawah umur untuk sebarang keputusan walaupun menyatakan minat untuk
memeluk Islam kepada gurunya,” beliau dipetik sebagai berkata.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Sabrina,
keluarganya, pihak gereja, guru dan Pengetua SMK Lutong, Marcus Hugo, petang
semalam.
Jelas Fatimah, Sabrina belum memeluk Islam kerana tidak berlaku sebarang proses
pengislaman malah proses itu belum sampai ke jabatan agama Islam.
“Isu ini tamat di rumah dan ada bantahan daripada pihak gereja. Proses tidak
diterus dan Sabrina masih penganut agama Kristian yang sah,” jelas beliau,
seperti dilaporkan media tempatan itu.
Borneo Post melaporkan, isu pengislamannya timbul apabila pada 12 Mac
lalu, Sabrina menemui seorang guru dan menyatakan minat memeluk agama Islam.
“Walaupun dia sendiri menyatakan minat memeluk Islam, tetapi masih bawah 18
tahun, ibu bapa sebagai penjaga sah berhak untuk dirujuk,” tegas Fatimah.
Ibu bapa Sabrina melaporkan kes tersebut polis petang kelmarin.
Setelah semua pihak terlibat bersemuka dan berbincang, Fatimah berkata, kes itu
harus dijadikan iktibar kepada guru terutamanya mengenai hak pelajar bawah
umur.
Beliau menambah, setakat ini tidak wujud senarai pelajar atau jumlah pelajar
yang disasar untuk diislamkan seperti yang diuar-uar di laman sosial berhubung
kes Sabrina.
(Diambil dari artikel Malaysiakini bertajuk "Sabrina Masih Kristian, Kata Menteri Sarawak" bertarikh 29 Mac 2015)