Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak |
Kabinet hari ini bersetuju, penduduk yang membantah salib di
gereja di Taman Medan, Petaling Jaya akan disiasat polis mengikut Akta Hasutan
atau peruntukan undang-undang sedia ada.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, akta itu
bertujuan menjamin keamanan dan keharmonian kaum di negara ini dan melindungi
semua agama dan kaum.
“Polis akan menjalankan siasatan terhadap kumpulan yang
mengadakan bantahan di Taman Medan.
“Jika mereka didapati
melanggar undang-undang negara, tindakan boleh diambil di bawah Akta Hasutan
atau undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Najib berkata, Kabinet hari ini membincangkan bantahan
sekumpulan penduduk, yang dilaporkan kira-kira 50 orang, terhadap pemasangan
lambang salib di luar rumah kedai yang digunakan sebagai gereja itu.
Katanya, mereka sepatutnya berbincang dengan pihak yang
berkenaan jika mempunyai sebarang bantahan dan tidak mengambil tindakan yang
boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
“Rakyat mestilah sentiasa mematuhi undang-undang negara dan
menghormati amalan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Selain itu, kita hendaklah mengamalkan sikap toleransi
serta saling hormat menghormati antara kaum yang berbeza agama.”
Beliau berkata dalam insiden itu, kerajaan negeri Selangor
berkuasa ke atas status rumah kedai itu sama ada sudah berdaftar sebagai rumah
ibadat dan diberi kebenaran untuk beroperasi atau tidak.
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini memaklumkan,
gereja yang dibuka di kawasan perumahan majoriti Melayu-Islam itu didapati
tidak mempunyai permit, lapor The Star Online.
Portal berita itu berkata, unit rumah kedai itu tidak
mempunyai lesen beroperasi sebagai tempat ibadat, serta tiada permit meletakkan
salib pada bangunan itu.
"Lot kedai yang ditukar kepada tempat ibadat atau pusat
meditasi mesti mematuhi Akta 133 Seksyen 70 (12) dan permohonan bertulis dengan
aktiviti dinyatakan hendaklah dikemukakan untuk kelulusan," pegawai
perhubungan awam MBPJ Zainun Zakaria dipetik sebagai berkata.
"Kita memerlukan pematuhan ini bagi memastikan
keselamatan penduduk menggunakan bangunan itu."
Bagaimanapun, katanya, belum ada permohonan bertulis
dikemukakan gereja baharu itu setakat ini, sambil menambah yang wakil pihak rumah
ibadat itu masih boleh berbuat demikian.
Pada hari kejadian, pihak gereja menurunkan salib gergasi
yang menjadi pertikaian itu beberapa jam selepas penunjuk perasaan itu
berkumpul di luar gereja baharu itu.
Salah seorang daripada pemimpin Umno yang hadir dalam protes
tersebut ialah Datuk Abdullah Abu Bakar, abang kepada Ketua Polis Negara Tan
Sri Khalid Abu Bakar.
Penunjuk perasaan dilaporkan berkata, kewujudan salib di
kawasan majoriti Islam itu memberikan cabaran hebat kepada agama dan boleh
mempengaruhi akidah anak muda.
Semalam, Khalid berkata tiada unsur hasutan dalam tunjuk
perasaan itu kerana demonstrasi itu bukan menentang agama Kristian, tetapi
disebabkan lokasi gereja itu terletak di kawasan kejiranan yang sebahagian
besarnya Melayu-Islam.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi kemudiannya mengesahkan protes itu berunsur hasutan dan tindakan akan
diambil terhadap penduduk terlibat. – 21 April, 2015.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "Polis Akan Siasat Penduduk Bantah Salib Gereja Taman Medan, Kata Najib"
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "Polis Akan Siasat Penduduk Bantah Salib Gereja Taman Medan, Kata Najib"