Khamis, 23 April 2015

Surat Terbuka Kepada Alvin Tan - Daripada Rev. Sherman Kuek

Reverend Sherman Kuek
Kepada Encik Alvin, 

Saya menulis kepada anda sebab saya secara peribadi merasa marah dengan apa yang saya anggap satu tindakan yang sangat menghina dan jahat dilakukan anda dengan niat yang buruk. Daripada mengatakan mengenai tindakan anda yang mengecam anda dengan tidak hormat di belakang anda, saya telah memilih untuk menulis kepada anda dengan cara yang saya harap bersifat hormat.

Seperti semua orang awam Malaysia yang lain, saya menyedari akan kurang hormat anda kepada pihak berkuasa, kesopanan sosial dan keluhuran moral. Oleh itu saya tidak akan hairan jika surat terbuka ini akan dibalas dengan bahasa yang kasar; mungkin hal yang paling baik yang anda boleh lakukan ialah dengan tidak mengendahkan surat ini sama sekali. Tetapi oleh kerana konteks di mana kami rakyat Malaysia sedang hadapi kini, apa yang anda lakukan tidak boleh dibiarkan tanpa satu suara bantahan dari seorang yang sewarga Malaysia. 

Anda mungkin berfikir mengapa saya, yang tidak sepertinya ini, ingin mengambil masa menulis respon yang panjang lebar ini terhadap video yang anda muatnaik mengenai diri anda mengucapkan Azan Muslim sambil tidak berbaju dengan diiringi keyboard. Mungkin ianya bukan niat anda untuk menolak idea amalan keagamaan secara keseluruhan, tetapi apa yang anda lakukan tetap terlalu menyinggung sebab walaupun penghinaan anda menggambarkan penghinaan terhadap satu agama tertentu, naluri amalan anda merupakan serangan terhadap semua agama. Penghinaan seperti ini menyerang, dengan cara yang peribadi, bukan sahaja kawan-kawan Muslim kita tetapi semua orang dari semua agama di dunia yang mempunyai cara masing-masing yang unik untuk mengucapkan keinginan mereka untuk mendekati Yang Maha Kuasa. Penghinaan anda boleh juga ditujukan kepada pengucapan Latin orang-orang Katolik atau pengucapan veda oleh orang-orang Hindu. dan dalam cara manapun, prinsip asas untuk menghormati naluri keagamaan jiran-jiran kita telah dicabuli dengan buruk. Kerana itu, tindakan anda membuat saya marah. 

Gambar dari video Alvin Tan
yang menghina Azan Muslim
Tambahan lagi, jika ianya adalah orang-orang Muslim di Malaysia yang anda ingin menyinggung atau menghina, anda sangat tersilap dalam pemahaman anda mengenai keadaan di Malaysia. Saya kesal anda tidak mengambil lebih banyak masa untuk menganalisa dan memahami apa yang sedang berlaku di negara kita dan mencari cara bertukar pendapat yang konstruktif daripada melakukannya dengan cara yang tidak kehormat itu. 

Dari usia yang sangat muda, saya memiliki hormat yang mendalam terhadap majoriti besar orang-orang Muslim yang saya kenal. Saya menghormati cinta mereka kepada Tuhan, kesetiaan mereka kepada keluarga, dan terutamanya, saya sering meminati cara kanak-kanak Muslim diajar untuk berhubung dengan ibu bapa mereka. Dalam hidup dan iman saya secara peribadi hari ini, saya mengambil sebagai sesuatu yang saya boleh amalkan dari apa yang saya fahami daripada kawan-kawan Muslim mengenai hormat kepada Tuhan dan orang-orang yang lebih tua dari kita, dan juga keakraban hidup bermasyarakat. Saya percaya pengalaman hidup bersama orang-orang Muslim sejak bertahun yang lalu telah menjadikan saya orang Kristian yang lebih baik berbanding dengan tanpa pengalaman itu. 

Saya tidak fikir anda bermaksud menghina orang-orang Muslim yang berhati ikhlas seperti yang saya sebutkan tadi. Mungkin anda menunjukkan reaksi terhadap keagamaan yang dipolitikkan di Malaysia dan bermaksud mencerca beberapa orang tertentu yang menyalahgunakan agama untuk agenda politik tertentu. Tapi pertamanya, cara anda melakukannya tidak membawa kebaikan kepada perjuangan kebanyakan kita yang memilih untuk terus tinggal di negara ini untuk mengambil bahagian dalam pembangunan semula negara dengan cara yang konstruktif dan positif. Keduanya, tindakan anda telah menyerang bukan sahaja mereka yang menggunakan agama untuk tujuan politik, tetapi juga majoriti rakyat Malaysia yang secara aman mencintai Tuhan atau mengamalkan agama mereka masing-masing dengan sebaik yang mereka dapat. 

Walaupun terdapat dakwaan bahawa kehidupan yang lebih cerah untuk kami dan generasi kami yang seterusnya boleh diperolehi sekiranya kami berpindah ke luar negara, ramai daripada kami telah memilih untuk terus tinggal di sini kerana inilah tempat lahir kami dan di sinilah tempat kami ingin anak-anak kami membesar. Kami memilih ini, bukan kerana tidak terdapat keadaan yang mungkin mencabar bagi kami di negara ini, tetapi kami ingin melibatkan diri dengan cara yang paling konstruktif dan yang tidak membawa lebih banyak lagi kemusnahan sosial dan politik kepada rakyat sewarga Malaysia kita, dan kemudian meninggalkan negara ini untuk semua orang yang masih tertinggal di sini menghadapi kemusnahan yang kita telah ciptakan. Anda telah menghina segala sesuatu yang kami perjuangkan dengan nyawa kami. 

"Penghinaan seperti ini menyerang, dengan cara yang peribadi, bukan sahaja kawan-kawan Muslim kita tetapi semua orang dari semua agama di dunia yang mempunyai cara masing-masing yang unik untuk mengucapkan keinginan mereka untuk mendekati Yang Maha Kuasa"  -  Rev. Sherman Kuek.

Kebebasan bersuara memang perlu untuk memajukan sesebuah masyarakat, oleh kerana ianya menyediakan suatu mekanisme kritikan diri dan penilaian diri. Tetapi pada masa yang sama juga terdapat kebebasan bersuara yang tidak bertanggungjawab dan tidak matang yang mengambil kesempatan dari prinsip yang murni ini dengan membawa kehancuran kepada kebenaran, kecantikan dan kebaikan yang terdapat dalam sesuatu tamadun. Saya secara hormat tetapi secara jujur menyatakan bahawa anda bersalah dalam jenayah moral ini. Kerana ini, saya merasa kesal anda telah memilih untuk mempamerkan tindakan yang sangat menghina terhadap kawan-kawan Muslim kita. 

Secara peribadi dan sebagai seorang rakyat Malaysia, saya menolak keras setiap tindakan yang anda telah lakukan dan mungkin akan terus lakukan. Dan saya mengesahkan hormat saya yang mendalam kepada semua rakyat Malaysia yang secara ikhlas berpegang kepada apa yang benar dan suci dalam kepercayaan dan amalan keagamaan mereka. Dan saya berdoa semoga satu hari nanti, anda juga akan menyedari dalam hati nurani anda bahawa perkara terakhir yang Malaysia perlukan sekarang ialah satu lagi sumber perpecahan, apalagi yang seperti ini. Video anda yang lebih bersifat mementingkan sendiri, daripada lucu atau menghiburkan, adalah satu cercaan kepada segala usaha kami untuk membina masyarakat yang lebih baik untuk anak-anak kami dari pelbagai agama.

Walau bagaimanapun, saya mengucapkan anda kehidupan yang baik di Amerika di mana anda benar-benar bebas bersuara. Tetapi pada akhirnya, ianya bukan pengamalan hak dan keistimewaan seperti ini yang menentukan kualiti seseorang. Siapa kita sekarang atau bakal menjadi, ditentukan oleh pemilihan-pemilihan kecil yang kita lakukan setiap hari untuk mencari keamanan, kasih, dan persahabatan dengan jiran-jiran kita walaupun tidak ada keuntungan yang kita boleh perolehi untuk diri kita. 


Rev. Deacon Dr Sherman Kuek OFS,
Seorang Deacon Gereja Katolik di Malaysia

Nota: surat ini ditulis dari kehendak saya sendiri dan tidak mewakili Gereja Katolik ataupun mana-mana institusi yang berkaitan dengan saya. 


(Diterjemah daripada artikel laman Sherman Kuek bertajuk "Open Letter To Alvin Tan" bertarikh 16 April 2015)