Gereja tidak perlu berdaftar untuk diwujudkan dan
beroperasi, kata Presiden Majlis
Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu,
Sikh dan Tao Malaysia
Jagir Singh. – Gambar fail The Malaysian Insider
|
Sesebuah gereja tidak perlu didaftarkan untuk wujud dan
beroperasi, kata majlis antara agama, kerana hak ini diperuntukkan di bawah
Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan beragama.
Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan
Tao Malaysia (MCCBCHST) berkata, berdasarkan Perlembagaan, tidak ada
undang-undang yang menghendaki sebuah gereja mendaftarkan tempat ibadat mereka.
"Perkara 11(3) menyatakan, setiap agama mempunyai hak
untuk memperoleh harta dan mengawal selia hal ehwal mereka sendiri tanpa
apa-apa kelulusan," kata Presiden MCCBCHST Jagir Singh kepada The
Malaysian Insider.
"Jadi soal menyalahi undang-undang, sama sekali tidak
timbul di sini."
Jagir berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Majlis
Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengisytiharkan gereja yang terbabit dalam kontroversi
berkaitan salib di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor itu menyalahi
undang-undang.
Pegawai Perhubungan Awam MBPJ Zainun Zakaria berkata unit
tepi rumah kedai yang dijadikan gereja itu tidak mempunyai lesen untuk
beroperasi sebagai rumah ibadat mengikut Akta 133 Seksyen 70 (12).
Beliau berkata, gereja itu tidak mempunyai permit yang
diperlukan daripada pihak majlis untuk meletakkan tanda salib di luar premis
itu.
Bagaimanapun, Jagir berkata Perkara 11 bermakna perbuatan
ibadat mereka itu, walaupun dilakukan di bangunan komersial, tidak menyalahi
undang-undang.
"Saya tidak tahu sama ada kita memerlukan lesen untuk
sembahyang... Saya tidak fikir begitu," kata peguam itu secara berseloroh.
"Ibadat boleh dilakukan di setiap rumah, di setiap
kedai di kawasan komersial. Anda tidak perlu kebenaran khusus untuk itu. Mereka
yang mempunyai kedai ada altar di premis mereka, dan bersembahyang di situ...
adakah ini bermakna mereka memerlukan lesen untuk berbuat demikian,” katanya.
Setiausaha Eksekutif Persekutuan Kristian Malaysia Tan Kong
Beng bersetuju dengan Jagir, dan memberitahu The Malaysian Insider terdapat
salah faham umum gereja perlu didaftarkan sebelum boleh beroperasi.
"Ini tidak benar. Mereka sebenarnya tidak perlu
didaftarkan. Tetapi dengan mendaftar, ia membantu memudahkan membeli tanah,
membuka akaun bank dan tujuan lain.
"Terdapat pelbagai cara pendaftaran juga. Ada gereja ke
Pendaftar Pertubuhan (RoS), ada ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia, ada juga
melalui surat ikatan amanah dan ada mendaftar sebagai sebuah syarikat bukan
berasaskan keuntungan," kata Tan.
Kerajaan negeri Selangor menganggap perkara itu selesai
semalam apabila Jawatankuasa Negeri mengenai Hal Ehwal Bukan Islam (HESI)
berkata gereja dibenarkan beroperasi di premis komersial tanpa permit; ia hanya
perlu memaklumkan jawatankuasa itu.
Ini berlaku sejak pentadbiran sebelumnya, menurut satu
kenyataan dikeluarkan Pengerusi Bersama HESI Elizabeth Wong, semalam.
"Majlis MBPJ juga menjelaskan sejak 2008, Jawatankuasa
Negeri mengenai Hal Ehwal Bukan Islam sebelum ini (ketika itu dikenali sebagai
Jawatankuasa Negeri bagi Tempat Ibadat Bukan Islam) membenarkan gereja
beroperasi di premis komersial atau pejabat tanpa memerlukan permohonan permit,
tetapi hanya melalui pemberitahuan kepada jawatankuasa itu.
"Ini berdasarkan kepada prinsip yang Perkara 11
Perlembagaan Persekutuan merangkumi kebebasan beragama."
Wong, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan dan
exco Selangor berkata kenyataan MBPJ itu tidak tepat.
"Tidak ada dasar begitu yang dikenakan jawatankuasa
negeri, iaitu HESI. Suatu pemberitahuan kepada jawatankuasa HESI sudah
mencukupi. Dan jika majlis tempatan ada sebarang isu atau soalan, mereka boleh
merujuk kepada jawatankuasa HESI itu,” katanya.
Pada Ahad, kira-kira 50 orang berkumpul di luar sebuah
gereja baharu menuntut lambang salib yang dilekatkan di luar bangunan tersebut
diturunkan.
Salah seorang yang hadir pada bantahan tersebut ialah
pemimpin Umno Datuk Abdullah Abu Bakar, abang kepada Ketua Polis Negara Tan Sri
Khalid Abu Bakar.
Penunjuk perasaan berkata, kehadiran salib di kawasan
majoriti Islam itu mencabar agama dan boleh mempengaruhi iman golongan muda.
Salib berkenaan dibawa turun pemimpin gereja beberapa jam
kemudian.
Jagir berkata, hujah MBPJ mengenai operasi gereja tanpa
lesen tiada kaitan dengan bantahan itu sendiri.
"Meminta lambang salib itu diturunkan dan memaksa
gereja berbuat demikian satu kesalahan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan
iaitu mengeluarkan kata-kata dengan niat menyakiti hati penganut agama lain.
"Ia juga satu kesalahan mengikut Akta Hasutan,"
katanya.
Presiden majlis antara agama itu berkata, penunjuk perasaan
tidak mempunyai kuasa atau arahan mahkamah untuk memaksa gereja itu menurunkan
lambang salibnya, yang merupakan simbol agama Kristian.
"Oleh itu, apa yang mereka lakukan menyalahi
undang-undang, tidak kira sama ada gereja itu menyalahi undang-undang atau
tidak," katanya. – 22 April, 2015.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "Perlembagaan Benarkan Gereja Beroperasi Tanpa Daftar, Kata Majlis Antara Agama" penulisan Elizabeth Zachariah bertarikh 22 April 2015)