PETALING JAYA: Penganjur forum “Mengenali Kristologi” yang
dijadualkan berlangsung bulan depan, membatalkan program itu susulan
kontroversi membabitkan status “bekas rahib” seorang speakernya.
Penganjur forum itu yang merupakan NGO Islam dikenali
sebagai Nur Fitrah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi
kerjasama serta berminat menghadiri forum itu.
“Atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, pihak Nur
Fitrah dengan ini mengumumkan program Kenali Kristologi pada 9 dan 10 Disember
dibatalkan.
“Pihak kami memohon ribuan kemaafan serta akan menghubungi
semula semua peserta yang telah mendaftarkan diri. Segala kesulitan amat
dikesali.
“Walaupun begitu, sebagai Muslim kita hendaklah sentiasa
yakin dengan janji Allah,” kata NGO Islam itu dalam status di laman Facebooknya
hari ini.
Forum “Mengenali Kristologi” pada asalnya dijadualkan
berlangsung di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor pada 9 dan 10
Disember ini.
Semalam, Nur Fitrah meminta maaf kepada orang ramai atas
poster promosi mereka yang menggambarkan speaker Irene Handono sebagai bekas
rahib.
NGO Islam itu berkata, mereka dikritik penganut Kristian
Indonesia atas penggunaan perkataan “mantan rahib” walaupun wakil Handono
mengesahkan beliau pernah menjadi biarawati.
Katanya, bagi umat Islam Malaysia, seseorang yang pernah
mengisytiharkan diri sebagai rahib dan melalui beberapa latihan kerahiban
dianggap bekas rahib.
Mereka berkata, Handono dipelawa atas kapasitinya sebagai
seorang speaker Islam untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang Kristologi
dengan kumpulan sasaran, iaitu pelajar Islam yang sedang mempelajari
perbandingan agama dan speaker Islam di Malaysia.
Sebelum ini, Setiausaha Eksekutif Bishops Conference of
Indonesia, Edy Purwanto menyangkal dakwaan Handono dengan berkata, wanita itu
tidak menamatkan “pengajian”.
Purwanto dilaporkan berkata, hasil semakan gereja Indonesia
3 tahun lalu mendapati Handono menyertai Congregation of the Ursuline Sisters
sebagai rahib pelatih untuk tempoh singkat.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Forum Kristologi Batal Selepas Kontroversi Status 'Bekas Rahib' Speaker" bertarikh 25 November 2017)