SATU senarai 28 menteri dan 24 timbalan menteri disahkan
sebagai anggota jemaah menteri pimpinan Dr Mahathir Mohamad.
Ramai di kalangan pemimpin tersebut kini berada di Parlimen
bagi sesi taklimat untuk ahli dewan baharu.
Walau enggan mengesahkan senarai tersebut, seorang
daripadanya, Khalid Samad berkata beliau telahpun dimaklumkan mengenainya.
Parti Amanah merupakan antara empat parti komponen Pakatan
Harapan yang menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.
“Ya saya ada dapat panggilan, tetapi ia masih tertakluk
kepada perubahan,” katanya yang juga enggan mengesahkan jawatannya.
Satu sumber yang dekat dengan kerajaan bagaimanapun
mengesahkan bahawa senarai yang kini tular di Internet itu adalah muktamad dan
anggota Kabinet baharu akan mengangkat sumpah jawatan pada 2 Julai.
Senarai penuh anggota Kabinet tersebut hampir serupa dengan
senarai yang disiarkan The Malaysian Insight pada 13 Jun lalu.
Senarai muktamad ini bagaimanapun tidak menyertakan pemimpin
Hindraf, P Waythamoorthy yang sebelum ini disebut-sebut sebagai menteri di
jabatan perdana menteri untuk hal ehwal masyarakat India.
Beberapa ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dilantik ke
portfolio utama, antaranya Darell Leiking sebagai menteri perdagangan
antarabangsa dan juga Baru Bian sebagai menteri kerja raya.
Ia turut menyenaraikan dua lagi ahli Parlimen Sabah, Liew
Vui Keong sebagai menteri hal ehwal undang-undang, dan Mohamad Din Ketapi
sebagai menteri pelancongan, kebudayaan dan warisan.
Sebahagian besar dari jemaah menteri tersebut juga dari PKR,
termasuk Saifuddin Abdullah sebagai menteri luar, Saifuddin Nasution sebagai
menteri perdagangan dalam negeri, Xavier Jayakumar di portfolio air, tanah dan
sumber asli.
Turut dilantik adalah Khalid Samad dari Amanah sebagai
menteri wilayah persekutuan, Teresa Kok (DAP) sebagai menteri industri utama
dan Mujahid Yusof Rawa (Amanah) di sebagai menteri hal ehwal agama di jabatan
perdana menteri. – 26 Jun, 2018.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk "28 Menteri, 24 Timbalan Menteri Sah Sertai Kabinet" bertarikh 26 Jun 2018)