Jumaat, 5 Julai 2024

Musa Mengaku Tiada Dokumen Khusus Yeoh Cuba Jadikan Negara Kristian


Bekas ketua polis negara Musa Hassan memberi keterangan bahawa dia tidak pernah melihat bukti dokumentari bahawa Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh cuba menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.

Musa memberi keterangan bertulis berhubung saman fitnah Ahli Parlimen Segambut itu susulan ucapannya pada 2020 yang menyentuh dakwaan gerakan Kristianisasi di seluruh negara.

Semasa perbicaraan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Musa yang merupakan defendan membuat keterangan itu semasa pemeriksaan balas oleh peguam plaintif, Razlan Hadri.

Razlan: Semasa anda menjadi IGP (ketua polis negara), anda pernah melihat sebarang dokumen yang menunjukkan Hannah Yeoh terlibat dalam perancangan atau konspirasi untuk mengkristiankan negara?

Musa: Tiada dokumen khusus.

Razlan menyoal balasnya berhubung sebahagian daripada keterangan saksi bertulis Musa untuk menangkis tindakan sivil terhadap bekas ketua polis negara itu.

“Saya tidak pernah berkata secara literal bahawa plaintif ingin mengubah Malaysia menjadi negara Kristian, namun persatuan evangelis plaintif mampu memberi kesan kepada keselamatan negara ini.

"Saya tidak pernah ingin menyatakan secara literal bahawa plaintif ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian namun pergerakan persatuan evangalism plaintif mampu memberikan kesan kepada keselamatan negara ini.

"Walaupun buku yang ditulis oleh plaintif telah diluluskan oleh kerajaan untuk dijual kepada umum, ia tidak sekali-kali bermakna ia tidak akan menimbulkan kegusaran dan kegelisahan khususnya penduduk majoriti Melayu di negara ini.

"Saya juga faham bahawa Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa penyebaran agama Kristian adalah tidak dibenarkan kerana penggubal Perlembagaan kita tahu akan kepincangan yang mungkin berlaku sekiranya ini dibenarkan,” kata Musa dalam kenyataan saksi bertulis yang diambil seperti yang dibacakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Perkara 11(4) membenarkan undang-undang persekutuan dan negeri untuk mengawal atau menyekat penyebaran apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam.

Bekas ketua polis negara itu menyatakan bahawa dia dijemput ke forum pada 2020 untuk memberi ucapan berhubung risikan yang dikumpul mengenai ancaman yang ditimbulkan oleh komunisme serta gerakan Kristianisasi dan evangelis yang dipelopori oleh individu dan parti politik yang berpengaruh di Malaysia.

Musa menegaskan bahawa ucapannya adalah mengenai penemuan penyelidikan oleh profesor Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff mengenai buku Yeoh, 'Becoming Hannah: A Personal Journey".

Musa mendakwa bahawa catatan Facebook ahli akademik itu mendedahkan bahawa buku itu menunjukkan unsur-unsur penyebaran agama Kristian secara terbuka kepada orang Islam.

Semasa perbicaraan di hadapan pesuruhjaya kehakiman Arziah Mohamed Apandi pada April lalu, Yeoh memberi keterangan penafiannya cuba menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, dengan menolak kenyataan Musa sebagai tidak benar dan didorong oleh niat jahat.

Ahli parlimen DAP itu berhujah bahawa ucapan itu bukan sahaja merosakkan reputasinya tetapi juga mencetuskan sentimen segmen masyarakat tertentu yang mungkin cuba mendatangkan kecederaan fizikal atau keganasan terhadapnya.

Yeoh memfailkan saman fitnah itu pada 3 Julai 2020, berikutan ucapan Musa di forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Jan tahun itu.

Forum bertajuk Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri? telah dianjurkan oleh Institut Raja-Raja Melayu UiTM.

Dalam ucapannya, Musa didakwa mencadangkan DAP telah menerbitkan buku mengenai peranan orang Melayu di sebalik rusuhan 13 Mei, antara lain.

Menurut salinan pernyataan tuntutan saman itu, Yeoh mendakwa, antara lain, bahawa ucapan itu mengandungi kenyataan fitnah yang tidak benar sepenuhnya, memperlekehkan, menyusahkan, palsu dan tanpa asas.

Musa bergantung kepada pembelaan justifikasi, iaitu kesediaan untuk membuktikan kebenaran kenyataan yang didakwa berunsur fitnah di mahkamah.

Musa diwakili peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz dan Shaharudin Ali.

Perbicaraan sivil akan disambung semula pada 25 Julai.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Musa Mengaku Tiada Dokumen Khusus Yeoh Cuba Jadikan Negara Kristian" yang ditulis oleh Hidir Reduan Abdul Rashid bertarikh 5 Julai 2024)