Musa memberi keterangan bertulis berhubung saman fitnah Ahli
Parlimen Segambut itu susulan ucapannya pada 2020 yang menyentuh dakwaan
gerakan Kristianisasi di seluruh negara.
Semasa perbicaraan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini,
Musa yang merupakan defendan membuat keterangan itu semasa pemeriksaan balas
oleh peguam plaintif, Razlan Hadri.
Razlan: Semasa anda menjadi IGP (ketua polis
negara), anda pernah melihat sebarang dokumen yang menunjukkan Hannah Yeoh
terlibat dalam perancangan atau konspirasi untuk mengkristiankan negara?
Musa: Tiada dokumen khusus.
Razlan menyoal balasnya berhubung sebahagian daripada
keterangan saksi bertulis Musa untuk menangkis tindakan sivil terhadap bekas
ketua polis negara itu.
“Saya tidak pernah berkata secara literal bahawa plaintif
ingin mengubah Malaysia menjadi negara Kristian, namun persatuan evangelis
plaintif mampu memberi kesan kepada keselamatan negara ini.
"Saya tidak pernah ingin menyatakan secara literal
bahawa plaintif ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian namun
pergerakan persatuan evangalism plaintif mampu memberikan kesan kepada
keselamatan negara ini.
"Walaupun buku yang ditulis oleh plaintif telah
diluluskan oleh kerajaan untuk dijual kepada umum, ia tidak sekali-kali
bermakna ia tidak akan menimbulkan kegusaran dan kegelisahan khususnya penduduk
majoriti Melayu di negara ini.
"Saya juga faham bahawa Artikel 11 Perlembagaan
Persekutuan menyatakan bahawa penyebaran agama Kristian adalah tidak dibenarkan
kerana penggubal Perlembagaan kita tahu akan kepincangan yang mungkin berlaku
sekiranya ini dibenarkan,” kata Musa dalam kenyataan saksi bertulis yang
diambil seperti yang dibacakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Perkara 11(4) membenarkan undang-undang persekutuan dan
negeri untuk mengawal atau menyekat penyebaran apa-apa doktrin atau kepercayaan
agama di kalangan orang yang menganut agama Islam.
Bekas ketua polis negara itu menyatakan bahawa dia dijemput
ke forum pada 2020 untuk memberi ucapan berhubung risikan yang dikumpul
mengenai ancaman yang ditimbulkan oleh komunisme serta gerakan Kristianisasi
dan evangelis yang dipelopori oleh individu dan parti politik yang berpengaruh
di Malaysia.
Musa menegaskan bahawa ucapannya adalah mengenai penemuan
penyelidikan oleh profesor Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff
mengenai buku Yeoh, 'Becoming Hannah: A Personal Journey".
Musa mendakwa bahawa catatan Facebook ahli akademik itu
mendedahkan bahawa buku itu menunjukkan unsur-unsur penyebaran agama Kristian
secara terbuka kepada orang Islam.
Semasa perbicaraan di hadapan pesuruhjaya kehakiman Arziah
Mohamed Apandi pada April lalu, Yeoh memberi keterangan penafiannya cuba
menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, dengan menolak kenyataan Musa
sebagai tidak benar dan didorong oleh niat jahat.
Ahli parlimen DAP itu berhujah bahawa ucapan itu bukan
sahaja merosakkan reputasinya tetapi juga mencetuskan sentimen segmen
masyarakat tertentu yang mungkin cuba mendatangkan kecederaan fizikal atau
keganasan terhadapnya.
Yeoh memfailkan saman fitnah itu pada 3 Julai 2020,
berikutan ucapan Musa di forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Jan
tahun itu.
Forum bertajuk Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai
1989: PKM Menyerah Diri? telah dianjurkan oleh Institut Raja-Raja Melayu UiTM.
Dalam ucapannya, Musa didakwa mencadangkan DAP telah
menerbitkan buku mengenai peranan orang Melayu di sebalik rusuhan 13 Mei,
antara lain.
Menurut salinan pernyataan tuntutan saman itu, Yeoh
mendakwa, antara lain, bahawa ucapan itu mengandungi kenyataan fitnah yang
tidak benar sepenuhnya, memperlekehkan, menyusahkan, palsu dan tanpa asas.
Musa bergantung kepada pembelaan justifikasi, iaitu
kesediaan untuk membuktikan kebenaran kenyataan yang didakwa berunsur fitnah di
mahkamah.
Musa diwakili peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz dan
Shaharudin Ali.
Perbicaraan sivil akan disambung semula pada 25 Julai.