Selasa, 7 Mei 2013

Kisah Di Sebalik Global Day of Prayer (Hari Doa Global)

The Global Day of Prayer telah bermula dari penglihatan yang diberikan
Tuhan kepada seorang usahawan Afrika Selatan pada tahun 2000

The Global Day of Prayer (Hari Doa Global) 2013 akan diadakan dalam dua hari lagi. Acara ini dijangka akan melibatkan umat Kristian dari 220 negara di seluruh dunia di lokasi tempatan masing-masing dari 9 - 19 Mei 2013 dengan kemuncaknya pada Hari Pentakosta (Ahad 19 Mei 2013). Global Day of Prayer ini telah bermula setelah seorang usahawan di Cape Town, Afrika Selatan menerima penglihatan yang jelas daripada Tuhan pada tahun 2000. Bacalah bagaimana gerakan doa ini yang bermula dengan sekumpulan kecil orang telah menjadi gerakan doa sedunia....




Graham Power dari Cape Town
Kesaksian Graham Power

Pada Julai 2000, Tuhan telah membangunkan aku dan memberi aku bahagian pertama dari arahan-Nya:

1. Pergilah dan sewa Newlands Rugby Stadium di Cape Town (Afrika Selatan). Undanglah orang-orang Kristian daripada semua denominasi untuk mengikuti Hari Pertaubatan dan Doa.

2. Kemudian berikan cabaran kepada Wilayah-Wilayah lain di Afrika Selatan untuk melakukan hal yang sama.

3. Kemudian berikan cabaran kepada seluruh Afrika untuk menyertai hari doa ini, bermula dari Selatan ke seluruh benua Afrika.

Bahagian kedua daripada penglihatan itu datang pada Februari 2002, sewaktu di bawah pengurapan Roh Kudus, aku melihat sebuah salib yang besar di atas Afrika dan seluruh Afrika dalam pertaubatan dan berdoa, dengan janji bahawa Afrika akan menjadi "pengharapan dunia."

Tahun demi tahun, Tuhan telah dengan setianya memelihara pernyataan nubuatan ini, mengumpulkan umat-Nya dari seluruh bumi untuk merendahkan diri di hadapan-Nya.


Peta Afrika Selatan

Penglihatan itu telah menjadi nyata, meliputi pertamanya Cape Town (2001), kemudiannya wilayah-wilayah lain Afrika Selatan (2002), negara-negara Afrika sub-Sahara (2003) dan akhirnya ke kesemua 56 negara Afrika (2004).

Pada 15 Mei 2005, Afrika menjemput dunia untuk menyertainya dalam Global Day of Prayer (Hari Doa Global). Lebih daripada 156 negara mengambil bahagian, dengan pertaubatan dan doa-doa dari lebih 200 juta orang Kristian bermula dari terbit matahari di Fiji di Timur sehingga terbenamnya 18 jam kemudian di Hawaii.




Pada tahun 2008, hampir seluruh bumi mengambil bahagian dalam Global Day of Prayer pada Hari Pentakosta, apabila 214 daripada 220 negara sedunia berkumpul dalam kumpulan yang pelbagai saiz, di pelbagai lokasi, untuk merendahkan diri, mencari wajah Tuhan dan berdoa. Dianggarkan bahawa hampir 350 juta orang percaya telah melibatkan diri dalam acara-acara Global Day of Prayer merentasi bumi pada 2008.

(Pada 23 Mei 2009, inisiatif doa ini telah diperluas ke 220 negara di dunia, begitu dilaporkan oleh laman web Global Day of Prayer).

Graham Power menceritakan
penglihatan yang diterimanya
Hujung 2006, Tuhan membangunkan aku lagi dengan arahan yang jelas untuk memberi cabaran kepada orang untuk mengamalkan nilai-nilai, prinsip etika dan kehidupan yang bersih. Tuhan menunjukkan kepadaku bahawa gelombang pertama yang telah Dia mulakan ialah gelombang doa, gelombang yang seterusnya ialah gelombang etika, dan akhirnya Tuhan akan menghantarkan gelombang besar pembaharuan dan transformasi ke sekeliling dunia yang tidak akan berakhir!

Kempen Unashamedly Ethical (Beretika Tanpa Segan-Silu) telah dilaksanakan sejak penglihatan itu, dan pada waktu kini, ahli-ahli dari semua lapisan masyarakat dan semua lingkungan umur (termasuk ketua-ketua negara, pemimpin-pemimpin perniagaan, tokoh-tokoh sukan dan pemimpin-pemimpin Gereja) sudah membuat komitmen untuk menjadi Beretika Tanpa Segan-Silu.

Jadi kami merindukan harinya apabila transformasi Tuhan melanda merentasi seluruh bumi dalam gelombang besar transformasi dan pembaharuan. Tuhan layak menerima segala Kemuliaan dan Penghormatan atas pekerjaan ajaib ini! Sesungguhnya kisah Global Day of Prayer dan Unashamedly Ethical bukanlah cerita mengenai kegigihan seorang lelaki, dan bukan juga cerita mengenai organisasi global yang besar. Sebaliknya ianya adalah kesaksian mengenai Kuasa dan Kasih Karunia Allah!


Tontonlah Kesaksian Graham Power - Kisah Di Sebalik GDOP


Poster Global Day of Prayer Malaysia 2013
(Diterjemah daripada artikel KBN Connect Magazine berjudul "The Graham Power Story" bertarikh 29 Jun 2011)

Nota: Global Day of Prayer 2013 di Malaysia akan bermula dengan acara Konferensi Doa Momentum di Gereja FGT Subang dari 9-11 Mei 2013. Dapatkan "Panduan Doa 10 Hari (BM)" melalui laman Global Day of Prayer Malaysia di sini.

Acara Doa Gabungan akan diadakan di lokasi-lokasi tempatan di seluruh negara pada 19 Mei 2013 (sila klik laman GDOP Malaysia untuk mendapatkan lokasi terdekat anda). Marilah kita bergabung untuk doa sejagat di lokasi setempat!