Ahad, 5 Mei 2013

Kenyataan Pastoral Dari Gereja-Gereja Bumiputera Di Sabah Dan Sarawak

Reverend Datuk Bolly Lapok
Tiga hari yang lalu, aku terbaca sebuah artikel di internet mengenai kenyataan pastoral dari gereja-gereja Bumiputera di Sabah dan Sarawak mengenai isu-isu yang dihadapi oleh umat Kristian di Malaysia. Semalam aku telah menjumpai kenyataan penuh tersebut bertarikh 2 Mei 2013 yang dikeluarkan oleh Rev. Datuk Bolly Lapok, pengerusi Association of Churches in Sarawak (ACS). Berikut ialah kenyataan pastoral tersebut dalam keseluruhannya;


Kenyatan Pastoral dari Gereja-Gereja Bumiputera di Sabah dan Sarawak


Salam damai dalam nama Tuhan dan Penyelamat kita, Kristus Yesus.

Kami mengambil nasihat dari seorang pengkhotbah purba yang mengatakan ada masa untuk segala-galanya, "masa untuk berdiam diri dan masa untuk bersuara" (Pengkhotbah bab 3 ayat 7).

Sebagai Tubuh Kristus yang ingin hidup sesuai dengan tujuan dan misinya, kami sedar bahawa Gereja dipanggil untuk menjadi sebuah berkat kepada negara, serta berusaha untuk mencapai apa yang benar, mulia, adil dan terpuji demi kepentingan semua orang (Filipi 4:8).


(Mukasurat pertama Kenyataan Pastoral Gereja2 Sabah & Sarawak)

Tetapi di tengah-tengah semua ini, timbul pula isu-isu yang melibatkan gereja serta penggunaan Kitab Suci kami. Kami, Bumiputera Kristian dari Sabah dan Sarawak telah berdiam diri untuk tempoh yang sangat lama. Ada yang telah menggunakan keputusan kami untuk berdiam diri ini bagi sesuatu maksud yang lain. Oleh itu, masanya telah tiba untuk kita bersuara.

Apabila Perdana Menteri sementara mula-mula membangkitkan Pergerakan Kesederhanaan Global, kami memberi sokongan untuk inisiatif tersebut dengan penuh semangat. Tetapi ironinya, pergerakan itu secara terang-terangan dan tanpa henti-henti terganggu oleh unsur-unsur yang tidak bertanggungjawab dari kalangan mereka sendiri, yang lebih cenderung ke arah perkauman dan pelampau.

Ia adalah satu kesilapan yang besar untuk membiarkan pelampau-pelampau ini walaupun itu disebabkan oleh keterdesakan kecil politik. Dengan berbuat demikian, ia telah mendedahkan masyarakat kita untuk sesuatu yang sememangnya asas dan begitu jahat.

Ia adalah seperti membuka diri kita kepada satu kekejian yang boleh melakukan kejahatan yang tidak terperi, malah kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki. Kegiatan melampau memanfaatkan kelemahan dan rasa tidak selamat manusia. Jika dibiarkan tanpa sebarang pantauan, ia boleh merompak identiti kita yang sebenar, bahkan jiwa kita.

Satu manifestasi sikap yang ekstrim itu adalah sejauh mana puak pelampau dalam masyarakat kita menyatakan sikap perkauman dan fanatik agama mereka terhadap kontroversi penggunaan perkataan 'Allah' bagi merujuk kepada Tuhan oleh orang bukan Islam. Malah mereka mencadangkan satu pesta untuk membakar Alkitab. Ini adalah satu unsur hasutan pembakaran yang sangat tidak bertanggungjawab. Namun perbuatan mereka ini diterima oleh pihak berkuasa.


Gambar Alkitab (diambil dari laman web Malaysiakini)

Kita harus jelas bahawa kontroversi 'Allah' itu adalah lebih daripada sekadar suatu perkataan. Sesungguhnya, beberapa negeri di Malaysia telah pun meluluskan undang-undang yang melarang orang bukan Islam menggunakan lebih daripada tiga dozen perkataan. Undang-undang ini berlaku dan memang diarahkan secara nyata kepada orang bukan Islam.

Sebagai contoh, satu fatwa yang mempunyai kuasa undang-undang telah diwartakan pada 1 Jun 2003 di Sabah di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1992, di mana penggunaan 32 perkataan oleh orang bukan Islam adalah dilarang. Ini termasuk "Allah", "Ibadah", "Iman", "Rasul", "Injil", "Nabi", "Wahyu" dan banyak lagi. Ini dilakukan walaupun undang-undang syariah Islam tidak berlaku ke atas orang bukan Islam.

Undang-undang yang sedemikian pertama kali diperkenalkan oleh kerajaan negeri Terengganu pada tahun 1980. Pada tahun berikutnya, penggunaan Alkitab atau Bible berbahasa Melayu dilarang atas alasan bahawa ia adalah satu ancaman kepada keselamatan negara. Larangan tersebut kemudiannya telah diubah menjadi satu sekatan tetapi Alkitab masih dianggap sebagai satu ancaman kepada keselamatan negara. Pada Disember 1986, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat pekeliling melarang penggunaan perkataan ‘Allah’ dengan alasan bahawa tindakan itu adalah perlu bagi maksud mengekalkan ketenteraman awam dan untuk mengelakkan salah faham antara penganut Islam dan Kristian. Keputusan pentadbiran ini dikuatkuasakan dengan menggunakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.




Pada tahun 2003, Bup Kudus atau Alkitab dalam bahasa Iban telah diharamkan kerana ia mengandungi perkataan 'Allah'. Pengharaman itu kemudiannya ditarik balik ekoran daripada bantahan oleh orang Kristian.

Di Sarawak dan Sabah, perkataan ‘Allah’ telah digunakan atau dituturkan oleh masyarakat Bumiputera sejak bergenerasi yang lalu, jauh sebelum pembentukan Malaysia dan merupakan sebahagian daripada bahasa ibunda mereka. Suku-suku Bumiputera telah menggunakan istilah ‘Allah’ dalam semua aspek bidang dan amalan agama Kristian mereka daripada pembaptisan sehinggalah upacara pengebumian. Ini termasuklah dalam pelayanan perkhidmatan, doa, pujian, liturgi, ibadah, dan pendidikan agama. Kalimat "Allah" juga digunakan dalam penerbitan dan sumber multi-media Kristian. Hak Bumiputera untuk mengguna atau bertutur dalam bahasa mereka sendiri, serta mengamalkan agama mereka di negera ini adalah dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kontroversi 'Allah' in sebenarnya bukanlah tentang agama, tetapi adalah mengenai dasar-dasar dan undang-undang Kerajaan yang tidak munasabah. Dalam menghadapi perkara yang tidak masuk akal inilah kami tidak boleh dan tidak harus berdiam diri. Sudah tiba masa untuk kita bersuara.

Dua pertiga daripada umat Gereja di Malaysia adalah terdiri daripada orang Kristian Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Dalam hal ini, kami berbicara dengan tanggungjawab pastoral dan moral serta kewibawaan terhadap pelampau agama, perkauman dan sebarang bentuk sikap yang ekstrim. Tetapi kita tidak keseorangan, kerana saudara dalam Kristus kita yang bukan Bumiputera juga telah menyatakan kebimbangan yang sama tentang isu 'Allah' ini. Oleh itu, kita bersuara sebagai satu suara.





Kita memerlukan lebih daripada sekadar paparan ad hoc belas ikhsan. Kita memerlukan satu komitmen yang ketara daripada pihak berkuasa untuk menghormati dan mempertahankan kebebasan beragama yang sudah pun dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi di negara ini. Kami percaya bahawa orang bukan Kristian, termasuklah umat Islam, juga berkongsi akan kebimbangan kita ini.

Kami juga mengakui dan menegakkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan mengikut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Dengan peruntukan yang sama agama lain juga diberikan jaminan kebebasan sesuai dengan perlembagaan untuk menganut, mengamalkan dan menyebarkan agama masing-masing dengan aman dan damai di mana-mana bahagian di negara ini. Kami tidak meminta apa yang bukan hak perlembagaan kami.

Sesungguhnya jalan penyelesaian bukanlah satu status quo yang menjangka Gereja Bumiputera di Sabah dan Sarawak untuk berdiam diri.





Tahun ini kita menyambut tahun kelima puluh pembentukan Malaysia. Secara kebetulan ia juga adalah Tahun Jubli bagi orang Kristian, tahun di mana kita menunggu dengan penuh harapan dan dalam doa bagi Tuhan untuk campur tangan dan mengembalikan apa yang telah ditetapkan sebagai hak kita.

Untuk sekian lamanya kita telah berdoa bagi melihat pembetulan kepada kesalahan yang telah dilakukan terhadap orang-orang asal atas nama pembangunan dan politik. Kita juga berdoa untuk menghormati dan mematuhi Perjanjian 20 Perkara bagi Sabah dan Perjanjian 18 Perkara bagi Sarawak, yang ditandatangani bersama dengan Malaya semasa pembentukan Malaysia. Perkara yang pertama dalam perjanjian itu adalah kebebasan beragama. Sabah dan Sarawak bersetuju untuk membentuk negara Malaysia pada tahun 1963 dengan Islam sebagai agama persekutuan, tetapi dengan syarat nyata bahawa akan ada kebebasan beragama tanpa sebarang sekatan dikenakan ke atas agama-agama lain. Oleh itu Kertas Kerajaan Malaysia dan Sarawak yang diterbitkan oleh Kerajaan Negara Sarawak bertarikh 4 Jan 1962 (dan ini juga dapat dilihat dalam Kertas Kerajaan Borneo Utara) yang menyatakan tanpa ragu-ragu seperti yang dapat dilihat dari teks berikut dalam dokumen perlembagaan dasar:

"Orang ramai tertanya-tanya sama ada hakikat bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu akan menjejaskan kebebasan beragama di Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia. Ini telah dijelaskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan baru-baru ini. Walaupun Malaysia akan mempunyai Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, tetapi tidak akan ada halangan dikenakan ke atas amalan agama-agama lain. Kebebasan agama akan dijamin sepenuhnya dalam Perlembagaan Persekutuan. Sarawak pada masa ini tidak mempunyai agama rasmi dan ia tidak diwajibkan untuk menerima Islam sebagai agama negeri itu."

Terdapat keperluan yang mendesak untuk pihak berkuasa mengakui kekecewaan kami dan berjanji untuk tampil dengan satu penyelesaian jangka panjang.

Masanya telah tiba untuk kita bersuara tetapi kita berbuat demikian dengan cara yang aman sama seperti Kristus Yesus yang adalah Raja Damai (Yesaya 9:6). Kita tidak akan berdendam atau berniat jahat terhadap orang-orang dari agama lain termasuklah saudara dan saudari Muslim kita.

Sesungguhnya, kami sedar kami tetap akan menunjukkan kasih sayang kepada orang-orang yang mungkin tidak bersetuju dengan kita. Intipati Allah adalah kasih (1 Yohanes 4:8).Sebab itulah kita diajar untuk mengasihi bahkan musuh-musuh kita (Matius 5:44).

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia dari setiap agama untuk bertolak ansur dan menerima antara satu sama lain dalam kasih, dalam kebenaran, dan dengan rendah hati.

Marilah kita bersama-sama berusaha untuk membina negara tercinta ini bagi kebaikan semua orang supaya kita semua dapat menikmati hasil kemakmuran dan kebaikan di bumi yang telah diberkati oleh Allah Yang Maha Kuasa.

Semoga Allah Yang Maha Kuasa memberkati anda dan melindungi anda, dan membuat wajah-Nya bersinar ke atas anda dan memberi anda ketenangan.

Tuhan memberkati Malaysia.


Reverend Datuk Bolly Lapok,
Pengerusi, Association of Churches in Sarawak (ACS)