Rev. Datuk Bolly Lapok |
KUALA LUMPUR, 3 Mei — Kontroversi isu kalimah “Allah” bukan
tentang agama, tetapi kerana “polisi dan undang-undang kerajaan”, kata wakil
gereja Sabah dan Sarawak hari ini menjelang pilihan raya pada Ahad ini.
Gereja bumiputera di Sabah dan Sarawak mengeluarkan
kenyataan pastoral semalam menggesa penganut Kristian untuk bersuara terhadap
ancaman membakar kitab suci mereka dan polisi kerajaan yang menghalang kumpulan
minoriti itu daripada menggunakan kalimah “Allah” untuk merujuk Tuhan mereka.
“Dalam menghadapi perkara tidak munasabah, kita tidak boleh
dan kekal berdiam diri,” kata Rev Datuk Bolly Lapok, Uskup Gereja Anglikan
untuk Kuching dan Uskup Agung Gereja Anglikan bagi rantau Asia Tenggara, dalam
kenyataan pastoral.
“Masa untuk kita bersuara sudah tiba... Kita perlukan
komitmen yang teguh daripada pihak berkuasa supaya menghormati dan mengekalkan
kebebasan bersuara yang dijanjikan dalam Perlembagaan Persekutuan,
undang-undang ulung negara. Kami percaya bukan Kristian, termasuk Muslim
berkongsi kebimbangan ini,” tambah beliau.
Kenyataan keras daripada ACS itu hadir ketika negara akan
menghadapi pilihan raya paling sengit dalam sejarah dua hari lagi, di mana
sejumlah besar pengundi Sabah dan Sarawak adalah bumiputera yang membaca
Alkitab, atau kitab Injil berbahasa Melayu.
Komuniti Kristian yang membentuk suku daripada populasi
Sabah dan hampir separuh daripada populasi Sarawak beribadat di gereja
menggunakan Bahasa Melayu dan membaca kitab Injil berbahasa Melayu.
Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Razak baru-baru
ini mempertahankan tindakan kerajaan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan pada
2009 ke atas keputusan membenarkan masyarakat Kristian untuk menggunakan
perkataan kalimah “Allah”.
Tan Sri Bernard Dompok, Presiden UPKO |
Mahkamah Rayuan Malaysia telah menetapkan 30 Mei sebagai
tarikh untuk satu lagi kes pengurusan terhadap kerajaan dan rayuan Kementerian
Dalam Negeri mengenai keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009, perkataan “Allah”
boleh digunakan oleh akhbar mingguan Katolik, Herald.
Lapok hari ini berkata penganut Kristian hanya menuntut hak
mereka dalam perlembagaan ditegakkan.
“Sesungguhnya jalan ke hadapan tidak lagi berada dalam
status quo yang menjangkakan gereja bumiputera di Sabah dan Sarawak untuk
berdiam diri,” kata beliau.
Kumpulan pendesak Melayu Perkasa pada Januari lalu mengancam
untuk membakar Injil berbahasa Melayu.
Kempen Pilihan Raya 2013 sejak dua minggu lalu juga dipenuhi
dengan papan tanda yang menggambarkan gereja sebagai merampas kalimah “Allah”,
dan juga risalah-risalah yang memberi amaran kepada orang Melayu tentang penganut
agama lain yang menggunakan kalimah “Allah”.
Lapok menegaskan orang asli di Sabah dan Sarawak telah
menggunakan perkataan “Allah” sejak generasi lamanya sebelum pembentukan
Malaysia pada tahun 1963.
“Orang asli menggunakan kalimah “Allah” dalam semua
aspek kehidupan dan amalan di dalam agama Kristian daripada pembaptisan kepada
upacara akhir dan ini termasuk dalam perkhidmatan, doa, pujian, ibadat dan
pendidikan agama,” katanya.
Pentadbiran Najib walau bagaimanapun mengemukakan formula 10
perkara bagi Malaysia Timur sebelum pilihan raya negeri Sarawak pada 2011 untuk
menyelesaikan sekatan penghantaran kitab Injil berbahasa Melayu yang digunakan
terutamanya oleh orang Kristian Bumiputera.
Dalam resolusi 10 perkara berkenaan, Kabinet melalui
menterinya, Datuk Seri Idris Jala menjamin populasi Kristian yang besar di
Sabah dan Sarawak mereka bebas menggunakan dan memiliki kitab Injil dalam
bahasa Melayu mahupun bahasa ibunda mereka.
(Dipetik daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Pertikaian kalimah 'Allah' kerana undang-undang tak munasabah, kata gereja Malaysia timur" bertarikh 3 Mei 2013 penulisan Boo Su-Lyn)