Isnin, 11 Disember 2017

Ceria Bersama Cindy dan Chrisy Sempena Karnival Krismas Kota Kinabalu

Cindy (kiri) dan Chrisy (kanan)

KOTA KINABALU: Perayaan Krismas KK yang akan diadakan di Padang Merdeka selama empat hari bermula esok (11 Dis), akan dimeriahkan dengan program khas untuk kanak-kanak.

Pelbagai acara disediakan termasuklah sukaneka dan mewarna yang terbuka dan percuma kepada semua kanak-kanak. Program itu berlangsung hari Selasa dan Rabu (12 dan 13 Disember).

Bukan itu sahaja, program itu akan diceriakan lagi oleh penyanyi remaja Cindy Claudia dan Chrisy Elvira.

Cindy dan Chrisy merupakan pasangan adik beradik yang cukup berbakat dan banyak menyertai pertandingan-pertandingan nyanyian serta meraih kejuaraan.

Cindy merupakan johan Sugandoi Dazanak 2013 peringkat daerah Tuaran dan mendapat tempat ke-3 dalam pertandingan itu di peringkat negeri.

Pada tahun yang sama juga Cindy pernah menjadi finalis Bintang Kecil Sabah 2013 dan finalis Bintang Remaja Sabah pada tahun 2015.

Manakala Chrisy, mengikut jejak langkah kakaknya menjuarai pertandingan Sugandoi Dazanak daerah Tuaran pada tahun 2015.

Selain itu, Chrisy juga menjuarai pertandingan Bintang Kecil zon Sabah 2015 sekaligus menjadi finalis dalam pertandingan Bintang Kecil Peringkat Kebangsaan 2014/2015.

Mesra bergaul, Cindy dan Chrisy ternyata gembira dapat berkongsi kegembiraan bersama kanak-kanak lain sempena perayaan Krismas KK kali ke-13 nanti.


Perayaan Krismas KK merupakan anjuran tahunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Gereja-gereja Sabah (SCC).

Pada tahun ini, diosis Gereja Anglikan dan Gereja Methodist Sabah menjadi penganjur bagi pihak SCC.

(Diambil daripada artikel Sayang Sabah bertajuk, "Ceria Bersama Cindy dan Chrisy Sempena Krismas KK" yang ditulis oleh Leolerry Lajius bertarikh 10 Disember 2017)