Cindy (kiri) dan Chrisy (kanan) |
KOTA KINABALU: Perayaan Krismas KK yang akan diadakan di
Padang Merdeka selama empat hari bermula esok (11 Dis), akan dimeriahkan dengan program
khas untuk kanak-kanak.
Pelbagai acara disediakan termasuklah sukaneka dan mewarna
yang terbuka dan percuma kepada semua kanak-kanak. Program itu berlangsung hari
Selasa dan Rabu (12 dan 13 Disember).
Bukan itu sahaja, program itu akan diceriakan lagi oleh
penyanyi remaja Cindy Claudia dan Chrisy Elvira.
Cindy dan Chrisy merupakan pasangan adik beradik yang cukup
berbakat dan banyak menyertai pertandingan-pertandingan nyanyian serta meraih
kejuaraan.
Cindy merupakan johan Sugandoi Dazanak 2013 peringkat daerah
Tuaran dan mendapat tempat ke-3 dalam pertandingan itu di peringkat negeri.
Pada tahun yang sama juga Cindy pernah menjadi finalis
Bintang Kecil Sabah 2013 dan finalis Bintang Remaja Sabah pada tahun 2015.
Manakala Chrisy, mengikut jejak langkah kakaknya menjuarai
pertandingan Sugandoi Dazanak daerah Tuaran pada tahun 2015.
Selain itu, Chrisy juga menjuarai pertandingan Bintang Kecil
zon Sabah 2015 sekaligus menjadi finalis dalam pertandingan Bintang Kecil
Peringkat Kebangsaan 2014/2015.
Mesra bergaul, Cindy dan Chrisy ternyata gembira dapat
berkongsi kegembiraan bersama kanak-kanak lain sempena perayaan Krismas KK kali
ke-13 nanti.
Pada tahun ini, diosis Gereja Anglikan dan Gereja Methodist
Sabah menjadi penganjur bagi pihak SCC.
(Diambil daripada artikel Sayang Sabah bertajuk, "Ceria Bersama Cindy dan Chrisy Sempena Krismas KK" yang ditulis oleh Leolerry Lajius bertarikh 10 Disember 2017)