Fandy Santoso dari band Kerispatih |
KOTA KINABALU: FANDY Santoso, vokalis Band popular
Indonesia, Kerispatih bakal berkunjung ke negeri ini sempena sambutan perayaan
Krismas Kota Kinabalu (KK) pada Isnin hingga Khamis ini (11 – 14 Disember).
Fandy yang sudah lebih tujuh tahun menggantikan Sammy
Simorangkir (mantan vokalis) menzahirkan keterujaannya untuk membuat
persembahan pada malam ketiga dan penutupan acara itu nanti.
“Saya sangat excited, karena ini pertama kali saya ke Kota
Kinabalu. Saya harap kehadiran saya menjadi berkat untuk semua yang hadir,”
katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Fandy dijadualkan tiba di Sabah pada hari Selasa ini.
Dia kemudiannya menyertai menyertai program realiti TV
Indonesian Idol namun nasib tidak menyebelahinya pada percubaan pertama.
Fandy sekali lagi menyertai rancangan popular itu pada musim
seterusnya dan berjaya menjadi finalis Indonesian Idol Musim Keempat pada tahun
2017 dan mencapai kedudukan lima teratas.
Bakat yang dimiliki Fandy membawanya terbang lebih tinggi
sehingga dilamar oleh Kerispastih.
Selain terus gagah mencipta nama di persada muzik, Fandy
kekal sebagai seorang yang rendah hati dan memiliki keperibadian mulia.
Dia pernah menerbitkan album ketuhanan berjudul ‘Life is
Giving’. Album ini berisi 10 lagu yang sederhana dan sangat mudah dicerna dan
merupakan lagu-lagu yang berisi tentang kesaksian hidup
Fandy yang sudah banyak
menikmati berkat yang Tuhan curahkan dalam hidupnya. Diantaranya, Hilang,
Selalu Ada Untukku, Inilah Hidupku dan Tangan Tuhan yang Terbuka.
Menurut pengurus artis bagi konsert Perayaan Krismas KK,
Peter Anderson Nianti, selain Fandy, penyanyi dan penggubah bebas Malaysia
Juwita Suwito juga akan membuat persembahan pada hari yang sama.
Juwita merupakan penyanyi asal lagu tema bagi rancangan
realiti hiburan terkenal di Malaysia iaitu Akademi Fantasia dan juga lagu tema
Tahun Melawat Malaysia 2007.
Juwita Suwito |
Anak kacukan Indonesia-Singapura ini merupakan adik kepada
Aubrey Suwito.
Selain itu, acara pentas sepanjang perayaan Krismas KK juga
bakal diserikan dengan konsert artis tempatan.
Antaranya ialah Marlleynne Fane JL Paul, Joe Balanjiu Jr,
Norbert Andilah, Feraddy Okuling, Aprilisa Sue Ann dan Rayner Pailus (Elvis
Presley Sabah).
Marlleynne merupakan naib johan dalam rancangan realiti TV3
‘Vokal Bukan Sekadar Rupa’ Musim ke-2 pada tahun 2012.
Joe pula juga merupakan pencipta lagu dan penulis lirik yang
dikenali.
Walau jarang dirinya kepada media luar, namun Joe sering
diundang mengadakan persembahan jazz untuk majlis korporat dan festival muzik
di luar negara seperti Indonesia, Filipina dan UK.
Sementara itu, Norbert, Feraddy dan Aprilisa merupakan
penyanyi yang banyak meraih kemenangan dalam pertandingan-pertandingan nyanyian
tempatan.
“Ramai lagi artis-artis yang akan membuat persembahan nanti
untuk menghiburkan para pengunjung.
“Datang ke Padang Merdeka dan saksikan kehebatan barisan
artis yang akan menyemarakkan lagu suasana Krismas,” ujar Anderson.
(Diambil daripada artikel Sayang Sabah bertajuk, "Fandy Kerispatih Bakal Hangatkan Konsert Perayaan Krismas Kota Kinabalu" yang ditulis oleh Leolerry Lajius bertarikh 10 Disember 2017)