Ahad, 24 Disember 2017

Martin Luther Suka Benar Krismas - Dia Mungkin Juga Telah Popularkan Pokok Krismas Dalam Rumah


Penulis bersama lagu "In Christ Alone", Keith Getty mendedahkan beberapa fakta yang kurang diketahui mengenai Pelopor Reformasi itu.

Krismas adalah masa untuk mengingati. Bau-bauan yang biasa dari dapur. Gelak tawa biasa dari kanak-kanak. Kilauan biasa dari pokok yang dihiasi lampu. Setiap ini dan banyak lagi mengingatkan kita detik-detik waktu silam kita - cebisan-cebisan pengalaman dan emosi yang telah membentuk cara kita melihat hidup kita.

Pada tahun ini Gereja telah merayakan ulang tahun ke-500 Reformasi, menginspirasikan kita untuk mengingati perjuangan bersungguh-sungguh Martin Luther untuk mengembalikan Firman Tuhan ke tempat authoriti utama dalam kehidupan gereja (Sola Scriptura). Kita juga diperingatkan, bersama dengan orang lain di dunia, bahawa keselamatan adalah hanya melalui kasih karunia (Sola Gratia), melalui iman sahaja (Sola Fide) dan semuanya kerana pekerjaan Yesus sahaja di kayu salib (Solus Christus).

Ianya mungkin terlalu mudah untuk mengingati semua kebenaran yang mentransformasikan ini, namun tidak menyedari bahawa kebenaran-kebenaran itu menjadi sebati dengan perayaan Krismas. Sebenarnya, ianya mungkin kerana penekanan Luther yang tidak berbelah bahagi untuk dasar kepercayaan itulah yang telah membawanya kepada kasih yang tidak berbelah bahagi untuk Krismas. Dari malam pertama itu ketika para malaikat menyampaikan berita baik kepada gembala-gembala -- berita bahawa Juruselamat telah lahir -- para malaikat itu tidak dapat tidak terus menyanyi lagu di situ di tengah kawasan padang lapang.

Injil selalu membawa kepada nyanyian.

Detik utama dalam kisah yang terulung pernah diceritakan harus juga secara semulajadi menghasilkan lagu-lagu terulung pernah dikarangkan. Oleh itu adalah tidak menghairankan bahawa lagu-lagu karol Krismas adalah karya-karya teragung di kalangan lagu-lagu hymn. Luther gemar sekali kesempatan menyanyikan Injil, terutama semasa Krismas.

Pada waktu Reformasi, nyanyian berjemaah dan nyanyian dalam bahasa biasa umat telah dianggap sebagai perbuatan bidaah yang menyeleweng, tetapi Luther tahu bahwa itu adalah komponen alkitabiah yang penting untuk mengukuhkan Injil dalam hati umat Tuhan. Dia melihat nyanyian berjemaah bukan sebagai inovasi baru, tetapi sebaliknya sebagai pengamalan semula amalan-amalan yang telah diikuti dengan baik oleh nabi-nabi dan bapa-bapa gereja kuno.

"Lagu-lagu karol Krismas adalah karya-karya teragung di kalangan lagu-lagu hymn."

Di sekitar Krismas 1523, Luther mengungkapkan keinginannya untuk menulis dan juga mencari penulis-penulis lain yang berbakat untuk menuliskan Injil dalam bentuk lagu agar umat Tuhan dapat menyanyikannya bersama dengan sukacita. Dia menulis kepada George Spalatin pada Disember tahun itu: "Kasih karunia dan Damai! Saya sedang merencana mengikut contoh nabi-nabi dan bapa-bapa gereja kuno untuk menciptakan lagu-lagu mazmur (iaitu hymn) dalam bahasa rakyat untuk rakyat biasa supaya Firman Tuhan akan kekal dalam hati mereka... juga dalam nyanyian mereka." Yang terulung daripada lagu-lagu hymn ini adalah lagu-lagu karol dan Luther inginkan umat di mana saja akan menyanyikannya bersama-sama dengan jemaat dan keluarga mereka.

Luther sendiri menulis mengenai sukacita Injil yang dinyatakan pada Krismas apabila dia mengarang kata-kata ini dalam hymn, 'From Heaven Above to Earth I Come': "From heaven above to earth I come / To bear good news to every home / Glad tidings of great joy I bring / Whereof I now will say and sing / To you this night is born a child / Of Mary, chosen virgin mild / This little child, of lowly birth / Shall be the joy of all the earth."

Di samping lagu-lagu karol, Luther juga menggemari Krismas kerana ianya mencerminkan begitu banyak intipati dari kisah Injil itu sendiri. Baginya, tradisi memberi hadiah kepada anak-anak pada malam Krismas adalah kesempatan untuk mengajar mereka mengenai pemberian kasih karunia Tuhan yang dibungkus dalam bayi kecil yang disampaikan di dalam palungan... hanya untuk mereka. Ianya detik yang sempurna untuk menekankan mukjizat Inkarnasi. Dan ianya masih benar.

Menurut tradisi, Luther mungkin juga telah mempopularkan tradisi pokok Krismas sebagai satu cara untuk menyatakan dan menjelaskan teologi kepada keluarganya. Dikisahkan bahawa pada suatu hari, semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, dia merasa terkagum dengan kecantikan yang menakjubkan pohon fir yang berlatar belakangkan langit yang dihiasi bintang berkilauan. Dia tersangat ingin menceritakan kepada keluarganya apa yang telah dilihatnya, tetapi kata-katanya tidak dapat menyampaikan maksudnya. Oleh itu, dia keluar lagi dan menebang satu daripada pohon-pohon itu, membawanya kembali ke rumah untuk berkongsi dengan keluarganya. Dia juga menghiasi pokok itu dengan lilin, meniru bintang-bintang yang tergantung di atas palungan di mana Mesias yang baru lahir itu berbaring.

Krismas masih adalah masa untuk mengingati. Permandangan dan bunyi-bunyinya mungkin berbeza, tetapi Luther menggemari Krismas juga kerana ianya mengingatkannya mengenai kesucian, keindahan dan kebenaran kisah Yesus. Pada Krismas ini, semoga kecintaannya untuk Injil yang sebenar juga menjadi peringatan bagi setiap kita untuk mendengar, mengingati, dan menyanyikan kisah Yesus dengan segala sukacita atas kebenarannya.

(Diterjemahkan daripada artikel Premier Christianity bertajuk, "Martin Luther Loved Christmas - He Might Even Have Popularised Having A Christmas Tree" yang ditulis oleh Keith Getty bertarikh 14 Disember 2017)