Rabu, 31 Julai 2019

Tangau Menjelaskan Hantaran Facebooknya Mengenai Pengislaman Secara Ugutan Di Tambunan 38 Tahun Lalu

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Madius Tangau menunjukkan salinan memorandum berkenaan
isu pengislaman di Tambunan. Bersamanya adalah pegawainya dan anggota partinya

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Wilfred Madius Tangau hari ini telah bersuara mengenai protes yang telah timbul akibat kenyataannya mengenai ugutan ke atas penduduk untuk masuk Islam di pedalaman Sabah berdekad-dekad yang lalu, dengan menyatakan bahawa dia tidak berniat untuk tidak menghormati mana-mana agama. 

Tangau, yang juga adalah presiden UPKO, berkata apa yang telah dihantarnya di akaun Facebooknya pada 21 Julai adalah berdasarkan fakta, dan menambah bahawa dia telah menerima memorandum mengenai "perbuatan-perbuatan" itu ketika dia menjadi pemimpin pelajar pada 1982. 

Ahli parlimen Tuaran itu memberitahu pemberita selepas menghabiskan empat jam bermula 10 pagi disoal oleh polis di pejabatnya di sini hari ini. 

Tangau telah menerima kritikan selepas mendakwa seorang pemimpin kerajaan negeri telah pergi ke Tambunan 38 tahun yang lalu dan memaksa penduduk di sana untuk menukar agama dengan mengugut bahawa mereka tidak akan mendapat tanah dan kerja. Bagaimanapun, dia tidak menamakan pemimpin itu. 


Dalam hantaran yang sama, dia telah memuji Ketua Menteri Shafie Apdal kerana meluluskan derma RM1 juta untuk pembaikan gereja semasa lawatan ke Tambunan dan membandingkan itu dengan tindakan bekas pemimpin itu. 

Kumpulan pendesak Suara Masyarakat Sabah, salah satu kumpulan yang telah membuat laporan polis terhadapnya, dengan mengatakan bahawa kenyataannya berbaur keagamaan. 

Tangau berkata apa yang penting baginya adalah untuk menekankan bahawa niat hantaran itu adalah hanya sebagai peringatan "kepada kita semua mengenai tindakan yang amat dikesali yang telah dilakukan oleh individu-individu dan bukan mengenai mana-mana agama".

"Ianya juga adalah hantaran untuk kita semua menghargai bahawa pada waktu ini, kita mempunyai seorang ketua menteri yang telah menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan gereja-gereja.

Keterangannya Telah Diambil Polis

"Polis telah mengambil keterangan saya sebagai respons kepada pelbagai laporan polis yang telah dibuat terhadap saya mengenai hantaran saya," katanya, dengan menambah dia mendapat tahu terdapat 33 aduan polis telah dibuat terhadapnya.

Dengan menyatakan keyakinannya bahawa polis akan menyiasat perkara ini dengan saksama dan profesional, dia berkata dia juga telah memberikan dokumen-dokumen yang relevan untuk menjelaskan hantarannya.

"Dokumen-dokumen yang saya maksudkan adalah memorandum yang telah diberikan kepada saya bertahun-tahun lalu ketika saya adalah seorang pemimpin pelajar di UPM (Universiti Putra Malaysia).

Memorandum Daripada Penduduk Tambunan

"Saya telah secara peribadi menyampaikan memorandum itu kepada Anwar Ibrahim yang pada ketika itu baru dilantik sebagai menteri dalam Jabatan Perdana Menteri untuk tindakannya," kata Tangau.

Dia menambah bahawa memorandum itu telah ditandatangani oleh 2,000 penduduk di Tambunan termasuk ahli undangan negeri mereka pada ketika itu.

"Namun begitu, oleh kerana ini masih dalam siasatan polis, saya tidak dapat mendedahkan isi kandungan memorandum itu," katanya.

Tangau juga menolak desakan agar dia memohon maaf secara terbuka, dengan mengatakan bahawa kenyataannya adalah berdasarkan fakta. "Oleh itu bagaimanakah saya dapat (memohon maaf)? Saya mengatakan mengenai tindakan oleh seseorang, bukan mengenai mana-mana agama."

Tetap Menyokong Keharmonian

"Saya sentiasa percaya, menyokong dan mempromosikan hubungan harmoni di antara pelbagai agama dan kaum di negara ini," katanya.

"Saya berbangga bahawa Sabah sentiasa dilihat sebagai teladan yang baik dalam hormat-menghormati dan bertoleransi di antara penduduk yang pelbagai agama.

"Oleh itu, adalah harapan saya agar kita sekarang boleh bergerak ke hadapan dari episod ini dan akan sentiasa setia dengan pendirian kita dalam melindungi keunikan dan ikatan istimewa yang menyatukan kita semua melalui saling menghormati dan saling memahami."

(Diterjemahkan daripada artikel Free Malaysia Today yang bertajuk, "Tangau Breaks Silence Over His 'Forced Conversions' FB Posting" yang ditulis oleh Durie Rainer Fong bertarikh 31 Julai 2019)