(Foto dari Sabah News Blog) |
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri
Madius Tangau, menjelaskan kenyataannya di laman sosial Facebook mengenai
pengislaman di Tambunan 21 Julai lalu merujuk kepada tindakan seorang individu
semata-mata.
Beliau, yang memberi keterangan selama tiga jam kepada polis
hari ini berhubung kenyataan yang didakwa menimbulkan kegusaran orang ramai
itu, menegaskan ia bukan untuk menunjukkan rasa tidak hormat kepada agama lain.
Madius, ketika ditemui di pejabatnya, berkata kenyataan
berhubung pengislaman beramai-ramai di Tambunan itu dibuat hanya sebagai
peringatan kepada semua mengenai perkara yang pernah terjadi di negeri ini.
Katanya, ketika menjadi Pengerusi Kumpulan Tindakan Sosial
Pelajar Katholik Sabah di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) kira-kira 38
tahun lalu, beliau menerima memorandum ditandatangani 2,000 individu berhubung
tindakan berkenaan untuk diserahkan kepada Perdana Menteri.
“Memorandum ini saya serahkan kepada Datuk Seri Anwar
Ibrahim, yang ketika itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, disebabkan perkara ini masih dalam siasatan polis, ia tidak boleh
dedahkan kepada umum.
“Saya difahamkan, sebanyak 33 laporan polis dibuat berhubung
kenyataan berkenaan. Oleh itu, hari ini saya menjemput pihak polis untuk
mengambil keterangan dan menyerahkan dokumen berkaitan bagi menjelaskan
kenyataan itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.
Madius berkata beliau percaya pihak polis akan menjalankan
siasatan dengan adil lagi profesional dan selaku Presiden Parti Pertubuhan
Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), beliau sentiasa menyokong dan
memupuk keharmonian antara kaum serta agama di negara ini.
“Malah, pada 2014, saya menubuhkan Biro Agama dan
Keharmonian Kaum untuk UPKO dalam usaha mempertingkatkan tolak ansur dan saling
menghormati antara agama dalam kalangan ahli,” katanya.
(Diambil daripada artikel Berita Harian bertajuk, "Timbalan Ketua Menteri Sabah Beri Keterangan Kepada Polis" yang ditulis oleh Fardy Bungga bertarikh 31 Julai 2019)