Kita semua tahu bagaimana akaun bank biasa kita berfungsi. Kita meletakkan deposit, menyimpan wang, dan apabila kita memerlukan wang itu kemudian, kita mengeluarkannya. Akaun bank emosi adalah suatu akaun kepercayaan, bukannya kewangan. Ianya suatu akaun yang berasaskan bagaimana anda rasa selamat bersama seseorang yang lain.
Covey telah mengenalpasti enam cara untuk menambah simpanan (dan mengurangkan pengeluaran):
1) Memahami Individu itu. Ini bermakna mendengar dengan teliti apa yang orang lain itu katakan dan berempati dengan apa yang mereka rasakan. Adalah penting untuk mengambil berat tentang orang lain dan bertindak dengan baik hati terhadap mereka.
2) Menunaikan Komitmen. Apakah perasaan anda apabila seseorang tiba tepat pada masanya apabila anda mengadakan pertemuan? Bagaimana pula apabila seseorang melakukan apa yang mereka kata mereka akan lakukan? Kita membina simpanan emosi dengan menunaikan komitmen kita.
3) Menjelaskan Jangkaan. Kita bukanlah orang yang dapat membaca fikiran orang lain, namun begitu kita sentiasa menjangka bahawa orang-orang lain tahu apa yang kita menjangka daripada mereka. Berkomunikasi mengenai jangkaan kita boleh menjana tahap kepercayaan yang lebih tinggi.
4) Mengendalikan Hal-Hal Kecil. Tidakkah anda mendapati bahawa hal-hal kecil cenderung menjadi hal-hal BESAR apabila kita tidak memberi perhatian kepadanya? Melakukan hal-hal yang kecil adalah cara kita menghormati dan menunjukkan hormat kepada orang lain. Melakukan suatu kebaikan kecil, suatu senyuman, sedikit usaha tambahan, suatu pelukan, melakukan sesuatu yang anda tidak "perlu" buat: inilah perkara-perkara yang membina kepercayaan.
5) Menunjukkan Integriti Peribadi. Integriti adalah dasar moral di mana perhubungan saling mempercayai dibina. Jika kita bertindak dengan karakter moral yang kukuh, ianya amat mudah untuk orang lain mempercayai kita.
6) Memohon Maaf Apabila Kita Melakukan Pengeluaran. Kita akan melakukan kesilapan, itu adalah kenyataan hidup. Tetapi apabila anda melihat bahawa anda telah melanggar suatu kepercayaan, memohon maaf dengan ikhlas adalah cara kita menambah simpanan untuk mengatasi balik kerosakan yang telah kita buat.
Apabila tahap kepercayaan anda tinggi, kerana anda telah banyak kali menambah simpanan, komunikasi menjadi mudah. Anda boleh menjadi diri anda, dan orang lain dapat memahami dan menghargai anda. Kemudian jika anda melakukan kesilapan atau menyinggung perasaan seseorang tanpa disangka, kita boleh bergantung pada simpanan itu dan perhubungan masih dapat kekal di tahap yang kukuh.
Sebaliknya, apabila anda tidak sopan, tidak menghormati orang lain, memotong percakapan orang lain, berkata dengan menyindir, atau mengabaikan orang lain, anda telah terlebih mengeluarkan daripada akaun bank emosi anda kerana anda telah merosakkan tahap kepercayaan itu. Apabila tahap kepercayaan itu rendah, anda perlu berhati-hati apa yang anda katakan: anda akan cenderung berkata-kata hal-hal yang menyenangkan.
Hubungan-hubungan kita yang paling berharga (dengan suami atau isteri, anak-anak, kawan-kawan dan majikan) perlu deposit yang berterusan, sebab hubungan-hubungan itu terus bertumbuh dan berubah, dan dengan perubahan-perubahan itu, terbentuk jangkaan-jangkaan baru. Jika anda mempunyai seorang remaja di rumah, anda mungkin membuat beberapa pengeluaran dalam hanya sehari! Sambil perkahwinan anda terus berubah, peranan dan tanggungjawab anda mungkin berubah, serta pekerjaan dan kehidupan keluarga anda mungkin berubah kerana perubahan dalam kerjaya dan anak-anak berpindah ke luar atau berpindah balik ke rumah. Hubungan-hubungan ini memerlukan pelaburan yang berterusan.
Ketika Wes menceritakan kiasan ini dengan saya, saya mengambil masa menulis dalam jurnal saya mengenai pasangan saya, keluarga, kawan-kawan dan majikan saya. Jika saya perlu memberi markah berkenaan setiap satu berdasarkan akaun bank emosi saya, bagaimana kedudukan pelaburan saya? Saya mendorong anda untuk mlakukan latihan yang sama. Ianya benar-benar menolong saya mengenalpasti di manakah saya harus lebih melabur. Di tengah-tengah keadaan ekonomi yang sukar ini, kita perlu lebih berhikmat bagaimanakah kita menguruskan emosi kita.
(Diterjemahkan daripada artikel Integrated Leader bertajuk, "Your Emotional Bank Account" yang ditulis oleh M.J. Clark)