Ahad, 19 Jun 2022

Peranan Yusuf Sebagai Seorang Bapa


Beberapa tahun yang lepas, ketika membuat persiapan untuk khutbah Hari Bapa, saya terfikir tentang Yusuf, ayah Yesus. Saya mula-mulanya menolak idea itu sebab saya fikir tidak banyak disebut mengenai Yusuf sebagai seorang bapa. 

Dalam Alkitab, jauh lebih banyak disebut mengenai Maria, ibu Yesus berbanding dengan suaminya, Yusuf. Oleh itu saya benar-benar berfikir bahawa tidak ada banyak maklumat mengenai peranan Yusuf sebagai seorang bapa. Namun begitu, apabila saya menyelidiki Firman Tuhan, saya mendapati Yusuf telah memainkan empat peranan dalam kehidupan anaknya, Yesus.

1. Yusus melindungi anaknya - Kita membaca dalam Matius 2:13-14 bagaimana Yusuf telah membawa bayi Yesus ke Mesir setelah diberitahu oleh malaikat bahawa Raja Herodes ingin membunuh bayi itu.

Selepas itu, malaikat Tuhan memperlihatkan diri dalam mimpi kepada Yusuf lalu berkata, "Herodes akan mengeluarkan perintah supaya mencari dan membunuh Anak itu. Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir. Tinggallah di situ hingga Aku berfirman kepadamu. Yusuf pun bangun. Pada malam itu juga dia membawa Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir.


Pada zaman modern ini, sebagai bapa, walaupun tidak ada lagi Raja Herodes, kita masih terpanggil untuk melindungi anak-anak kita daripada pelbagai pengaruh dan gejala yang jahat dalam masyarakat (termasuk dalam alam siber). 

2. Yusuf menyara hidup keluarganya - Kita membaca dalam Matius 13:55 bahawa Yusuf adalah tukang kayu, dan dengan usahanya itu, dia telah menyara kehidupan keluarganya.
 

Bukankah Dia anak tukang kayu? Bukankah Maria itu ibu-Nya, dan Yakobus, Yusuf, Simon serta Yudas itu saudara-Nya?


Pada zaman ini, seorang ayah tetap bekerja kuat dalam bidangnya demi untuk menyara kehidupan keluarga.  

3. Yusuf memberikan didikan kepada anaknya - pada zaman Yusuf tidak ada sistem sekolah yang kita ada sekarang, dari sekolah rendah sampai ke universiti. Seringkali seorang ayah akan sendiri mendidik anaknya dan mengajar kemahiran hidup supaya anaknya dapat menyara hidupnya sendiri kelak. Oleh itu Yusuf, tukang kayu telah mengajar anaknya kemahiran pertukangan kayu. Kita baca dalam Markus 6:3 bahawa Yesus pun menjadi tukang kayu seperti ayahnya:

Bukankah Dia ini tukang kayu, anak kepada Maria, saudara kepada Yakobus, Yoses, Yudas dan Simon? Bukankah saudara-saudara perempuan-Nya tinggal di sini?" Oleh itu, mereka enggan menerima-Nya.


Pada zaman modern ini, seorang ayah masih memberikan pendidikan kepada anak-anaknya dari sekolah rendah sampai sekolah menengah mahupun universiti. 

4. Yusuf membawa anaknya mengikuti acara ibadah. 

Lukas 2 41-42 menunjukkan bagaimana Yusuf setia mengikuti ibadah Paskah setiap tahun di Yerusalem. Ketika Yesus berusia dua belas tahun, Yusuf pun membawanya bersama untuk acara Paskah di Yerusalem. 

Tiap-tiap tahun ibu bapa-Nya pergi ke Yerusalem untuk menyambut Perayaan Paskah. Ketika Yesus berusia dua belas tahun, mereka pergi menghadiri perayaan itu seperti biasa. 


Pada zaman ini juga, seorang ayah yang setia beribadah juga akan selalu membawa anaknya mengikuti acara ibadah.

Kesimpulan

Sambil Yusuf melakukan peranannya sebagai seorang bapa, dia telah melihat anaknya, Yesus semakin membesar dengan bijaksana dan diredai Allah dan manusia.

Yesus semakin membesar dan bijaksana. Dia diredai Allah dan manusia (Lukas 2:52, AVB)

Tiada ganjaran yang lebih besar bagi seorang bapa selain melihat anaknya membesar seperti itu.

Selamat Hari Bapa!