Ahad, 9 Jun 2024

Infografik: 10 Tulah Di Mesir


Tujuan Tuhan menghantar sepuluh tulah ke atas Mesir adalah untuk menyakinkan Firaun untuk melepaskan orang-orang Ibrani dan mengizinkan mereka menyembah Tuhan.

Malangnya Firaun tidak mengizinkan orang-orang Ibrani pergi dan Mesir mengalami bencana teruk kerana sepuluh tulah itu.

1. Air Menjadi Darah

Oleh sebab itu, beginilah firman TUHAN, "Dengan hal yang berikut ini engkau akan tahu bahawa Akulah TUHAN." Lihat, dengan tongkat di tanganku ini akan kupukul air Sungai Nil, dan air itu akan berubah menjadi darah. Ikan-ikan dalam Sungai Nil akan mati sehingga Sungai Nil berbau busuk, dan warga Mesir akan jijik meminum air daripada Sungai Nil" (Keluaran 7:17-18)

2. Katak

TUHAN berfirman kepada Musa, "Pergilah menghadap Firaun dan katakanlah kepadanya, 'Beginilah firman TUHAN, "Izinkanlah umat-Ku pergi, supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. Jika kamu tidak mengizinkan mereka pergi, maka Aku akan mengazabkan seluruh daerahmu dengan mendatangkan katak. Sungai Nil akan berlimpah dengan katak dan katak-katak itu akan naik lalu masuk ke dalam istanamu, ke dalam bilik tidurmu, dan ke atas tempat tidurmu. Juga ke dalam rumah para pegawaimu dan rakyatmu, ke dalam tempat pembakaran rotimu, serta ke dalam tempat adunanmu. Katak-katak itu pun akan naik memanjati kamu, rakyatmu, dan semua pegawaimu" (Keluaran 8:1-4)

3. Agas

TUHAN berfirman kepada Musa, "Katakanlah kepada Harun, 'Hulurkanlah tongkatmu dan pukullah debu tanah, maka debu itu berubah menjadi agas di seluruh Tanah Mesir." Mereka pun melaksanakan hal itu. Harun menghulurkan tangannya dengan tongkatnya, lalu dipukulnya debu tanah. Maka muncullah agas yang tidak terhingga banyaknya lalu hinggap pada manusia dan binatang. Semua debu tanah berubah menjadi agas di seluruh Tanah Mesir (Keluaran 8:16-17)

4. Lalat

TUHAN berfirman kepada Musa, "Bangunlah pagi-pagi, lalu nantikanlah Firaun ketika lazimnya dia keluar ke sungai. Katakanlah kepadanya, 'Beginilah firman TUHAN, "Izinkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku, kerana jika engkau tidak mengizinkan umat-Ku pergi, maka akan Kubuat kawanan lalat mendatangimu, mendatangi para pegawaimu, rakyatmu, serta rumah-rumahmu. Rumah orang Mesir akan penuh dengan kawanan lalat, dan begitu jugalah bumi yang dipijak mereka itu. Akan tetapi, pada hari itu Aku akan mengecualikan Tanah Gosyen yang dihuni para umat-Ku. Di sana tidak akan ada kawanan lalat, supaya engkau tahu bahawa Akulah, TUHAN, yang hadir di tengah-tengah tanah ini (Keluaran 8:20-22)

5. Penyakit Sampar

TUHAN berfirman kepada Musa, "Pergilah menghadap Firaun dan katakanlah kepadanya, 'Beginilah firman TUHAN, Allah orang Ibrani, "Izinkanlah umat-Ku pergi, supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. Sebabnya jika engkau tidak mengizinkan mereka pergi dan masih menahan mereka, maka tangan TUHAN akan mendatangkan penyakit sampar yang sangat teruk kepada ternakan kamu di padang, iaitu kuda, keldai, unta, lembu, serta domba. Tetapi TUHAN akan membezakan ternakan orang Israel daripada ternakan warga Mesir. Tidak seekor pun daripada ternakan orang Israel akan mati" (Keluaran 9:1-4)

6. Bisul

TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, "Ambillah segenggam penuh jelaga dari relau, lalu hendaklah Musa menghamburkannya ke udara di hadapan Firaun. Jelaga itu akan menjadi debu halus yang meliputi seluruh Tanah Mesir serta menjadi bisul yang pecah bernanah pada manusia dan haiwan di seluruh Tanah Mesir" (Keluaran 9:8-9)

7. Hujan Batu

Firman TUHAN kepada Musa, "Hulurkanlah tanganmu ke langit supaya hujan batu turun di seluruh Tanah Mesir dan melanda manusia, haiwan, serta segala tumbuhan di padang, di Tanah Mesir." Musa pun menghulurkan tongkatnya ke langit, lalu TUHAN mendatangkan guruh dan hujan batu, serta menurunkan api pula ke bumi. TUHAN menghujani Tanah Mesir dengan hujan batu. (Keluaran 9:22-23)

8. Belalang

Sebabnya jika kamu tidak mengizinkan umat-Ku pergi, maka hari esok Aku akan mendatangkan kawanan belalang juta ke daerahmu. Segala belalang juta itu akan melitupi permukaan bumi sehingga tanah tidak lagi terlihat. Kawanan belalang juta itu juga akan memakan habis sisa yang terluput, iaitu yang masih tertinggal bagimu setelah peristiwa hujan batu itu, dan akan memakan habis semua pokok yang tumbuh di padang (Keluaran 10:4-5)

9. Kegelapan

TUHAN berfirman kepada Musa, "Hulurkanlah tanganmu ke langit, supaya kegelapan datang ke atas Tanah Mesir, sehingga orang benar-benar merasakan kegelapan itu." Musa pun menghulurkan tangannya ke langit, lalu datanglah kegelapan yang pekat ke atas seluruh Tanah Mesir selama tiga hari (Keluaran 10:21-22)

10. Kematian Anak Sulung

Kata Musa, "Beginilah firman TUHAN, 'Pada waktu tengah malam Aku akan datang ke tengah-tengah Mesir. Maka semua anak sulung di Tanah Mesir akan mati, mulai anak sulung Firaun yang duduk di atas takhtanya hingga anak sulung hamba perempuan yang bekerja menggunakan pengisar itu, dan juga semua anak sulung ternakan.

Tangisan yang kuat akan berlaku di seluruh Tanah Mesir yang belum pernah terjadi sebelum itu dan tidak akan terjadi lagi. Akan tetapi, kepada siapa pun daripada orang Israel, baik manusia mahupun binatang, tidak ada seekor anjing pun akan berani menyalak, supaya kamu tahu bahawa TUHAN membezakan di antara warga Mesir dengan orang Israel. (Keluaran 11:4-7)