Isnin, 26 Ogos 2024

Mengapakah Saya Boleh Bersarapan Tetapi Tidak Bersaat Teduh?


Saat Teduh adalah waktu peribadi kita dengan Tuhan dalam doa dan Firman. Kita boleh adakan Saat Teduh pada waktu pagi, petang atau malam. Ada orang yang suka lakukan pada waktu pagi, dan ada yang suka lakukan pada waktu malam.

Sebenarnya saya fikir baik untuk lakukan pada waktu pagi, namun begitu saya jarang lakukan pada waktu pagi. Biasanya saya akan sibuk dari awal pagi, menghantar anak-anak ke sekolah, lepas itu bersarapan sekejap di kedai lalu ke rumah ibu saya untuk menolongnya menyiram pokok bunganya. Selepas saya selesai menyiram pokok bunga, saya bergegas balik ke rumah sendiri untuk bersiap pergi kerja. Saya akan gosok baju, mandi dan menyalin pakaian  dan bersiap untuk memandu dan mengambil rakan-rakan sekerja.

Berhenti dan Berehat

Pada hari Khamis lepas, saya tidak perlu begitu awal pergi kerja, sebab pada hari itu saya tidak perlu ambil rakan-rakan sekerja. Namun begitu, hati saya bergegas untuk menyiapkan diri untuk pergi kerja. Itu sudah jadi kebiasaan.

Tiba-tiba Tuhan ingatkan saya untuk berhenti dan berehat sejenak di hadapan-Nya. Memang saya sudah rasa jenuh dengan kehidupan harian yang selalu tergesa-gesa untuk bersiap pelbagai urusan sebelum pergi kerja. Pagi itu saya rasa elok sekali Tuhan ingatkan saya untuk berhenti dan berehat.

Saya menenangkan hati dan berfikir mengenai Tuhan. Saya teringat mengenai Saat Teduh dan bagaimana saya setiap hari bergegas dari satu hal ke satu hal yang lain pada waktu pagi. Saya fikir ramai juga orang yang seperti saya akan bergegas seperti itu pada waktu pagi.

Tiba-tiba suatu pertanyaan timbul di fikiran saya - "Mengapakah orang-orang Kristian tidak melakukan Saat Teduh?"

Dua jawapan yang jelas timbul dalam hati saya. Yang pertamanya adalah:

1. Orang-orang Kristian tidak lakukan Saat Teduh sebab mereka tidak anggap Saat Teduh itu penting

Saya terkejut dengan jawapan itu yang timbul di hati. Tetapi apabila saya memikirkannya, ianya adalah benar.

Kebanyakan orang Kristian (termasuk saya) kalau ditanya akan mengatakan bahawa Saat Teduh itu penting, namun begitu apabila kami tidak mengadakan Saat Teduh, itu dengan sendirinya menunjukkan bahawa kami sebenarnya tidak menganggapnya penting.

Seperti contoh yang saya berikan di atas, pada awal pagi saya akan hantar anak-anak ke sekolah, kemudian sarapan, kemudian menyiram bunga di rumah ibu, kemudian gosok baju dan mandi lalu bersiap pergi kerja. Saya lakukan semua itu pada waktu pagi sebab saya menganggap semua itu penting. Apabila saya tidak melakukan Saat Teduh, itu menunjukkan saya sebenarnya tidak menganggapnya penting seperti hal-hal yang lain yang saya lakukan pada waktu pagi.

Kemudian timbul lagi satu jawapan di hati saya:

2) Orang-orang Kristian tidak mengadakan Saat Teduh sebab mereka tidak merancang untuknya

Saya memikirkan jawapan yang kedua ini dengan baik-baik.

Dan semakin saya fikir, semakin saya menyakini jawapan itu. 

Pada waktu pagi, biasanya kita sudah merancangkan waktu kita dengan baik. Bagi saya, saya tahu saya perlu bangun dari tidur pada 6.15 pagi supaya saya akan menghantar anak-anak saya ke sekolah pada 6.45 pagi dengan kereta. Selepas sarapan sekejap di kedai saya akan ke rumah ibu saya untuk menyiram pokok bunga selama lebih kurang sejam. Kemudian pada 8.30 pagi saya akan kembali ke rumah, menggosok baju, pergi tandas dan mandi. Pada 9.30 pagi saya sudah bersiap untuk memandu dan membawa rakan-rakan sekerja untuk pergi kerja. 

Walaupun pada mulanya saya tidak merancang dengan teliti semua aktiviti saya pada waktu pagi, lambat-laun saya menyedari bahawa saya perlu ada perancangan sebab jika tidak, saya pasti akan lambat pergi kerja.

Kenapakah saya tidak melakukan Saat Teduh pada waktu pagi? Sebabnya saya tidak merancang untuknya. Kalau saya tidak merancang untuknya, ternyata ianya tidak akan terjadi pada waktu pagi yang sibuk.

Sambil merenungkan perkara ini, saya sedar dan yakin bahawa saya perlu mengambil serius Saat Teduh dan merancang untuk mengadakannya pada waktu pagi.

Satu Persoalan Timbul

Ketika memikirkan hal ini, saya menyedari bahawa untuk saya mengadakan Saat Teduh pada waktu pagi, saya perlu lebih awal bangun dari tidur. Jika tidak, saya tidak akan dapat memuatkannya dalam jadual saya yang sibuk pada waktu pagi. 

Dan di situ mulalah timbul persoalan bagi saya. Saya sudah biasa bangun 6.15 pagi, itupun kadang-kadang senang bangun dan kadang-kadang susah nak bangun. Saya tak dapat bayangkan nak bangun lebih awal setengah jam untuk mengadakan Saat Teduh. Memang sukar untuk saya bangun lebih awal, apalagi sebelum jam 6 pagi (kalau di Sabah dan Sarawak, memang 5.45 pagi taklah awal sangat, tapi kerana saya tinggal dan kerja di Semenanjung, waktu itu terasa terlalu awal dan langit pun gelap gelita). 

Namun begitu, saya tahu sebabnya saya susah nak bangun awal, ianya kerana saya suka tidur lewat. Jika saya nak bangun lebih awal, jawapannya jelas - saya perlu tidur lebih awal. Saya membuat hajat di hati untuk tidur lebih awal supaya dapat bangun awal dan mengadakan Saat Teduh.

Saya Tidur Lewat Lagi Tapi...

Pada sebelah malam yang sama, setelah kesibukan dan bekerja kuat sepanjang hari, saya berehat-rehat di kerusi selepas makan malam. Sambil berehat dan menonton TV, saya tak menyedari waktu sudah melebihi tengah malam. Saya sudah terlupa mengenai hajat saya nak tidur awal dan bangun awal. 

Saya fikir saya memang tak akan dapat bangun awal pada 5.45 pagi seperti yang dirancangkan. Sedikit kecewa dengan diri sendiri kerana terlupa rancangan itu, saya pun  tidur tanpa mengubah waktu pada jam loceng saya - ianya tetap akan berbunyi pada waktu biasa 6.15 pagi. 

Keesokan paginya, saya tiba-tiba terbangun dari tidur. Saya melihat jam dalam handphone saya. Ianya 5.45 pagi! Saya terkejut melihat waktu itu. Saya telah terlupa untuk tidur awal dan tak yakin dapat bangun awal tapi Roh Kudus tak lupa. Dia telah membangunkan saya untuk pertemuan pagi dengan Tuhan!

Semalam ialah hari Ahad, dan hal itu berlaku lagi, Biasanya saya tidak perlu bangun begitu awal pada hari Ahad sebab tidak perlu hantar anak-anak ke sekolah. Oleh itu saya tidak perlu letakkan waktu lebih awal pada jam loceng saya. Tiba-tiba saya terbangun dari tidur pada 5.45 pagi dan saya tahu Tuhan telah membangunkan saya lagi. 

Saya bangun dan merenungkan Firman Tuhan dan mempelajari pelajaran baharu daripada Tuhan!

Seperti saya katakan pada permulaan. ada orang yang suka lakukan Saat Teduh pada waktu pagi, dan ada orang yang suka lakukan pada waktu malam. Sebelum ini saya jarang lakukan pada waktu pagi disebabkan kesibukan saya tetapi sekarang saya akan melakukan pada waktu pagi, ketika hati masih lapang dan hari baru bermula... sebab jika saya boleh bersarapan, saya juga boleh bersaat teduh di pagi hari.


-  Si Domba Putih