Isnin, 19 Ogos 2013

Penyelesaian Kata "Allah" Oleh PM Harus Dijunjung

Tan Sri Murphy Pakiam merupakan
Uskup Agung Roman Katolik
Kuala Lumpur, Malaysia


KUALA LUMPUR: Tidak sampai dua tahun selepas Mahkamah Tinggi Tinggi mengisytiharkan larangan penggunaan kata “Allah” adalah tidak berperlembagaan, kerajaan telah memberikan Penyelesaian 10 - Perkara sebagai jawaban kepada pelbagai isu Alkitab dan lain-lain.

Penyelesaian 10 - Perkara itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Najib Abdul Razak pada April 11, 2011 setelah mendapat persetujuan kabinet dan disampaikan kepada Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia, Ng Moon Hing.

Antara kandungan Penyelesaian 10 - Perkara ialah kerajaan membenarkan penerbitan dan mengimport Alkitab semua bahasa termasuklah Bahasa Malaysia / Bahasa Indonesia yang mengandungi kata “Allah” tanpa sebarang sekatan.

Uskup Agung Murphy Pakiam menyatakan bahawa Perdana Menteri sesungguhnya mengetahui keputusan Mahkamah Tinggi pada Disember 31, 2008 sebelum menandatangani Penyelesaian 10-Perkara.

Di dalam afidavitnya, Uskup Agung Pakiam mahu membatalkan rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan serta menegaskan bahawa Alkitab dalam semua bahasa termasuk bahasa orang Asal seperti Iban, Kadazan-Dusun dan Lun Bawang, boleh dicetak tempatan dan import seperti yang dinyatakan dalam Penyelesaian 10 - Perkara.

Alkitab digunakan oleh orang Kristian
di Sabah, Sarawak & Semenanjung
dalam ibadah dan kehidupan harian
Penyelesaian 10 - Perkara turut menyatakan bahawa di dalam semangat 1Malaysia dan mengakui bahawa ramai orang berulang-alik di antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia, tiada larangan atau pembatasan dikenakan ke atas mereka yang ingin membawa Alkitab masing-masing apabila di dalam perjalanan.

“Bagi Sabah dan Sarawak, dalam mengiktiraf bilangan besar orang Kristian di negeri-negeri ini, tidak ada keperluan untuk apa-apa tera atau cetakan nombor siri. Bagaimanapun, bagi Semenanjung Malaysia, kerana mengambil kira masyarakat Islam yang lebih besar, Alkitab mesti mempunyai kata ‘penerbitan Kristian’ dan Salib pada kulit muka hadapannya,” kata Pakiam dalam afidavit yang dilihat oleh Malaysiakini.

Suatu arahan berhubung isu Al- Kitab ini telah dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan pelaksanaan yang betul bagi keputusan kabinet ini. Kegagalan untuk mematuhi arahan ini akan menyebabkan pegawai-pegawai yang terbabit dikenakan tindakan disiplin di bawah Arahan Am.

Uskup Agung Pakiam menegaskan bahawa kata “Allah” sebagai terjemahan kata “God” telah digunakan dalam Alkitab Bahasa Malaysia/Indonesia, dan bahasa-bahasa peribumi di Sabah dan Sarawak selama berabad-abad.

Tiada ancaman keselamatan

Alkitab dan Al-Quran, kedua-duanya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu pada abad ke-17. “Sebelum ini, tidak pernah ada ancaman keselamatan dan ketenteraman awam dengan menggunakan kata “Allah” oleh penganut Kristian. Kenyataan ini dikukuhkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan bertindak tidak rasional, tidak munasabah dan mencabar semua yang logik,” kata Uskup Agung Pakiam di dalam afidavit tersebut.

Pakiam menambah bahawa dokumen pada April 11 itu merupakan pengiktirafan kepada keputusan penting, dan sebagai mewakili komuniti Kristian, Uskup Agung itu menegaskan bahawa tidak ada kesahihan untuk meneruskan rayuan tersebut.

Oleh itu, Uskup Agung di dalam afidavitnya percaya bahawa rayuan itu seharusnya diganti dengan keputusan terbaru yang telah diambil oleh KDN dan kerajaan.

“Apa-apa keputusan yang dibuat oleh mahkamah untuk mendengar merit (rayuan) akan menjadi amali sia-sia tanpa manfaat tertentu sebagai kementerian dan kerajaan. Oleh itu, mahkamah tidak sepatutnya bertindak dan memanjangkan rayuan itu kerana ia menjadikan perkara akademik. Adalah wajar dan patut rayuan ini dibatalkan,” kata Murphy pada akhir afidavit.

Permohonan Uskup Agung untuk membatalkan rayuan itu akan didengar pada Ogos 22 ini. --Sumber Malaysiakini


(Dipetik daripada artikel Herald Malaysia bertajuk "Penyelesaian Kata 'Allah' Oleh PM Harus Dijunjung" bertarikh 16 Ogos 2013)

----------------------------------

#  UPDATE 22 OGOS 2013: Gereja Katolik hari ini gagal dalam permohonan mengetepikan rayuan Putrajaya untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar mingguan Herald menggunakan perkataan “Allah”. Keputusan ini bermakna Mahkamah Rayuan perlu mendengar rayuan kerajaan untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi pada Disember 2009 itu. Rayuan itu dijadualkan akan didengar pada 10 September 2013.