Selasa, 3 Jun 2014

Bilakah Penceraian Diizinkan?

Tuhan membenci penceraian tetapi kadang-kala ianya tidak dapat dielak

Oleh J. Lee Grady:

Tiga bulan yang lalu, setelah aku menulis artikel, "10 Lelaki Yang Wanita Kristian Tidak Harus Kahwini," para pembaca pun menceritakan kisah-kisah amat menyedihkan mengenai kesilapan mereka dalam perkahwinan. Seorang wanita mengaku, "Lelaki yang aku kahwini memiliki enam ciri-ciri daripada 10 yang anda senaraikan!" Ramai pembaca lain juga menanya soalan ini dengan jujur: "jika suamiku adalah lelaki seperti itu, bolehkah aku bercerai dengannya?" (Anda boleh membaca artikel itu di sini).

Aku tidak suka mengesyorkan penceraian kepada sesiapa pun juga. Tuhanlah yang telah menetapkan perkahwinan, oleh itu ianya suci, ianya adalah ikatan suci yang harus kita lindungi. Yesus sendiri telah mengatakan, "Kerana itu, apa yang telah dipersatukan Allah, tidak boleh diceraikan manusia" (Matius 19:6). Namun begitu dalam petikan yang sama Dia telah menyebut tentang perzinaan (ayat 9) sebagai satu sebab yang diizinkan untuk penceraian. Dalam keadaan dunia yang telah mengalami kejatuhan penuh dengan dosa dan kecurangan, penceraian tidak selalunya dapat dielakkan.

Memang ada ramai orang Kristian yang terlalu ingin meninggalkan perkahwinan selepas pergaduhan besar yang pertama atau apabila nyala romantik mula pudar. Terlalu ramai orang yang menganggap penceraian sebagai jalan keluar yang mudah. Tetapi pandangan yang terlalu ringan ini terhadap janji pernikahan bukanlah sesuatu yang boleh diterima oleh seorang pengikut Kristus. Mana-mana pasangan Kristian yang telah berjanji di depan Tuhan untuk mengesahkan perkahwinan mereka haruslah komited untuk mengharungi bersama segala susah dan senang dalam kehidupan.

Pada waktu yang sama, aku telah memberi kaunseling kepada para lelaki dan wanita yang terperangkap dalam perkahwinan yang terlalu teruk keadaannya - dan sangat jelas bahawa sebilangan daripada perhubungan-perhubungan itu tidak dapat dipulihkan lagi. Dalam kes-kes seperti itu, aku terpaksa meminta mereka untuk berdoa sambil memikirkan mengenai jalan penceraian - dan mendapatkan sokongan, kaunseling dan doa apabila mereka menjalani trauma selepas penceraian yang menyakitkan.

Berikut empat keadaan di mana penceraian mungkin merupakan jalan yang perlu diambil:

1. Perzinaan yang berterusan tanpa pertaubatan. Jika seorang suami atau isteri telah berlaku curang terhadap pasangannya, masih ada lagi kemungkinan untuk mengampuni dan memulihkan semula hubungan. Tetapi ianya hanya mungkin apabila peribadi yang telah melakukan perzinaan itu rela mengaku dosanya dan memutuskan hubungan dosa itu. Jika hubungan luar nikah itu telah terjadi, dan pasangan yang bersalah itu menyesali akan dosanya, pemulihan masih boleh terjadi. Tetapi jika seorang lelaki sentiasa berlaku curang terhadap isterinya (atau sebaliknya), dia sedang menipu dirinya, dan dia juga mendedahkan pasangannya kepada risiko dijangkit penyakit. Jika pasangan anda mengadakan hubungan seks dengan orang lain, anda tidak dikehendaki oleh Tuhan untuk membiarkan sahaja perbuatan itu.

2. Penderaan dalam rumahtangga. Aku tidak pernah menasihati seorang wanita untuk terus tinggal dalam perkahwinan di mana dia mengalami penderaan fizikal. Seorang isteri perlu membawa dirinya dan anak-anaknya keluar dari rumah jika suaminya sering memukulnya dan membuat ancaman-ancaman yang menakutkan. Adalah kurang bertanggungjawab bagi seorang pastor untuk memberitahu seorang wanita yang didera untuk tinggal dalam keadaan rumahtangga yang berbahaya secara fizikal. Perpisahan sementara boleh dilakukan untuk suatu tempoh; jika suaminya rela menerima kaunseling, perkahwinan itu mungkin dapat diselamatkan. Tetapi Tuhan tidak mengkehendaki anda terus dalam perkahwinan dengan seorang pendera. Dia ingin menyelamatkan anda daripada keadaan itu!

3. Kezaliman atau penguasaan secara emosi. Aku mengenali sebilangan wanita yang telah menerima penderaan secara lisan daripada suami-suami yang mengaku mengasihi Tuhan tetapi tidak menyedari bahawa sikap mereka yang menguasai sedang menghancurkan isteri mereka secara perlahan-lahan. Setengah-setengah suami berfikir bahawa mereka memiliki hak untuk menyelia dan mengawasi setiap pergerakan isteri mereka. Yang lainnya sentiasa memarahi isteri mereka, menjerit-jerit terhadap mereka, atau memberikan kata-kata kesat dan menunjukkan tindak-tanduk kemarahan yang berterusan. Bagi mereka yang menjadi mangsa, ianya boleh membawa kepada depresi, ketagihan dan juga bunuh diri. Jika pendera tidak rela bertaubat dari perbuatannya yang memudaratkan ini, pasangannya perlu membawa diri sebelum pendera melenyapkan segala harga diri yang masih tinggal. Hal ini juga berlaku pada mereka yang memiliki pasangan yang terlibat dalam ketagihan dadah, ketagihan alkohol dan perbuatan jenayah.

4. Ketidakserasian rohani. Seringkali salah satu daripada pasangan itu akan terlebih dahulu mengenali Kristus. Dalam keadaan yang terbaik, suami atau isteri yang percaya akan membawa pasangannya kepada Tuhan. Tetapi bagaimana jika pasangan itu terus menerus tidak memeluk Kristian? Paulus memberitahu orang-orang di Korintus bahawa mereka boleh terus tinggal berumahtangga tetapi tidaklah salah untuk mengizinkan pasangan yang tidak percaya meninggalkan perkahwinan (1 Korintus 7:12-16).

Dalam sebilangan gereja yang konservatif, para pemimpinnya mengajar bahawa penceraian langsung tidak boleh diterima dan bahawa seseorang yang memilih untuk bercerai - walaupun mereka mengalami penderaan - adalah berdosa jika mereka meninggalkan perkahwinan. Orang-orang yang berpendirian keras ini biasanya akan mengisytiharkan, "Tuhan membenci penceraian," sambil merujuk Maleakhi 2:16, dan juga mengatakan bahawa pihak yang tidak bersalah dalam penceraian pun akan dihakimi Tuhan. Itu adalah penafsiran yang tidak adil dari Firman Tuhan. Rahmat Tuhan lebih besar daripada itu!

Tentu sekali Tuhan membenci kesakitan, rasa malu dan pepecahan keluarga yang mengiringi penceraian, tetapi Dia juga memberi penyembuhan, pemulihan dan kelepasan kepada mereka yang mengalami penceraian. Sambil kita berusaha untuk melindungi perkahwinan dan menggalakkan rumahtangga yang teguh, marilah kita juga memiliki ruang di hati kita - dan dalam teologia kita - bagi mereka yang tidak dapat lagi tinggal dalam perhubungan yang tidak dapat dipulihkan lagi.


(Diterjemah daripada artikel Charisma Magazine bertajuk "When Is It Right To Leave A Marriage?" penulisan J. Lee Grady bertarikh 28 Mei 2014)