Khamis, 13 Februari 2014

10 Lelaki Yang Wanita Kristian Tidak Harus Kahwini


Oleh J. Lee Grady:

Saya dan isteri saya telah membesarkan empat orang anak perempuan - dan tiga daripada mereka sudah pun berkahwin. Kami menyayangi anak-anak menantu kami, dan jelas sekali Tuhan sendiri yang telah memilih setiap mereka sehingga sepadan dengan sifat-sifat dan personaliti anak-anak perempuan kami.

Saya selalu percaya bahawa Tuhan terlibat dalam hal menjodohkan. Kalau Dia boleh lakukannya untuk anak-anak perempuan saya, Dia boleh melakukannya untuk anda.

Pada waktu ini, saya ada beberapa kawan perempuan yang sangat ingin bertemu dengan lelaki yang tepat. Ada yang memberitahu saya bahawa calon pilihan tidak banyak di gereja mereka, jadi mereka mencuba di alam maya dengan online dating. Ada yang mengangkat tangan dengan hampa, dan tertanya-tanya samada masih ada lelaki Kristian yang baik untuk mereka. Mereka mula memikirkan samada mereka harus merendahkan standard pilihan mereka untuk mencari seorang pasangan.

Inilah nasihat saya: Jangan sesekali menerima yang bukan terbaik daripada Tuhan! Ramai wanita-wanita Kristian telah berkahwin dengan yang bukan pilihan Tuhan kerana ketidaksabaran telah mendorong mereka ke dalam perkahwinan yang tidak bahagia. Saya harap anda menerima nasihat saya sebagai seorang bapa: Anda lebih baik tidak berkahwin daripada bernikah dengan orang yang salah!

Mengenai "lelaki yang salah," berikut ini ialah 10 lelaki yang paling anda harus jauhi apabila mencari pasangan hidup; 

1. Orang yang tidak percaya. Sila tuliskan 2 Korintus 6:14 di atas sekeping kertas nota dan lekatkannya pada komputer di tempat kerja anda. Katanya, "Janganlah kamu merupakan pasangan yang tidak seimbang dengan orang-orang yang tak percaya. Sebab persamaan apakah terdapat antara kebenaran dan kedurhakaan? Atau bagaimanakah terang dapat bersatu dengan gelap?" Ini bukan suatu peraturan agama yang ketinggalan zaman. Itu adalah Firman Tuhan untuk anda hari ini.

Jangan izinkan daya tarikan, ketampanan, dan kejayaan kewangan seseorang lelaki (atau pun kerelaannya pergi ke gereja bersama anda) menyebabkan anda berkompromi dengan kebenaran yang anda tahu. "Dating penginjilan" tak pernah menjadi strategi yang bijak. Jika lelaki itu bukan seorang Kristian yang sudah dilahirkan kembali, keluarkan dia daripada senarai anda. Dia bukan yang sesuai untuk anda. Saya belum pernah lagi bertemu dengan seorang wanita Kristian yang tidak menyesali berkahwin dengan seorang yang tidak percaya. 

2. Orang  yang penipu. Jika anda mendapati lelaki yang anda sedang berdating telah membohongi anda mengenai masa silamnya ataupun dia selalu membuat helah menutupi kegiatannya untuk menyimpan rahsianya daripada anda, cepat-cepat lari dari dia. Perkahwinan harus dibina atas dasar saling mempercayai. Jika dia tidak boleh bercakap benar, putuskanlah hubungan sekarang sebelum dia mengejutkan anda dengan penipuan yang lebih besar. 

3. Orang yang playboy. Saya ingin untuk mengatakan bahawa jika anda bertemu dengan seorang lelaki yang kelihatan baik di gereja, anda boleh menganggap bahawa dia menjaga kesuciannya dalam hal seks. Tetapi itu bukan hakikatnya pada hari ini. Saya pernah mendengar cerita-cerita seram mengenai lelaki-lelaki bujang yang melayani dalam tim pujian dan penyembahan pada hari Ahad tetapi bertindak seperti Kasanova pada hari-hari lainnya. Jika anda berkahwin dengan seorang lelaki yang kaki perempuan sebelum hari perkahwinan, dia juga akan melakukan yang sama selepas perkahwinan.

4. Orang yang tidak bertanggungjawab. Terdapat ramai lelaki Kristian yang baik yang telah mengalami kegagalan dalam pernikahan bertahun yang lalu. Sejak penceraian mereka, mereka telah mengalami pemulihan daripada Roh Kudus, dan kini mereka mahu berkahwin lagi. Perkahwinan yang kedua boleh menjadi sangat berbahagia. Tetapi jika anda mendapati bahawa orang yang anda sedang dating itu tidak memberi penjagaan kepada anak-anaknya daripada perkahwinan yang lepas, anda sudah menjumpai satu kelemahan yang berbahaya. Sesiapa pun lelaki yang tidak bertanggungjawab akan kesilapan masa lampaunya atau tidak memberi penjagaan kepada anak-anak daripada perkahwinan lamanya tidak akan melayani anda dengan bertanggungjawab.

5. Orang yang penagih. Lelaki-lelaki yang pergi ke gereja tetapi yang ketagihan alkohol atau dadah telah belajar menyembunyikan masalah mereka - tetapi anda tidak mahu menunggu sehingga anda berbulan madu untuk mengetahui bahawa dia seorang peminum. Jangan pernah berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak mahu mendapat pertolongan untuk ketagihannya. Anda perlu bertegas dia perlu mendapat pertolongan secara profesional dan putuskan hubungan dengannya. Dan jangan masuk dalam perhubungan bergantungan di mana dia mendakwa bahawa dia memerlukan anda untuk bebas daripada ketagihannya. Anda tidak boleh mengubah dia.

6. Orang yang penganggur. Saya mempunyai seorang kawan perempuan yang menyedari selepas dia berkahwin dengan teman lelakinya bahawa dia tidak mempunyai rancangan untuk mencari kerja yang tetap. Lelaki itu telah membuat strategi yang hebat: Dia akan tinggal di rumah sepanjang hari dan bermain permainan komputer sementara isterinya yang mempunyai kerjaya profesional bekerja dan membayar semua perbelanjaan. Rasul Paulus memberitahu orang-orang di Tesalonika, "Jika seorang tidak mau bekerja, janganlah ia makan" (2 Tes 3:10). Peraturan yang sama juga terpakai di sini: Jika seseorang lelaki tidak mahu bekerja, dia tidak layak berkahwin dengan anda.

7. Orang yang terlalu asyik dengan diri. Saya dengan ikhlas berharap anda mendapat teman lelaki yang kacak. Tetapi berhati-hati: jika teman lelaki anda menghabiskan enam jam di gim setiap hari dan selalu muatkan gambar-gambar otot-ototnya di Facebook, anda mempunyai masalah. Jangan jatuh hati dengan seorang lelaki yang terlalu asyik dengan dirinya sendiri. Dia mungkin nampak tampan, tetapi jika seorang lelaki terlalu terpegun dengan penampilannya sendiri dan keperluan dirinya, dia tidak akan mengasihi anda secara berkorban, seperti Kristus mengasihi gereja (Efesus 5:25). Lelaki yang selalu memandang dirinya di cermin tidak akan memerhatikan anda.

8. Orang yang pendera. Orang lelaki yang mempunyai kecenderungan mendera tidak dapat menguasai kemarahan mereka apabila kemarahan mereka memuncak. Jika lelaki yang anda dating ada kecenderungan melepaskan kemarahannya, samada terhadap anda atau orang lain, jangan memberi alasan untuk kelakuannya. Dia mempunyai masalah, dan jika anda berkahwin dengannya anda perlu sangat berhati-hati setiap hari untuk tidak menimbulkan kemarahannya umpama berjalan di medan perang yang dipasang bom periuk api. Lelaki yang pemarah akan melukakan wanita - melalui kata-katanya dan kadang-kadang secara fizikal. Carilah seorang lelaki yang lemah lembut.

9. Orang yang masih keanak-anakan. Mungkin saya berfikiran kolot, tetapi saya was-was dengan lelaki yang masih tinggal bersama ibubapanya pada usia 35 tahun. Jika ibunya masih memasak untuknya, membersih dan menggosok baju untuknya pada usia itu, anda boleh pasti dia masih terperangkap dalam kepompong emosi. Anda mengundang masalah jika anda berfikir anda boleh menjadi isteri kepada seorang lelaki yang masih keanak-anakan. Undur diri, dan sebagai seorang kawan, galakkan dia mencari seorang mentor yang boleh membantu dia menjadi dewasa.

10. Orang yang terlalu pengongkong. Ada lelaki Kristian masa kini yang menganggap perkahwinan adalah mengenai kelebihan lelaki. Mereka mungkin akan menyebut Firman dan nadanya seperti sangat rohani, tetapi di sebalik wajah otoritas suami terletak ketidakyakinan dan kesombongan yang mendalam yang boleh berubah menjadi penderaan rohani. 1 Petrus 3:17 memerintahkan suami untuk melayan isteri sebagai teman yang setara. Jika lelaki yang anda sedang dating sering merendahkan anda dalam percakapannya, membuat komen menghina terhadap wanita, atau kelihatan menghimpit karunia-karunia rohani anda, undur diri sekarang. Dia hanya suka berkuasa. Wanita yang berkahwin dengan pengongkong tegar keagamaan biasanya berkesudahan dengan mimpi ngeri kemurungan.

Jika anda seorang wanita pilihan Tuhan, janganlah menggadaikan warisan rohani anda dengan berkahwin dengan lelaki yang tidak layak memiliki anda. Keputusan terbijak anda dalam hidup ialah untuk menantikan seorang lelaki yang sepenuh hidupnya untuk Yesus.

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel laman Charisma Magazine bertajuk "10 Men Christian Women Should Never Marry" penulisan J. Lee Grady bertarikh 12 Februari 2014)