KUALA LUMPUR: Gereja Chinese Methodist Kepong telah diberikan notis penyingkiran yang kedua daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan telah diberi 14 hari untuk berpindah atau menghadapi kemungkinan dirobohkan.
Notis-notis yang bertarikh 19 September 2013 dan 4 Februari tahun ini menyatakan bahawa gereja itu, yang berlokasi di Taman Sri Bintang, telah melanggar Seksyen 26 Akta Wilayah Persekutuan (Perancangan) 1982 kerana menukar penggunaan tanah dari institusi pendidikan (tadika) menjadi tempat ibadah (gereja) tanpa mendapat Perintah Pembangunan.
Kegagalan untuk berpindah sebelum tarikh akhir akan mengakibatkan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000, dan RM500 setiap hari terlewat.
Pastor yang bertanggungjawab, Kok Chin Ngin mengatakan bahawa jawatankuasa telah memohon untuk pertukaran penggunaan tanah dengan DBKL setelah mereka menerima notis yang pertama, dan menyatakan rasa terkejut bahawa notis penyingkiran yang kedua yang memberikan sebab-sebab yang sama telah dikeluarkan.
"Kami berharap DBKL boleh memberi kami penambahan waktu untuk melengkapi proses pertukaran penggunaan tanah.
"Lebih kurang 800 orang yang beribadah biasanya datang ke gereja kami. Jika mereka menutup atau merobohkan bangunan ini, ke manakah mereka akan pergi? Kok memberitahu The Star pada hari Rabu.
Dia menambah bahawa gereja itu telah berbakti kepada masyarakat melalui pelbagai aktiviti di premis sekarang sejak tahun 2000.
Gereja Chinese Methodist Kepong telah ditubuhkan pada 1984 dan telah berpindah ke premis sekarang pada tahun 2000 |
"Jika pihak berkuasa tidak memberi kami penambahan masa dalam masa enam hari ini, kami tidak tahu apa yang dapat dilakukan. Kami akan terus berdoa untuk penyelesaian yang terbaik," katanya.
Gereja itu telah dibuka sejak 1984, pada waktu itu gereja bertempat di sebuah taman perumahan di Kepong. Ianya telah berpindah ke tempat sekarang apabila jumlah orang yang beribadah bertambah.
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Konferensi Tempatan, Paul Ong berkata gereja telah mendapatkan penambahan masa daripada DBKL melalui pejabat Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam masa 14 hari selepas notis penyingkiran yang pertama dikeluarkan.
Dia berkata gereja telah mendapatkan seorang arkitek yang diluluskan oleh DBKL untuk membuat pelan binaan dan memohon untuk pertukaran penggunaan tanah.
"DBKL kemudian membalas dengan mengatakan bahawa beberapa perubahan perlu dibuat dalam pelan, tetapi arkitek itu sedang berada di luar negera. DBKL kemudian mengadakan satu lagi mesyuarat dan notis penyingkiran yang kedua pun dikeluarkan," jelasnya.
"Kami juga telah mendapatkan bantuan jawatankuasa khas berkenaan tempat-tempat beribadah bukan Islam Kementrian Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan penambahan masa untuk melengkapkan proses pertukaran penggunaan itu," tambahnya.
Seorang lagi ahli jawatankuasa, Richard Lim berkata bahawa tanah itu telah dibeli pada 1997 dan permohonan untuk menggunakan tanah untuk sebuah dewan serbaguna dan sebuah tadika telah diluluskan pada 1998.
"Kami telah merancang untuk membina sebuah tadika dalam kawasan premis ini, tetapi telah menangguhkan rancangan ini kerana sudah ada banyak kemudahan yang seperti itu di kawasan ini," tambahnya.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, apabila dihubungi, mengatakan bahawa dia telah mengarahkan pegawai-pegawainya untuk menyiasat perkara itu dan akan mengeluarkan kenyataan kemudiannya.
(Diterjemah daripada artikel The Star Online bertajuk "Kepong Church Given 14 Days To Move Out Or Face Demolition" penulisan Yip Yoke Teng bertarikh 12 Februari 2014)