Jumaat, 7 Februari 2014

Memahami Kebebasan Berperlembagaan Untuk Menggunakan Kalimah Allah - Bernama

Polemik mengenai kalimah Allah boleh diselesaikan dengan aman jika semua pihak yang terlibat bersetuju untuk memahami, menghormati dan mengikuti perundangan negara berkenaan Islam dan agama-agama lain. 

Artikel 3 dan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan garis panduan untuk menangani perkara tersebut, yang memberikan hak yang sewajarnya kepada semua pihak yang terlibat.

Keributan yang baru timbul mengenai isu yang sudah berlarutan selama empat tahun ini apabila Mahkamah Rayuan pada penghujung tahun lepas, menolak permohonan majalah mingguan Katolik, Herald untuk menggunakan kalimah itu dalam edisi Bahasa Malaysia penerbitan itu. 

Keputusan mahkamah itu telah mencetuskan satu perbahasan yang aktif di portal berita dan media sosial internet dan akhirnya membawa kepada satu rentetan demonstrasi.

Rentetan peristiwa yang tidak diingini ini telah membawa ketegangan dalam hubungan antara agama masyarakat Malaysia, yang sebelumnya telah wujud bersama dengan aman sejak sebelum Merdeka.

Adalah nyata bahawa ada di antara mereka yang berusaha untuk memperbesar-besarkan isu tersebut, dan ramai rakyat Malaysia menyedari akan usaha tersebut. 

Satu tinjauan Bernama menunjukkan bahawa masyarakat umum mempercayai bahawa isu itu telah dimanipulasikan oleh pihak tertentu dengan tujuan membawa keretakan di kalangan rakyat Malaysia.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata ketegangan dalam masyarakat umum ini boleh dikurangkan dengan pemahaman Perlembagaan Persekutuan, yang telah menjadi tiang dan asas pembentukan negara.


Perlembagaan Persekutuan ialah tiang dan asas pembentukan negara

Hanya ada dua klausa dalam perlembagaan negara yang menyentuh secara khusus mengenai kedudukan Islam dan dua klausa tersebut adalah Artikel 3 dan Artikel 11.  

Dua artikel itu selalu disebutkan sebagai asas untuk perbahasan isu-isu berkaitan dengan kebebasan beragama di kalangan rakyat Malaysia.

Artikel 3 menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi Malaysia, sementara Artikel 11 menyentuh perihal larangan ke atas orang-orang bukan Islam menyebarkan kepercayaan mereka kepada orang-orang Islam.

"Pertamanya kita perlu memahami istilah 'agama rasmi negara' bererti Islam adalah agama rasmi semua negeri di Malaysia, kecuali Sarawak kerana ianya tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Negeri Sarawak. Ianya hanya merupakan konsep pada peringkat persekutuan, tetapi ianya tidaklah mengikat secara mutlak dalam perlaksanaan dan penguatkuasaan Islam dalam negeri-negeri.

"Ketua Islam di setiap negeri adalah Sultannya. Yang di Pertuan Agung bukanlah ketua Islam di Malaysia tetapi ketua Islam di Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan) dan negeri-negeri yang tiada sultan," jelas Azam.

Walaupun telah dinyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi, Artikel 3 juga menyatakan bahawa agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni di mana-mana bahagian Persekutuan.

Menyambung dengan Artikel 11, dia mengatakan bahawa setiap orang di Malaysia mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agamanya, tetapi orang-orang bukan Islam dilarang menyebarkan kepercayaan mereka kepada orang-orang Islam.

"Anda bebas menyebarkan kepercayaan anda kepada sesiapa pun selain itu. Tetapi dalam kurungan empat (4) Artikel tersebut, undang-undang negeri atau persekutuan boleh mengawal atau menyekat penyebaran sebarang ajaran atau kepercayaan agama kepada orang-orang yang menganut agama Islam," jelasnya.

Frasa "menyebarkan ajaran agama" kepada orang-orang Islam biasanya disalahfaham oleh mereka yang mempunyai pengetahuan yang cetek mengenai undang-undang berkenaannya.

Jangan disalahgunakan

Penjelasan Artikel 3 dan Artikel 11 di atas menunjukkan secara umum, bahawa tidak ada sekatan atas penggunaan mana-mana perkataan yang boleh dikaitkan dengan identiti Islam.

"Jika ianya digunakan dalam lingkungan tertutup, tanpa melibatkan orang-orang Islam, ianya tidak menjadi masalah.

"Misalannya, jika paderi Father Lawrence Andrew ingin menggunakan ayat 'Sekarang ialah musim haji, orang-orang Islam akan pergi ke Mekah dan mengelilingi Kaabah sebagai tanda ibadah kepada Allah' dalam khutbahnya kepada jemaahnya, itu tidak bercanggahan dengan undang-undang." jelas Azam.

Penggunaan kata-kata "Allah", "ibadah" dan sebagainya
boleh digunakan oleh orang-orang bukan Islam dalam
acara tertutup yang tidak melibatkan orang Islam
seperti diperuntukkan dalam Artikel 3 dan
Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan
Istilah-istilah "haji", "Mekah", 'ibadah' dan "Kaabah" adalah kata-kata lain di samping "Allah" yang telah dilarang penggunaannya oleh orang-orang bukan Islam di bawah Enakmen Negeri Selangor 1988.

Enakmen itu adalah juga menyokong Artikel 11, yang melarang orang-orang bukan Islam dari menyebarkan kepercayaan mereka kepada orang-orang Islam.

"Istilah 'menyebarkan kepercayaan' boleh ditafsirkan maksudnya sebagai mempengaruhi, memaksa, atau sebarang usaha untuk mengembangkan kepercayaan mereka kepada orang-orang Islam," kata Azam.

Ini termasuk mengedarkan naskah-naskah Alkitab kepada orang-orang Islam dan buku-buku dan komik-komik yang menerangkan konsep "tritunggal" kepada pelajar-pelajar Islam.

Bagaimanapun, katanya, terdapat keadaan-keadaan yang mengizinkan orang-orang bukan Islam menggunakan kalimah "Allah", seperti semasa menyanyikan lagu kebangsaan negeri Selangor.

"Lirik 'Allah lanjutkan usia Tuanku...' boleh dinyanyikan oleh orang-orang bukan Islam kerana ianya bukan merupakan penyebaran kepercayaan mereka," katanya.

Azam berkata ada sebahagian orang yang berfikir bahawa undang-undang berkaitan Islam tidak mengikat kepada orang-orang bukan Islam, bagaimanapun, Enakmen 1988 adalah kes terkecuali, sebab ianya telah diwartakan sebagai undang-undang sivil (awam) di Selangor.

"Jadi sesiapa yang melanggar undang-undang ini, dia boleh dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Perbahasan yang paling hangat tanpa diragukan lagi ialah mengenai penggunaan kalimah Allah. Berdasarkah hujah-hujah yang telah diutarakan Azam tadi, adalah jelas bahawa orang-orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah itu jika mereka mengikuti syarat-syaratnya.

Orang-orang Kristian telah menggunakan kalimah itu tanpa masalah sehingga baru-baru ini, apabila penggunaannya telah dianggap tidak terkawal.

"Menggunakan kalimah Allah itu dengan sendirinya adalah satu bentuk 'prima facie', sebab ianya menandakan suatu tujuan untuk menyebarkan kepercayaan mereka.

"Untuk menterjemahkan kalimah 'God' kepada 'Allah' boleh mengelirukan orang-orang Islam sebab ianya seperti mengatakan Allah yang dimaksudkan oleh orang-orang Islam apabila mereka menggunakan kalimah itu adalah sama dengan Allah yang dimaksudkan oleh orang-orang Kristian apabila mereka menggunakannya," jelas Azam.

Azam menerangkan bahawa orang-orang Islam, sebagai monotheis, percaya kepada hanya satu Allah, tetapi ini tidak disamakan dengan orang-orang Kristian yang percaya kepada konsep "tritunggal."

"Kita perlu menyedari bahawa kes yang telah disebut di mahkamah, yang menjadi sumber perbahasan hangat hari ini, langsung tidak menyentuh penggunaan kalimah Allah dalam Alkitab, tetapi penggunaanya dalam seksyen Bahasa Malaysia Herald.

"Isu berkenaan penggunaan kalimah Allah dalam Alkitab tidak pernah dibawa ke mahkamah," katanya.

Jangan diperalatkan

"Pada hari ini, rakyat Malaysia sedang bertegang leher mengenai isu ini, melukakan saudara-saudara kita di Sabah dan Sarawak.

"Marilah kita buktikan bahawa pertelingkahan ini di antara orang-orang Islam dan orang-orang Kristian adalah tidak bermakna dan bahawa kita tidak mudah diperalatkan untuk keuntungan politik yang sempit." serunya.

Katanya sudah tiba masanya untuk mengubah keadaan yang negatif menjadi positif, dengan membuka ruang untuk perbincangan yang akan membawa lebih kefahaman di kalangan rakyat Malaysia.

"Inilah kesempatan terbaik bagi orang-orang Islam untuk menerangkan perbezaan di antara "konsep satu Allah dengan konsep tritunggal.' Belajarlah daripada penceramah Islam yang diiktiraf," katanya.

Azam menasihati orang-orang Kristian Malaysia untuk menghindarkan diri daripada telibat dalam tindakan-tindakan yang boleh menegangkan lagi hubungan, walaupun mereka tidak melakukan sebarang kesalahan secara perundangan.

Dia juga menasihati orang-orang Islam untuk tidak cepat membuat kesimpulan dalam tuduhan mereka terhadap orang-orang bukan Islam, terutamanya ianya belum dibuktikan bahawa mereka sedang menyebarkan kepercayaan merekla kepada orang-orang Islam. - Bernama, 5 Februari, 2014.

(Diterjemah daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Understanding The Constitutional Freedom To Use 'Allah' - Bernama" bertarikh 5 Februari 2014)