Ahad, 21 Januari 2018

Siasatan Amri Che Mat Hilang Bermula Esok


SIASATAN awam Suhakam terhadap kes pastor dan aktivis sosial hilang akan bersambung esok dengan tumpuan pada misteri kehilangan pengasas badan kebajikan Perlis Hope, Amri Che Mat. Dia hilang sejak November 2016.

Suhakam hampir menamatkan siasatan kes Pastor Raymond Koh tetapi terpaksa menghentikannya minggu lalu selepas seorang suspek yang ditahan berhubung penculikan pastor itu didakwa di mahkamah.

Siasatan ke atas kehilangan Koh dihentikan mengikut Seksyen 12 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 kerana kes dikendalikan oleh mahkamah.

Pesuruhjaya Suhakam, Mah Weng Kwai berkata walaupun siasatan ke atas Koh dihentikan, siasatan ke atas orang hilang yang lain – Amri serta Joshua dan Ruth Hilmy – masih diteruskan.

Amri hilang tanpa sebarang kesan sejak 24 November 2016.

Dia diculik 550 meter dari rumahnya di Padang Behor, Kangar. Polis kemudian menjumpai keretanya di Bukit Chabang.

Amri, 43, merupakan anggota ekspedisi Everest 1997, ekspedisi yang mencatatkan sejarah pertama kali rakyat Malaysia menawan gunung tertinggi di dunia itu.

Pada malam dia hilang, Amri memberitahu anak sulungnya dia hendak keluar. Amri mempunyai empat anak berumur 19, 17, 15 dan 10, semuanya perempuan.

Dalam laporan polisnya, isteri Amri, Norhayati Ariffin berkata pada hari kejadian ada kereta dan motosikal yang tidak dikenali diparkir dekat rumah mereka.

Menurut jurucakap Perlis Hope, Mohd Aizat Zahid, keluarga Amri masih bergelut cuba memahami apa sebenarnya yang berlaku.

"Mereka cuba bertahan. Perlis Hope akan sentiasa menjaga kebajikan keluarga Amri," katanya kepada The Malaysian Insight.

Kawan rapat

Menurut Aizat, beliau kali pertama berjumpa Amri pada 2015 ketika aktivis itu menganjurkan majlis amal membantu kanak-kanak berpenyakit kronik.

"Kami jadi sangat rapat selepas acara itu. Kerana kami ada minat dan matlamat yang sama (menolong orang), Amri ajak saya masuk Perlis Hope, jadi sukarelawan.

"Kami anjur banyak acara, program dan majlis amal sampai Perlis Hope jadi terkenal di serata negeri.

"Amri orang penting dalam Perlis Hope yang menyumbang banyak idea yang mengubah hidup banyak orang miskin di negeri ini," kata Aizat.

Katanya, kehilangan Amir juga dirasai oleh kawan-kawan dan sukarelawan lain.

Pejabat agama kacau

Menurut Aizat, sejak ditubuhkan pada 17 Oktober 2015, ramai orang dari pelbagai lapisan umur, latar belakang agama dan kaum mahu masuk Perlis Hope jadi sukarelawan.

Bagaimanapun, populariti Perlis Hope itu dipandang serong oleh pihak berkuasa agama di Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPS) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), katanya.

Perlis Hope dituduh ada kaitan dengan kumpulan pelampau dan kononnya cuba menyebarkan ajaran Syiah, tambahnya.

"Tuduhan itu tidak berasas kerana Perlis Hope sebuah badan kebajikan dan bukannya berasaskan agama.

"Sesetengah sukarelawan Perlis Hope yang bukan beragama Islam pun terjejas dengan dakwaan ini. Mereka rasa sedih dengan tuduhan pejabat agama," katanya.

Beliau menarik perhatian bagaimana Perlis Hope menemukan banyak kes miskin tegar di negeri itu. Aizat bercakap tentang sepasang suami isteri yang tinggal dengan anak perempuan mereka dalam keadaan daif, yang kes mereka dirujuk kepada Baitulmal Perlis dan wakil rakyat tetapi sampai lima tahun tidak diambil tindakan.

Kata Aizat, Perlis Hope datang menolong dan kemudian menyiapkan rumah untuk keluarga itu – selesai dalam masa tidak sampai 12 jam.

Sejak Amri hilang, Perlis Hope meneruskan kegiatannya tetapi kini secara kecil-kecilan kerana dana sumbangan begitu terhad.

Sebelum Amri hilang, Perlis Hope menjalankan tiga program utama membantu golongan miskin: bantuan beras kampit 10kg untuk 180 keluarga memerlukan, membina dan membaiki rumah serta mengagihkan pakaian terpakai dan seragam sekolah.

Tetapi sejak setahun Amri hilang, beberapa program itu terpaksa dihentikan. Beberapa orang sukarelawan juga menarik diri kerana tuduhan pejabat agama itu.

"Orang takut apa yang jadi pada Amri akan jadi pada mereka pula," tambahnya. – 21 Januari, 2018.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Siasatan Amri Che Mat Hilang Bermula Esok" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 21 Januari 2018)